AOB mengiktiraf cabaran yang dihadapi oleh firma berdaftar dalam menggaji dan mengekalkan juruaudit yang berkelayakan. Mobiliti profesional perakaunan dan pengauditan kita telah meningkat beberapa tahun kebelakangan ini dan pilihan adalah tersedia untuk bakat tempatan kita di peringkat serantau dan global. Kekurangan profesional mahir tersebut berkemungkinan, mempunyai potensi untuk menjejaskan kualiti audit.
Sehubungan itu, adalah penting bagi pihak berkepentingan utama dalam ekosistem pelaporan kewangan bekerjasama untuk mencari penyelesaian yang berdaya maju dan mampan untuk menangani isu ini demi kepentingan profesion dan pasaran modal kita. Dalam jangka pendek, AOB menggesa firma berdaftar untuk meneruskan usahanya untuk mengekalkan bakat dan mula meneroka penyelesaian jangka panjang seperti mempercepatkan rancangan penerimagunaan teknologi.
Landskap pengauditan telah melalui perubahan ketara dengan pengenalan teknologi baharu. Memandangkan teknologi dan pendekatan dipacu data untuk bekerja menjadi semakin penting kepada proses audit dan model perniagaan, juruaudit memerlukan kemahiran yang lebih menyeluruh. Kapasiti dan kecekapan amalan audit perlu dinilai secara berterusan untuk memenuhi permintaan sedia ada dan yang dijangkakan.
Penglibatan dan sumbangan berterusan AOB di peringkat global dan serantau melalui Forum Antarabangsa Pengawal Selia Audit Bebas (IFIAR) dan Kumpulan Pengawal Selia Audit ASEAN (AARG) memudahkan perkongsian bersama tentang pandangan berharga tentang amalan terbaik pengawalseliaan audit. Selanjutnya, sebagai ahli Kumpulan Kerja Pelabur dan Pihak Berkepentingan Lain (IOSWG) IFIAR, AOB telah memanfaatkan pengalaman dan pengetahuan bidang kuasa luar mengenai perkara yang berkaitan dengan perlindungan pelabur dan meningkatkan kualiti audit. IOSWG juga merupakan saluran utama bagi AOB untuk memahami jangkaan pelabur dan pihak berkepentingan lain terhadap juruaudit dan peraturan audit.
Kekuatan sistem pelaporan kewangan bergantung kepada pelbagai pihak berkepentingan yang memainkan peranan yang berbeza tetapi saling berkaitan dalam proses yang direka untuk menyediakan pelabur dengan penyata kewangan teraudit yang berkualiti tinggi dan boleh dipercayai. Menyedari perkara ini, penglibatan tetap AOB dengan juruaudit dan pemegang kepentingan utama menyediakan jalan untuk berkongsi jangkaan pengawalseliaan dan menangani keperluan dan kebimbangan pihak berkepentingan. Ia juga membolehkan AOB secara proaktif menangani isu-isu berbangkit.
Sebagai salah satu pihak berkepentingan utama dalam ekosistem, Jawatankuasa Audit (AC) memainkan peranan penting melalui pengawasan mereka terhadap pelaporan kewangan dan proses audit. AOB percaya bahawa pengawasan berkesan oleh AC yang kukuh, berpengetahuan dan bebas merupakan kuasa pasaran yang kuat untuk meningkatkan kualiti audit. Dalam hal ini, AOB telah berusaha untuk memastikan bahawa AC dimaklumkan dengan secukupnya dan dilengkapi dengan maklumat yang relevan untuk melaksanakan tanggungjawab pengawasan mereka dengan berkesan. Satu cara untuk menyampaikan maklumat berkaitan kepada Jawatankuasa Audit adalah melalui penerbitan dan pengedaran Laporan Pemeriksaan Tahunan (AIR) AOB.
AOB terus mengedarkan AIR kepada semua syarikat tersenarai awam dan amat menggalakkan AC untuk memahami dan membincangkan penemuan pemeriksaan, pemerhatian dan statistik peringkat firma dengan juruaudit masingmasing.
Pada 31 Disember 2022, terdapat 40 firma audit dan 369 juruaudit individu yang berdaftar dan diiktiraf mengaudit entiti berkepentingan awam (PIE) dan kumpulan wang jadual.
Pada tahun 2022, AOB memeriksa 21 Firma Audit yang meliputi 52 juruaudit individu untuk 56 tugasan audit. Firma audit yang mempunyai lebih daripada 50 pelanggan audit PIE dengan jumlah permodalan pasaran pelanggan audit PIE melebihi RM15.0 bilion terus diperiksa setiap tahun oleh AOB. Seperti tahun-tahun sebelumnya, AOB meneruskan pemeriksaan yang disasarkan untuk bertindak balas terhadap risiko yang muncul. Maklumat yang lebih mendalam tentang program pemeriksaan untuk tahun 2022 yang termasuk penemuan pemeriksaan biasa, hasil semakan tematik, analisis trend dan usaha pemulihan yang diambil oleh firma audit yang diperiksa akan disediakan secara berasingan dalam Laporan Pemeriksaan Tahunan 2022 AOB.
Dari segi penguatkuasaan, AOB mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap juruaudit kerana kegagalan mematuhi piawaian pengauditan yang berkaitan dan kegagalan melaksanakan fungsi penyemak kawalan kualiti tugasan dengan berkesan. Firma audit juga dikenakan sanksi kerana kegagalan mematuhi piawaian kawalan kualiti firma yang membawa kepada kegagalan dalam mengesan kekurangan audit dalam pengauditan PIE. Tindakan penguatkuasaan terhadap penyemak kawalan kualiti tugasan dan firma audit ini adalah bertujuan untuk menghantar isyarat kukuh tentang kepentingan proses kawalan kualiti dalam menjaga integriti kualiti audit dan proses kawalan.
Pada masa lalu, tindakan penguatkuasaan AOB telah tertakluk kepada Semakan Kehakiman oleh juruaudit yang tidak berpuashati dan AOB telah berjaya mempertahankan tindakan dan kedudukannya di Mahkamah setakat ini. Kami telah melaporkan dalam Laporan Tahunan tentang satu keputusan penting oleh Mahkamah Persekutuan yang sebulat suara memutuskan memihak kepada SC dan menolak permohonan kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan oleh firma audit dan rakan kongsinya terhadap tindakan penguatkuasaan AOB. Keputusan Mahkamah Persekutuan mengukuhkan lagi keteguhan rangka kerja penguatkuasaan AOB.
PENGHARGAAN
Bagi pihak Lembaga Pengarah, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Hew Ee-Lu dari Bank Negara Malaysia (BNM), yang menamatkan tempoh perkhidmatannya sebagai ahli Lembaga AOB pada Oktober 2022, atas sumbangan berharganya kepada Lembaga AOB. Hew berkhidmat sebagai ahli Lembaga AOB selama empat tahun. Selanjutnya, saya ingin mengalu-alukan Hong Chin Pheng dari BNM ke Lembaga AOB pada Oktober 2022.
Saya ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli Lembaga AOB atas komitmen mereka dan saya berterima kasih kepada rakan pengawal selia, badan professional perakaunan dan pihak berkepentingan lain atas sokongan dan sumbangan berterusan mereka.
Kepada pasukan pengurusan dan pekerja kami, terima kasih atas kerja keras dan usaha cemerlang anda terutamanya pada masa yang mencabar ini. Saya menantikan untuk melaporkan kemajuan berterusan AOB pada tahun-tahun akan datang.