Rangka kerja ini akan memisahkan fungsi penjelasan dan dagangan kepada dua aktiviti dikawal selia yang berbeza, dengan membenarkan pengantara membuat pengkhususan dalam perkhidmatan mereka. Kemasukan pengantara bersendirian (standalone) baharu bagi pelaksanaan dan penjelasan dagangan termasuk entiti asing, akan menggalakkan dinamik persaingan dalam pasaran modal dan meningkatkan kecekapan kos bagi aktiviti dagangan dan penjelasan.
Pengoperasian rangka kerja baharu ini akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan pasaran derivatif, memandangkan kesediaan infrastruktur pasarannya untuk memenuhi segmen pengantaraan yang lebih luas.
Di samping itu, SC juga memperkenalkan rangka kerja yang dipertingkatkan bagi Wakil Pemasaran dalam semua aktiviti yang dikawal selia. Wakil-wakil pemasaran ini akan dibenarkan untuk merujuk pelanggan kepada prinsipal mereka, dalam parameter yang dibenarkan, seperti yang digariskan dalam Garis Panduan bagi Wakil Pemasaran (Guidelines for Marketing Representatives).
Rangka kerja ini adalah sejajar dengan usaha SC untuk memberi lebih banyak peluang perniagaan kepada pengantara berlesen dan meningkatkan jumlah pelanggan mereka.
Perubahan kepada Penjelasan sebagai aktiviti yang dikawal selia digariskan dalam Licensing Handbook yang dikemas kini, serta garis panduan yang berkaitan bagi Wakil Pemasaran yang boleh didapati di
www.sc.com.my.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA