Seperti pada tahun 2020, peristiwa sekitar tahun 2021 telah menyebabkan AOB mengkaji semula fokusnya dan menilai semula fungsi pengawasannya. Tahun ini, AOB mengambil peluang untuk mempertingkatkan lagi pendekatan dipacu analitik data dalam pemeriksaannya bagi memastikan program pemeriksaan cukup tangkas dalam mengenal pasti trend ekonomi utama dan kebimbangan pasaran dengan berkesan. Pendekatan dipacu analitik data juga membenarkan pemeriksaan bersasar memberi tumpuan kepada bidang-bidang utama. Di samping itu, AOB mempertimbangkan pelbagai pilihan untuk menjalankan semakan pemantauan luar lokasi iaitu pemeriksaan secara maya untuk memastikan program pemeriksaan AOB tidak terganggu oleh sekatan pergerakan ketika pandemik.
Memandangkan bilangan audit yang dilakukan dari jauh semakin meningkat, pematuhan ketat terhadap piawaian pengauditan dan etika kini adalah lebih penting. Tahun ini, AOB terus menentukan ketetapan dengan membawa dimensi baharu kepada aktiviti pemantauannya dan memaklumkan ketegasannya melalui tindakan penguatkuasaan apabila jangkaan kawal selia dan piawaian profesional terjejas. AOB mengambil lima tindakan penguatkuasaan terhadap firma audit dan juruaudit individu yang gagal mematuhi piawaian pengauditan dan etika.
SC terus menghadapi cabaran perundangan daripada juruaudit yang dikenakan sekatan oleh AOB. Kuasa AOB dalam menguatkuasakan undang-undang dan peraturannya dan cara AOB menjalankan prosiding penguatkuasaannya adalah alasan utama cabaran perundangan tersebut. Walau bagaimanapun, AOB berpuas hati bahawa Semakan Kehakiman memberi keputusan yang memihak kepada SC telah mengukuhkan lagi keteguhan rangka kerja penguatkuasaan AOB dan prosesnya.
Sepanjang 2021, AOB juga melaksanakan Pelaporan Ketelusan Tahunan yang menghendaki firma audit berdaftar dengan AOB yang memenuhi kriteria pelaporan untuk berkongsi Laporan Ketelusan dengan Jawatankuasa Audit pelanggan PIE mereka. Secara ringkasnya, firma audit dikehendaki menzahirkan maklumat mengenai struktur perundangan dan tadbir urus mereka, langkah untuk mendukung kualiti audit dan cara mereka menguruskan risiko, serta ukuran penunjuk kualiti audit mereka. Maklumat ini akan memberi manfaat besar kepada pelabur dan Jawatankuasa Audit untuk memudahkan pembuatan keputusan mengenai pelantikan dan pelantikan semula juruaudit.