Page 54 - SC Laporan Tahunan 2023 Flipbook
P. 54

 BAHAGIAN 2 PRESTASI DAN HASIL KAWAL SELIA
Pendekatan Pelbagai Serampang yang Diguna pakai oleh SC untuk Menangani Kebimbangan Kawai Selia yang Timbul daripada Percambahan Nasihat Pelaburan Tidak Berlesen
Pada 2023, SC melaksanakan beberapa tindakan penguatkuasaan terhadap penasihat pelaburan tidak berlesen. lni adalah sebagai respons kepada kebimbangan kawal selia yang timbul daripada peningkatan dalam percambahan guru-guru pelaburan gaya sendiri sejak 2020. Modus operandi guru pelaburan tidak berlesen ini adalah dengan memberi nasihat pelaburan dalam bentuk petua saham dalam seminar, kumpulan WhatsApp atau kumpulan Telegram. Orang ramai yang berminat perlu membayar yuran langganan untuk menyertai kumpulan sokongan eksklusif di mana pengendali akan menyebarkan nasihat pelaburan. lni termasuk panggilan untuk membeli, menjual dan mengurangkan kerugian dengan harga sasaran kaunter tertentu.
Pada April 2023, SC memberi teguran dan mengenakan denda sebanyak RM303,376.00 terhadap Logeswaran Balasubramaniam kerana melanggar seksyen 58 CMSA kerana menjalankan perniagaan dalam aktiviti yang dikawal selia dengan memberikan nasihat pelaburan kepada orang lain berkaitan sekuriti tanpa memegang CMSL. Tindakan penguatkuasaan yang sama turut diambil pada 2023 terhadap Asma Nasarudin dan Andrew Ng Gim Meng di mana mereka diberi teguran dan dikenakan denda masing-masing sebanyak RM257,000 dan RM248,140.
Hasil ini merupakan sebahagian daripada, dan penerusan tindakan penguatkuasaan dan campur tangan lain yang dimulakan sejak 2020, apabila terdapat peningkatan ketara dalam bilangan aduan yang diterima oleh SC mengenai penasihat pelaburan tidak berlesen yang biasanya menggunakan modus operandi yang diterangkan di atas. Peningkatan ini bertepatan dengan bertambahnya minat pelabur runcit untuk menyertai pasaran saham pada tahun berkenaan di mana dilaporkan terdapat peningkatan sebanyak 236% dalam penyertaan runcit di Bursa Malaysia pada 2020 berbanding 2019 dengan peningkatan 167% dalam jumlah akaun CDS baharu dibuka.
Sebelum tindakan pada 2023 seperti di atas, pada November 2022, SC turut mengenakan pertuduhan ke atas empat individu iaitu Muhamad Afiq Md Isa, Natasha Mohamed Taufek, Tan Soon Hin dan Teh An See di mahkamah kerana melanggar Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA kerana menerima dan memindahkan hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, iaitu nasihat pelaburan tidak berlesen. Selain itu, tindakan penguatkuasaan serentak turut diambil terhadap individu tersebut, di mana pada 2023, SC memberi teguran dan mengenakan denda sebanyak RM1,975,570.88 terhadap Muhamad Afiq Md Isa, RM6,579,922.75 terhadap Teh An See dan RM517,500.00 terhadap Tan Soon Hin, bagi pelanggaran seksyen 58 CMSA kerana menjalankan perniagaan dalam aktiviti yang dikawal selia dengan memberikan nasihat pelaburan kepada orang lain berkenaan sekuriti tanpa memegang CMSL.
Dari 2020 hingga 2023, SC juga melaksanakan pelbagai intervensi lain terhadap pengendali skim tersebut seperti pengeluaran 31 notis henti operasi, menyekat 29 laman web dan memasukkan 53 nama dalam Senarai Peringatan Pelabur.
Pertambahan penasihat pelaburan tidak berlesen menimbulkan beberapa kebimbangan. Perkara yang jelas ialah orang awam yang melabur akan menerima nasihat pelaburan daripada individu yang tidak berkelayakan. Nasihat pelaburan yang diberikan perlu disokong oleh alasan yang meyakinkan dan kukuh berdasarkan penyelidikan yang dijalankan oleh pakar dalam bidang tersebut. SC mengenakan syarat ketat kepada mereka yang ingin mendapatkan lesen nasihat pelaburan. Mereka dikehendaki memiliki kelayakan tertentu, lulus peperiksaan yang ketat, dan mesti dinilai sebagai layak dan sesuai sebelum mereka boleh dipertimbangkan untuk diberi lesen. Sekiranya berurusan dengan penasihat pelaburan tidak berlesen, objektif ini tidak akan tercapai dan seterusnya merugikan orang ramai yang melabur. Selanjutnya, pelabur yang berurusan dengan penasihat pelaburan tidak berlesen ini akan mempunyai akses terhad kepada tindakan undang-undang sekiranya berlaku sebarang pertikaian.
Selain daripada menerima nasihat daripada individu yang tidak berkelayakan dan mempunyai akses terhad kepada tindakan undang-undang, penasihat pelaburan tidak berlesen tertentu boleh menggunakan pengaruh mereka untuk menjalankan skim 'pump and dump'. Mereka boleh menggesa pengikut mereka untuk menjalankan dagangan di kaunter tertentu untuk mewujudkan minat untuk memanipulasi pasaran untuk kepentingan mereka. Dengan cara ini, pelabur yang tidak curiga tanpa sedar akan menjadi mangsa kepada skim manipulasi pasaran atau penipuan sekuriti.
Tindakan pelbagai serampang oleh SC ini telah mengurangkan kebimbangan dalam hal ini di mana bilangan aduan dan pertanyaan yang diterima mengenai penasihat pelaburan tidak berlesen tersebut telah berkurangan dengan ketara. Pada 2021 bilangan aduan yang diterima terhadap penasihat pelaburan tidak berlesen adalah berjumlah 75. Disebabkan sebahagiannya oleh tindakan kawal selia yang diambil oleh SC, bilangan aduan baharu yang diterima pada 2022 dan 2023 masing-masing telah menurun kepada hanya lapan dan sembilan kes.
SC akan terus memantau dan mengambil tindakan pantas sekiranya trend menunjukkan sebarang peningkatan baharu dalam hal ini.
52 ► LAPORAN TAHUNAN 2023 SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA























































































   52   53   54   55   56