Libat Urus Bersama Pihak Berkepentingan Dan Inisiatif Pembangunan Kapasiti

Tanggungjawab untuk melaksanakan audit penyata kewangan yang berkualiti terletak pada juruaudit. Walau bagaimanapun, AOB percaya bahawa penglibatan tetap dengan pelbagai pihak berkepentingan dan kepimpinan firma audit akan memberi kesan positif dalam meningkatkan kualiti audit. Kualiti audit dapat dicapai dalam situasi di mana terdapat sokongan daripada, dan komunikasi dalam kalangan pihak berkepentingan utama dalam ekosistem pelaporan kewangan.

Pada 2021, AOB menjadi ahli Kumpulan Kerja Pelabur dan Pihak Berkepentingan Lain (IOSWG) Forum Pengawal Selia Audit Bebas Antarabangsa (IFIAR). IOSWG termasuk Ahli IFIAR dari Austria, Kanada, Perancis, Itali, Jepun, Korea, Belanda, Afrika Selatan, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS). Objektif IOSWG adalah untuk meningkatkan perlindungan pelabur dan menambah baik kualiti audit berdasarkan cadangan daripada kedua-dua pihak pelabur yang merupakan penerima utama audit dan pihak berkepentingan lain yang mempunyai kepentingan dalam perkara yang berkaitan dengan audit.

AOB meneruskan libat urus bersama pihak berkepentingan dan inisiatif pembangunan kapasiti untuk pedaftarnya pada 2021.

LIBAT URUS BERSAMA PIHAK BERKEPENTINGAN DAN INISIATIF PEMBANGUNAN KAPASITI AOB PADA 2021

PENGARAH / JAWATANKUASA AUDIT
  • Berkongsi pemerhatian pemeriksaan lazim AOB dan jangkaan kawal selia secara berterusan melalui Perbincangan AOB dengan Jawatankuasa Audit (AC).
  • Berkongsi AIR dengan AC PLC untuk memudah carakan perbincangan dengan juruaudit mereka mengenai pemerhatian pemeriksaan dan statistik peringkat firma untuk memastikan bidang risiko khusus kepada entiti mereka dapat ditangani dengan sebaiknya dan untuk mengukur komitmen dan pendekatan firma audit terhadap kualiti audit.
JURUAUDIT
  • Jangkaan kawal selia AOB dan pemerhatian pemeriksaan lazim dikongsi secara berterusan melalui penglibatan secara lisan dan di Perbincangan tahunan AOB dengan Juruaudit PIE dan Kumpulan Wang Jadual.
  • Perbincangan dengan firma audit mengenai pelaksanaan praktikal Piawaian Antarabangsa Tentang Kualiti Pengurusan (ISQM).
  • Mengeluarkan Peringatan AOB mengenai Pertimbangan Audit bagi Pelaburan Dana Borong oleh PLC dan Terbitan Bon dan Sukuk Kekal oleh PLC sebagai peringatan kepada juruaudit untuk memberi perhatian khusus kepada pelbagai pertimbangan dan mendapatkan bukti audit yang sesuai dalam mengaudit pelaburan pelanggan PIE mereka dalam dana borong.
PENGAWAL SELIA /BADAN PERAKAUNAN PROFESIONAL
  • Berkongsi bidang utama pemantauan audit dan pengalaman pengawalseliaan dengan pihak berkuasa audit dan badan profesional seperti Persatuan Akauntan Awam Bertauliah dalam Amalan Awam Filipina.
  • Pegawai Eksekutif AOB adalah penceramah utama dalam Persidangan Akauntan Antarabangsa Institut Akauntan Malaysia 2021 untuk membincangkan set piawaian pengurusan kualiti baharu dan disemak semula yang telah diluluskan oleh Lembaga Piawaian Pengauditan dan Jaminan Antarabangsa (IAASB). Turut dibincangkan ialah cara untuk mengukuhkan budaya firma, menyampaikan objektif pengurusan kualiti kepada konstituen audit dan akibat ketidakpatuhan kepada juruaudit.
  • Bekerjasama dengan MICPA untuk membangunkan program latihan untuk menangani kelemahan audit lazim dalam firma audit yang ditemui oleh AOB semasa menjalankan pemeriksaannya.
  • AOB juga terus meraih manfaat daripada sesi perkongsian oleh IFIAR dan Kumpulan Pengawal Selia Audit ASEAN (AARG) untuk memanfaatkan pengalaman pengawal selia audit lain di peringkat global dan serantau.

