Tanggungjawab untuk melaksanakan audit penyata kewangan yang berkualiti terletak pada juruaudit. Walau bagaimanapun, AOB percaya bahawa penglibatan tetap dengan pelbagai pihak berkepentingan dan kepimpinan firma audit akan memberi kesan positif dalam meningkatkan kualiti audit. Kualiti audit dapat dicapai dalam situasi di mana terdapat sokongan daripada, dan komunikasi dalam kalangan pihak berkepentingan utama dalam ekosistem pelaporan kewangan.
Pada 2021, AOB menjadi ahli Kumpulan Kerja Pelabur dan Pihak Berkepentingan Lain (IOSWG) Forum Pengawal Selia Audit Bebas Antarabangsa (IFIAR). IOSWG termasuk Ahli IFIAR dari Austria, Kanada, Perancis, Itali, Jepun, Korea, Belanda, Afrika Selatan, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS). Objektif IOSWG adalah untuk meningkatkan perlindungan pelabur dan menambah baik kualiti audit berdasarkan cadangan daripada kedua-dua pihak pelabur yang merupakan penerima utama audit dan pihak berkepentingan lain yang mempunyai kepentingan dalam perkara yang berkaitan dengan audit.
AOB meneruskan libat urus bersama pihak berkepentingan dan inisiatif pembangunan kapasiti untuk pedaftarnya pada 2021.