SC Daftar Dua Pengendali Tawaran Awal Bursa (IEO)

23 Mac 2022 |  Kuala Lumpur 

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan bahawa mereka telah mendaftarkan dua pengendali Tawaran Awal Bursa (IEO), Kapital DX Sdn Bhd dan Pitch Platforms Sdn Bhd, untuk menggalakkan inovasi yang bertanggungjawab dalam ruang aset digital

Pengendali IEO yang berdaftar akan menyediakan laluan alternatif untuk syarikat yang layak mengumpul dana melalui pengeluaran token digital di Malaysia. Penerbit boleh mengumpul dana sehingga RM100 juta daripada pelabur runcit, sofistikated, serta pelabur mangkin, tertakluk kepada had pelaburan yang disediakan dalam Garis Panduan SC mengenai Aset Digital.

Pengendali baharu ini akan dikehendaki menjalankan penilaian yang diperlukan, antara lain, untuk mengesahkan cadangan nilai digital penerbit, menyemak cadangan dan pendedahan penerbit dalam Kertas Putihnya, dan menjalankan usaha wajar yang komprehensif ke atas penerbit dan tawaran tokennya, sebelum menganjurkan token digital penerbit pada platform mereka.

Selain itu, mereka akan diberi masa sehingga sembilan bulan untuk mematuhi semua keperluan kawal selia sebelum memulakan operasi, dan ini termasuk melaksanakan proses Pencegahan Pengubahan Wang Haram/Membanteras Pembiayaan Keganasan (AMLA/CFT) yang teguh dan berkesan untuk mengurangkan Risiko Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (ML/TF).

SC ingin mengingatkan orang ramai bahawa mereka tidak dibenarkan menawarkan, mengeluarkan atau mengedar sebarang aset digital, yang telah ditetapkan sebagai sekuriti, di Malaysia tanpa mendapatkan pendaftaran atau kebenaran daripada SC. Sehubungan itu, seseorang yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya berhati-hati dengan risiko yang berkaitan dengan pelaburan dalam aset digital, termasuk risiko melabur pada platform yang tidak berdaftar dengan SC. Orang ramai boleh mengesahkan status pendaftaran pengendali platform IEO di www.sc.com.my/development/digital/digital-initiatives

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

HUBUNGI KAMI
HOTLINE: +603-6204 8000
PAUTAN BERKAITAN
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia    |    Hubungi Kami    |    Penolak Tuntutan    |    Paparan laman yang lebih baik menggunakan Internet Explorer 11 dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup