Page 87 - SC Laporan Tahunan 2023 Flipbook
P. 87

                                maklumat sedemikian bertujuan untuk meningkatkan ketelusan maklumat serta memudahcarakan keputusan pelaburan yang bermaklumat. Bagi tujuan ini, data mengenai bon korporat dan sukuk yang diterbitkan di bawah Rangka Kerja Sukuk SRI SC, dan Piawaian Bon Hijau, Sosial dan Kemampanan ASEAN boleh diakses secara terbuka melalui laman web Bursa Maklumat Bon (BIX).
Pembangunan Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Kebangsaan oleh Jawatankuasa Penasihat Pelaporan Kemampanan
Jawatankuasa Penasihat antara agensi mengenai Pelaporan Kemampanan (ACSR) telah ditubuhkan oleh SC, dengan pengesahan daripada MOF untuk menangani pelaksanaan Piawaian Penzahiran Kemampanan IFRS yang dikeluarkan oleh Lembaga Piawaian Kemampanan Antarabangsa (ISSB) di Malaysia. ACSR diberi mandat untuk mengawasi pendekatan pelaksanaan, tempoh masa, rangka kerja jaminan serta struktur yang diperlukan untuk pengawasan kawal selia. Kesemuanya terkandung dalam Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Kebangsaan (NSRF) Malaysia. Piawaian ISSB telah dikeluarkan pada 26 Jun 2023, sebagai tindak balas kepada permintaan terutamanya daripada pelabur untuk meningkatkan kualiti, kebolehpercayaan dan kebolehbandingan maklumat kemampanan.
Dipengerusikan oleh SC, ahli ACSR terdiri daripada wakil Lembaga Pemantauan Audit, BNM, Bursa Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Yayasan Pelaporan Kewangan.
ACSR juga membentuk Kumpulan Perundingan dengan ahli yang terdiri daripada pelbagai segmen pemegang kepentingan termasuk syarikat tersenarai, penyedia jaminan, badan profesional, persatuan industri serta syarikat peringkat pertengahan untuk mendapatkan maklum balas mengenai cadangan NSRF. Libat urus luar tapak telah dianjurkan pada November 2023 untuk menyokong proses pengumpulan maklum balas.
Jawatankuasa itu juga mengadakan libat urus dengan Lembaga Pengauditan dan Jaminan Antarabangsa pada 9 Oktober 2023 untuk membincangkan Piawaian Antarabangsa mengenai Jaminan Kemampanan (ISSA) 5000, Keperluan Am untuk Libat Urus Jaminan Kemampanan, dan isu-isu yang sedang dibincangkan oleh ACSR berhubung dengan jaminan maklumat kemampanan. ACSR merancang untuk mengadakan perundingan yang lebih luas mengenai NSRF pada Q1 2024.
Kumpulan Kerja Tadbir Urus PKS
Kumpulan Kerja Tadbir Urus PKS (Kumpulan Kerja) yang dipengerusikan oleh SC meneruskan usahanya untuk membangunkan kit tadbir urus untuk PKS. Kumpulan Kerja bermesyuarat pada awal tahun dan mengadakan libat urus bersama Institut Penyelidikan Khazanah dan SME Bank Malaysia untuk mendapatkan pandangan makro tentang isu yang berkaitan dengan pembangunan kit tersebut. Ini termasuk peranan perniagaan kecil dalam ekonomi Malaysia, dan tadbir urus dalam meningkatkan tahap perniagaan ini untuk fasa pembangunan ekonomi seterusnya.
Kumpulan Kerja juga memberikan ulasan mengenai draf Panduan Penzahiran ESG yang dipermudahkan bagi PKS, yang dibangunkan oleh Capital Markets Malaysia (CMM), khususnya penzahiran berkaitan tadbir urus.
Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia, ahli Kumpulan Kerja mengetuai pembangunan kit tersebut, yang disasarkan untuk dikeluarkan dalam 1H 2024, selepas perundingan awam pada Q1 2024. Pembangunan kit ini adalah selaras dengan matlamat strategik di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas untuk mengukuhkan tadbir urus PKS.
Penglibatan dalam Mesyuarat ke-45 dan ke-46 Jawatankuasa Tadbir Urus Korporat Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan
SC mewakili Malaysia pada mesyuarat Jawatankuasa Tadbir Urus Korporat (CGC) Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) ke-45 dan ke- 46 yang diadakan dari 14 hingga 15 Mac 2023 dan 13 hingga 14 November 2023, masing-masing di Ibu Pejabat OECD di Paris. Mesyuarat itu memberi tumpuan untuk memuktamadkan draf semakan kepada Prinsip Tadbir Urus Korporat (Prinsip) G20/OECD, rangka kerja tadbir urus korporat yang diterima di peringkat antarabangsa. Semakan terkini termasuk panduan baharu dan kemas kini mengenai hak pemegang saham, peranan pelabur institusi, penzahiran korporat, tanggungjawab lembaga pengarah, dan, buat pertama kalinya, mengenai kemampanan dan daya tahan untuk membantu syarikat mengurus risiko dan peluang kemampanan berkaitan iklim dan lain-lain. Prinsip tersebut kemudiannya dikeluarkan oleh OECD pada 11 September 2023. Pada mesyuarat ke-46 tersebut, CGC membincangkan keutamaan dan pelan yang akan dilaksanakan untuk Prinsip yang disemak semula.
BAHAGIAN 3 MEMPERKUKUH KEMAMPANAN DAN DAYA SAING PASARAN MODAL
 LAPORAN TAHUNAN 2023 SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA 85
 




















































































   85   86   87   88   89