Perutusan Pengurusi

Pengiktirafan yang diterima daripada CG Watch 2023 mengukuhkan kedudukan AOB sebagai pengawal selia audit yang dipercayai dan dihormati di rantau ini. Pengiktirafan ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa kepimpinan teguh semua ahli lembaga kami dan komitmen yang tidak berbelah bahagi daripada pasukan pengurusan kami untuk menyokong kualiti audit.

Ia satu penghargaan yang besar untuk saya membentangkan Laporan Tahunan Lembaga Pemantauan Audit (AOB) bagi tahun berakhir 31 Disember 2023. Ini merupakan laporan pertama saya sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif AOB, selepas dilantik pada 5 Januari 2024.

Saya bersyukur menyertai AOB pada masa Malaysia terus menduduki tempat pertama untuk kualiti juruaudit dan pengawal selia audit dalam Corporate Governance (CG) Watch 2023 yang dikeluarkan oleh Persatuan Tadbir Urus Korporat Asia (ACGA). Ini merupakan kali ketiga berturutturut Malaysia memegang kedudukan ini. Saya gembira melaporkan bahawa kami berjaya melakukannya dengan peningkatan enam mata daripada skor sebelumnya. Peningkatan dalam skor ini menyerlahkan usaha berterusan Malaysia untuk terus menaikkan tahap dan menetapkan piawaian dalam pengawasan audit.

PENGAWASAN JURUAUDIT ENTITI BERKEPENTINGAN AWAM DAN KUMPULAN WANG JADUAL

Pemantauan juruaudit termasuklah pendaftaran, pemeriksaan dan penguatkuasaan. Aktiviti pengawasan AOB termasuk mengukuhkan usaha pemantauan berterusan dengan mengeluarkan garis panduan dan mempengaruhi ekosistem pelaporan kewangan melalui siri Perbualan AOB dengan juruaudit, jawatankuasa audit (AC) syarikat tersenarai awam (PLC) dan kumpulan pelabur. AOB juga meneruskan usaha kerjasamanya dengan badan profesional untuk menetapkan tahap untuk jangkaan kawal selia dan menangani sebarang kebimbangan kolektif juruaudit berdaftar AOB dengan seboleh yang mungkin.

Pada tahun 2023, kami mengeluarkan Garis Panduan Mengenai Kewajipan Berterusan untuk Juruaudit Berdaftar untuk mengukuhkan rangka kerja pemantauan kami ke atas juruaudit berdaftar dan memastikan pemantauan dan penyeliaan yang lebih baik ke atas juruaudit berdaftar kami.

Seperti dalam tahun-tahun sebelumnya, untuk membolehkan maklumat yang lebih mendalam dikongsi, penemuan pemeriksaan dan pemerhatian terhadap firma audit dan juruaudit akan dibentangkan secara berasingan dalam Laporan Pemeriksaan Tahunan (AIR) 2023. Dalam usaha untuk memudahkan saluran komunikasi bermakna antara AC PLC dan juruaudit mereka, AIR akan terus diedarkan kepada ahli-ahli AC PLC dan pemegang kepentingan utama yang lain.

AOB telus dan jelas dengan jangkaannya terhadap kualiti audit. Kualiti audit terpakai kepada semua firma audit tanpa mengira saiznya dan sebarang ketidakpatuhan terhadap piawaian dan peraturan akan menyebabkan tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana juruaudit berdaftar yang melakukan sebarang pelanggaran. Pada tahun 2023, terdapat beberapa tindakan penguatkuasaan, mulai daripada teguran, larangan dan penalti monetari yang dikenakan
ke atas juruaudit.

PERBINCANGAN DAN LIBAT URUS MENGENAI KUALITI AUDIT

Pada tahun 2023, buat julung kalinya, kami menganjurkan libat urus kami dengan ahli Majlis Pelabur Institusi Malaysia (IICM) untuk mewujudkan kesedaran tentang fungsi pemantauan audit SC di Malaysia dan untuk mendapatkan pandangan daripada kumpulan pelabur mengenai perkara berkaitan juruaudit dan kualiti audit. Matlamat libat urus adalah untuk membuka saluran komunikasi dengan kumpulan pelabur untuk memahami jangkaan mereka terhadap juruaudit dan pengawal selia audit.

AOB Alert untuk Jawatankuasa Audit yang pertama telah dikeluarkan pada tahun laporan dengan tujuan menyediakan kemas kini mengenai usaha kami untuk menggalakkan kualiti audit dan pembangunan penting yang memberi kesan kepada ekosistem pelaporan kewangan. Perbincangan AOB bersama Jawantakuasa Audit dan AOB Alert untuk Jawatankuasa Audit direka untuk memastikan AC dimaklumkan dengan secukupnya tentang maklumat yang relevan untuk melaksanakan tanggungjawab pengawasan mereka dengan berkesan.

Kemampanan firma audit berdaftar AOB amat penting untuk menegakkan kualiti audit. Kami mengambil maklum usaha firma untuk menangani isu kadar keberhentian kakitangan. Namun begitu, AOB menggesa juruaudit dan entiti berkepentingan awam (PIE) untuk melabur dan memanfaatkan perkembangan teknologi untuk membantu mengurangkan kebimbangan mengenai sumber manusia dalam jangka pendek. Juruaudit dan PIE juga perlu meneroka penyelesaian teknologi jangka panjang dan mempercepatkan usaha untuk memasukkan teknologi dalam ekosistem pelaporan kewangan.

AOB memantau dengan teliti perkembangan dalam pelaporan dan jaminan kemampanan dan pada masa yang sama berusaha untuk meningkatkan kemahiran pasukan kami dalam pelaporan kemampanan dan jaminannya yang semakin penting di mata dunia.

PENGHARGAAN

Saya ingin mengucapkan terima kasih atas sumbangan dan sokongan Pengerusi AOB sebelum ini, Dato’ Anantham Kasinather dan seorang ahli bukan eksekutif kami, Dato’ Darawati Hussain yang menamatkan penggal mereka dalam Lembaga pada tahun 2023. Pada tahun 2023, kami mengalu-alukan Dato’ Noorazman Abd Aziz yang menyertai Lembaga.

Pengiktirafan yang diterima daripada CG Watch 2023 mengukuhkan kedudukan AOB sebagai pengawal selia audit yang dipercayai dan dihormati di rantau ini. Pengiktirafan ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa kepimpinan teguh semua ahli lembaga kami dan komitmen yang tidak berbelah bahagi daripada pasukan pengurusan kami untuk menyokong kualiti audit.

Selain itu, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan pengawal selia, badan perakaunan profesional dan pihak berkepentingan lain atas sokongan berterusan mereka. Saya berharap dapat bekerjasama dengan ahli lembaga saya dan pasukan serba boleh kami untuk meneruskan kemajuan kami dan melaksanakan mandat kami dengan berkesan.

Pautan Berkaitan
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia | Hubungi KamiPenolak Tuntutan | Paparan laman yang lebih baik dengan resolusi minimum 1280x1024
Follow us on:
Ooops!
Generic Popup