Page 123 - SC Laporan Tahunan 2023 Flipbook
P. 123

                                BAHAGIAN 4 LIBAT URUS STRATEGIK BERSAMA PIHAK BERKEPENTINGAN
 Persatuan Negara-negara Asia Tenggara
SC memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan dan penyelarasan pasaran modal merentas Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN). Melalui pelbagai platform peringkat ASEAN, SC terlibat secara aktif dengan pengawal selia sekuriti lain, kementerian kewangan dan bank-bank pusat untuk memperjuangkan inisiatif yang meningkatkan integriti pasaran, perlindungan pelabur, dan penggunaan amalan kewangan mampan di rantau ini.
Sebagai Pengerusi Kumpulan Kerja Lembaga Taksonomi ASEAN (ATB) Mengenai Menghadapi Pasaran dan Penyumberan, serta Pengerusi Bersama Kumpulan Kerja Kewangan Mampan (SFWG) Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF), SC mempunyai tumpuan khusus untuk memudahcarakan inisiatif kewangan berkaitan kemampanan. Dengan ATB, SC mengetuai perundingan dan libat urus pihak berkepentingan di dalam dan di luar rantau ini pada Version 2 of the ASEAN Taxonomy for Sustainable Finance (Versi 2 Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Mampan) dan sesi pembinaan kapasiti seperti Webinar Sosialisasi Taksonomi ASEAN Versi 2. Tambahan pula, melalui ACMF SFWG, SC menyumbang kepada penerbitan Piawaian Bon Berkaitan Hijau, Sosial dan Kemampanan ASEAN, Piawaian Dana Mampan dan Bertanggungjawab ASEAN, dan Nota Panduan Kewangan Peralihan ASEAN.
SC juga merupakan ahli aktif Jawatankuasa Kerja Pembangunan Pasaran Modal (WC-CMD).3 Di WC-CMD, SC mempengerusikan Kumpulan Kerja Kewangan Infrastruktur (IFWG) yang menyokong pembangunan pembiayaan infrastruktur di seluruh ASEAN. Ini termasuk perkongsian pengalaman oleh penerbit berdaulat pada sesi Perkongsian Pengetahuan Bon Mampan yang dianjurkan oleh IFWG, yang berlangsung pada setiap mesyuarat WC- CMD untuk menggalakkan penggunaan kewangan mampan oleh kerajaan untuk membiayai projek mampan.
Memupuk Kerjasama Kawal Selia Antarabangsa
Memperkukuh kerjasama kawal selia dan hubungan dengan rakan sejawatannya di luar negara kekal sebagai fokus utama usaha antarabangsa SC. Hubungan yang dipupuk oleh SC selama ini telah membolehkannya memanfaatkan kepakaran, pandangan, dan meminta bantuan yang diperlukan untuk menyokong peranan dan fungsi SC.
Berhubung dengan penyeliaan dan penguatkuasaan, SC menjalankan penglibatan kerap dengan rakan sejawatannya melalui mesyuarat Pengarah Penyeliaan dan Penguatkuasaan serantau. Memorandum Persefahaman Pelbagai Hala IOSCO (IOSCO MMOU) juga membolehkan SC menyediakan dan menerima bantuan daripada pengawal selia antarabangsa, sekali gus mengukuhkan keupayaan penguatkuasaan dan jangkauannya dalam menangani salah laku pasaran rentas sempadan. Dalam usaha mengukuhkan kerjasama serantau, SC menandatangani MOU dengan Pengawal Selia Sekuriti dan Bursa Kemboja untuk memudahcarakan pengawalseliaan, penguatkuasaan, kerjasama penyeliaan dan usaha membina kapasiti yang lebih besar antara kedua-dua pengawal selia.
SC terus memainkan peranan penting melalui Hab Asia Pasifik IOSCO dalam mengukuhkan keupayaan pengawal selia serantau dan juga di peringkat global. Hab tersebut memupuk perkongsiaan pengetahuan dalam kalangan pengawal selia sekuriti melalui perbincangan panel interaktif, pertukaran amalan baik dan kajian kes semasa bengkel dan seminar. Sehingga kini, Hab telah melatih lebih 1,800 peserta dari 110 bidang kuasa. Pada tahun 2023, sejumlah 6 bengkel dan 1 webinar telah diadakan yang merangkumi pelbagai topik, termasuk risiko yang baru muncul dalam pasaran modal global, aktiviti derivatif dalam pasaran membangun, kewangan mampan, daya tahan siber dan penguatkuasaan kawal selia.
 3
Jawatankuasa penyelaras yang memantau inisiatif dan kemajuan anggota ASEAN ke arah membina kapasiti dan meletakkan infrastruktur untuk pembangunan pasaran modal ASEAN.
LAPORAN TAHUNAN 2023 SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA 121
 






















































































   121   122   123   124   125