Libat Urus Bersama Pihak Berkepentingan Dan Inisiatif Pembangunan Kapasiti

AOB menjalankan, mengambil bahagian dan memberikan pandangannya melalui penglibatan bersama pihak berkepentingan untuk menggalakkan pembinaan kapasiti dan pelaporan serta amalan kewangan berkualiti tinggi. Sesi penglibatan di peringkat tempatan, serantau dan antarabangsa melibatkan pengawal selia, profesion perakaunan, pengarah dan ahli AC. Pada tahun 2022, AOB secara aktif berusaha untuk mewujudkan kesedaran mengenai Laporan Ketelusan Tahunan firma audit dan nilainya kepada pihak berkepentingan.

Penglibatan dan sumbangan berterusan AOB di peringkat global dan serantau melalui Forum Antarabangsa Pengawal Selia Audit Bebas (IFIAR) dan Kumpulan Pengawal Selia Audit ASEAN (AARG) memudahkan perkongsian bersama tentang pandangan berharga tentang amalan terbaik pengawalseliaan audit. Selanjutnya, sebagai ahli IOSWG IFIAR, AOB telah memanfaatkan pengalaman dan pengetahuan dari bidang kuasa lain mengenai perkara yang berkaitan dengan perlindungan pelabur dan meningkatkan kualiti audit.

Pada 2022, Pegawai Eksekutif AOB, Alex Ooi telah dijemput oleh Jabatan Perakaunan dan Peraturan Pengauditan, Kementerian Kewangan, Vietnam dan Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW) untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik Malaysia mengenai pemantauan audit.

AOB juga terus memberikan pandangan, mengenai bidang yang menjadi perhatian berhubung kualiti audit kepada badan kawal selia dan penetapan piawaian yang termasuk IFIAR, Lembaga Pengauditan dan Jaminan Antarabangsa Persekutuan Akauntan Antarabangsa, Lembaga Piawaian Pengauditan dan Jaminan Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Lembaga Piawaian Etika.

PERBINCANGAN AOB DENGAN JAWATANKUASA AUDIT

Pelaporan kewangan dan audit yang berkualiti tinggi hanya dapat dicapai sekiranya pihak berkepentingan utama dalam ekosistem pelaporan kewangan berjaya menjalankan peranan mereka dengan berkesan. Dalam hal ini, AOB meneruskan libat urus bersama AC PLC untuk memastikan mereka dimaklumkan dan sentiasa dikemas kini tentang perkembangan yang dapat memudahcarakan peranan pemantauan mereka. AOB sangat percaya, pengawasan yang berkesan oleh AC yang kuat, berpengetahuan dan bebas dapat meningkatkan kualiti audit.

Disebabkan sambutan menggalakkan yang diterima bagi siri perbincangan dengan AC yang dianjurkan pada 2021, AOB telah mengadakan ulangan sesi 2021 pada April 2022. Sesi tersebut telah dihadiri oleh 234 AC daripada 176 PLC. Pada 2022, AOB menganjurkan dua sesi Perbincangan dengan AC. Sesi tersebut dihadiri oleh 739 orang ahli AC yang mewakili 597 buah PLC.

AC memainkan peranan penting dalam menetapkan nada yang tepat untuk proses pelaporan kewangan syarikat. Dalam hal ini, satu perbincangan panel dengan ahli AC dan juruaudit yang bertajuk ‘How can Audit Committee dan Auditors Work Towards Reliable Financial Statements’ turut dimasukkan ke dalam sesi tersebut. Perbincangan tertumpu kepada proses pelaporan kewangan PLC, peranan dan tanggungjawab AC dan juruaudit, penunjuk kualiti audit dan mendapatkan nilai daripada Laporan Ketulusan Tahunan firma.

Sesi tersebut telah mendapat sambutan memberangsangkan daripada AC. Dalam tinjauan soal selidik yang dijalankan pada sesi itu, 99% ahli AC mendapati topik yang dibentangkan dan dibincangkan adalah bermanfaat dan relevan dengan peranan mereka sebagai Jawatankuasa Audit dan pengarah PLC.

PENGAJARAN PENTING UNTUK JAWATANKUASA AUDIT

PERBINCANGAN AOB DENGAN FIRMA AUDIT

AOB mengadakan perbincangan tahunannya dengan kepimpinan dan rakan kongsi kanan firma audit berdaftar dengan AOB dalam dua sesi berasingan pada 18 Ogos 2022 dan 9 September 2022. Sebanyak 84 rakan kongsi audit kanan menghadiri sesi ini. Sesi ini membolehkan perbincangan bersama mengenai cabaran yang dihadapi oleh profesion dan usaha kawal selia untuk meningkatkan kualiti audit. AOB juga berkongsi pemerhatian terkini,
keprihatinan dan risiko untuk tahun 2023.

INISIATIF PEMBANGUNAN KAPASITI BAGI FIRMA AUDIT DAN JURUAUDIT INDIVIDU YANG BERDAFTAR DENGAN AOB


AOB bekerjasama dengan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA) untuk menganjurkan satu bengkel mengenai ISQM 1 yang akan berkuat kuasa pada 15 Disember 2022. ISQM 1 tertumpu kepada mengenal pasti dan bertindak balas secara proaktif terhadap risiko terhadap usaha menjamin. Dalam mematuhi piawaian ini, firma audit perlu melaksanakan penilaian risiko mereka sendiri untuk memastikan sistem pengurusan kualiti mereka direka khusus untuk menangani risiko ini terhadap kualiti.

Bengkel tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan AOB untuk membangunkan kapasiti profesion audit, iaitu juruaudit yang berdaftar dengan AOB. Objektif bengkel tersebut adalah untuk membantu firma audit dengan pelaksanaan ISQM 1. Bengkel tersebut dimudah cara oleh pasukan petugas ISQM 1 MICPA berpandukan Panduan ISQM 1 & Manual Berilustrasi MICPA. Sesi tersebut memberikan contoh praktikal tentang cara firma audit boleh merangka sistem pengurusan kualiti mereka berdasarkan sifat dan keadaan firma dan tugasan yang mereka jalankan. Sesi tersebut juga menekankan perubahan penting daripada piawaian kawalan kualiti sedia ada.

Pautan Berkaitan
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia | Hubungi Kami |Penolak Tuntutan | Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Follow us on:
Ooops!
Generic Popup