PERBINCANGAN AOB DENGAN JAWATANKUASA AUDIT

Pada 2021, AOB menganjurkan dua sesi Perbincangan AOB dengan Jawatankuasa Audit (AC). Perbincangan AOB dengan AC merupakan fokus penting bagi AOB. Libat urus tersebut menyediakan ruang bagi AOB untuk berkongsi pemerhatian dan penemuan pemeriksaannya, serta mendapatkan maklum balas daripada AC mengenai juruaudit.

Sesi tersebut menampilkan perkongsian amalan baik untuk AC dalam menyokong kualiti audit dan pertimbangan praktikal dalam melaksanakan fungsi pemantauan mereka.

Semasa perbincangan tersebut, AOB meminta maklum balas daripada AC mengenai kesan wabak COVID-19 kepada mereka dalam melaksanakan peranan pemantauan terhadap pelaporan kewangan dan komunikasi dengan juruaudit.

Majoriti jawatankuasa audit berkongsi bahawa mereka memberi lebih perhatian untuk menyemak penilaian pengurusan terhadap keupayaan syarikat untuk meneruskan perniagaan dan kemerosotan nilai aset sepanjang pandemik COVID-19. AC juga meningkatkan kekerapan komunikasi dengan juruaudit untuk menangani risiko dan isu tepat pada masanya.

AOB mengingatkan AC untuk terus menilai kesan pandemik COVID-19 ke atas kawalan dalaman fungsi pelaporan kewangan dan mengulangi peranan utama yang dimainkan oleh AC dalam mengekalkan keyakinan pelabur terhadap penyata akaun teraudit peserta pasaran modal.
29 November 2021 & 6 Disember 2021
Sesi tersebut dihadiri oleh 677 ahli-ahli AC
Daripada 397 PLC
Melibatkan 88% hadirin daripada Pasaran Utama & 12% hadirin daripada Pasaran ACE

Kolaborasi Program Latihan

INISIATIF PEMBANGUNAN KAPASITI BAGI FIRMA AUDIT DAN JURUAUDIT BERDAFTAR AOB
AOB bekerjasama dengan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA) untuk membangunkan program latihan bagi firma audit dengan kurang daripada 10 rakan kongsi yang berdaftar dengan AOB. Program latihan tersebut telah diberi subsidi menggunakan dana AOB yang diperolehi daripada penalti dan adalah sebahagian daripada usaha pembinaan kapasiti berterusan AOB untuk meningkatkan kualiti audit.

Program latihan tersebut menumpukan kepada langkah menangani kelemahan lazim audit yang diperhatikan oleh AOB semasa pemeriksaannya ke atas firma audit dan juruaudit. Bidang yang dibincangkan adalah:
  • Persampelan audit.
  • Mengaudit anggaran perakaunan.
  • Audit berkumpulan
  • Prosedur risiko penipuan.
  • Hal audit utama.

Seterusnya, sesi tersebut turut merangkumi perkembangan terkini dalam piawaian pengauditan dan pertimbangan praktikal berkaitan dengan pelaksanaan piawaian tersebut.

27 sesi telah dijalankan dari September 2020 hingga Jun 2021

975 juruaudit dan kakitangan firma audit meraih manfaat daripada sesi tersebut

Subsidi latihan sekali sahaja sehingga RM30,000 bagi
setiap firma audit
berdaftar
dengan AOB yang ada kurang
daripada 10 rakan kongsi audit

Pautan Berkaitan
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia | Hubungi Kami |Penolak Tuntutan | Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Follow us on:
Ooops!
Generic Popup