Perkembangan Global Pada 2024

Ekonomi global kekal stabil pada 2024, didorong oleh tekanan inflasi yang semakin berkurangan dan pemulihan dalam perdagangan global. Walaupun berdepan pelbagai cabaran, ekonomi maju berjaya mencapai ‘pendaratan terkawal’, disokong oleh perbelanjaan pengguna yang mampan dalam persekitaran inflasi yang menurun dan pasaran buruh yang kukuh. Pertumbuhan ekonomi maju dipacu terutamanya oleh Amerika Syarikat (AS), manakala pertumbuhan di zon Euro kekal perlahan. Sementara itu, ekonomi sedang pesat membangun terus menyokong pertumbuhan global, disokong oleh penggunaan swasta yang kukuh di India dan pertumbuhan pantas di negara ASEAN yang disokong oleh pemulihan permintaan luar. Namun begitu, pemulihan ekonomi China kekal perlahan dengan peningkatan risiko deflasi disebabkan oleh krisis hartanah yang berpanjangan, permintaan domestik yang lemah, serta ketegangan perdagangan dengan ekonomi utama lain.

Walaupun pertumbuhan ekonomi menunjukkan daya tahan, beberapa cabaran terus mempengaruhi ekonomi global pada 2024. Antaranya termasuk turun naik dalam mata wang dan aliran modal, ketidaktentuan politik yang meningkat susulan pelbagai pilihan raya di seluruh dunia, ketegangan perdagangan yang semakin meningkat antara ekonomi utama, serta ketegangan geopolitik yang berterusan. Selain itu, data ekonomi global yang bercampur-campur dan kadar disinflasi yang lebih perlahan di AS berbanding ekonomi utama yang lain menambahkan kerumitan untuk bank-bank pusat utama dalam menetapkan dasar monetari, yang menimbulkan kebimbangan mengenai potensi kemelesetan ekonomi global.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam laporannya tinjauan Ekonomi Dunia pada Oktober 2024 meramalkan pertumbuhan global berkembang pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 3.2% pada 2024 daripada 3.3% pada tahun 2023, dengan jurang perbezaan yang mengecil. Walaupun begitu, rantau Asia Pasifik kekal sebagai pemacu pertumbuhan global, dengan IMF meramalkan pertumbuhan di rantau ini akan mencapai 4.6% pada 2024 (2023: 5.0%).

Carta 1

Tahap tekanan kewangan global meningkat pada Ogos 2024, di tengah-tengah kebimbangan kemelesetan di AS dan penutupan posisi hadapan dagangan yen.

Indeks Tekanan Kewangan Global (FSI) OFR dan FSI Malaysia
Nota: Global FSI adalah daripada Office of Financial Research, Department of Treasury, manakala Indeks Tekanan Kewangan Malaysia (MFSI) dianggarkan secara dalaman
mengikut metodologi yang sama (lihat Monin, 2017). Nilai FSI yang melebihi sifar menunjukkan tekanan kewangan lebih tinggi daripada purata sejarah dalam ekonomi.
Sumber: US Office of Financial Research, anggaran dalaman SC.

Prestasi pasaran kewangan global memperoleh momentum pada 2024, apabila pelabur mengambil kira keyakinan terhadap potensi pemotongan kadar faedah oleh bank-bank pusat utama, sementara pendapatan korporat kekal menggalakkan. Perkembangan prospek penurunan inflasi dan pertumbuhan merentas ekonomi utama membentuk jangkaan pelabur mengenai arah tuju dasar monetari global, yang mengakibatkan aliran dana portfolio merentas sempadan, mewujudkan lebih banyak turun naik dalam pasaran kewangan. Tahap tekanan kewangan global melonjak pada Ogos 2024, di tengah-tengah kebimbangan kemelesetan di AS dan penutupan posisi hadapan dagangan yen berikutan langkah tidak dijangka oleh Bank Pusat Jepun yang menaikkan kadar faedah utamanya pada akhir Julai. Walau bagaimanapun, tekanan kewangan menjadi sederhana selepas beberapa siri penerbitan data ekonomi AS yang menggalakkan yang membantu mengurangkan kebimbangan mengenai kemelesetan, meningkatkan prestasi pasaran kewangan global menjelang akhir tahun (Carta 1).

Dalam prestasi pasaran ekuiti global, Indeks MSCI World meningkat sebanyak 16.99% pada 2024, manakala Indeks MSCI Emerging Market mengikuti penanda aras global dengan meningkat 4.96%, mencerminkan pertumbuhan ekonomi China yang lembap, dan ketegangan perdagangan yang berterusan dengan AS. Pada September 2024, bahagian India dalam Indeks MSCI AC World IMI telah meningkat kepada 2.4%, lebih tinggi daripada bahagian China sebanyak 2.2%, mewakili peralihan dalam keutamaan pelabur kepada enjin pertumbuhan pasaran baru muncul. Sementara itu, indeks bon global bertambah baik pada 2024, didorong oleh jangkaan dasar monetari yang cenderung kepada pelonggaran yang berterusan sepanjang sebahagian besar tahun ini di tengah-tengah tekanan inflasi global yang berkurangan (Carta 2).

Carta 2

Prestasi ekuiti dan bon global bertambah baik pada 2024

Sumber: Refinitiv Eikon Datastream; pengiraan SC.
Pautan Berkaitan
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia | Hubungi KamiPenolak Tuntutan | Paparan laman yang lebih baik dengan resolusi minimum 1280x1024

Ikuti kami di: 

Ooops!
Generic Popup