Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah
Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.
Misi SC adalah “untuk menggalakkan dan mengekalkan pasaran sekuriti dan derivatif yang adil, cekal, terjamin dan telus, serta untuk memudahcarakan pembangunan teratur bagi pasaran modal yang inovatif dan berdaya saing.”
SC mempunyai tanggungjawab secara langsung untuk membuat dan menguatkuasakan undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan pasaran modal, memastikan pertumbuhan dan pembangunan pasaran yang mampan, menyelia aktiviti pasaran modal dan institusi pasaran termasuk bursa, rumah penjelasan dan pengendali pasaran berdaftar, dan mengawal selia semua entiti dan individu yang berlesen di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Menurut SCA, SC melapor kepada Menteri Kewangan dan laporan kewangannya dibentangkan di Parlimen setiap tahun.
Bidang tanggungjawab kami termasuk: - Membangunkan keseluruhan pasaran modal dan segmen pasarannya seperti pasaran ekuiti, pasaran bon dan sukuk, pasaran modal Islam, pengurusan dana, derivatif dan platform berasaskan pasaran dan perkhidmatan yang lain;
- Memudahcarakan inovasi dan perkhidmatan digital menerusi pasaran modal;
- Mewujudkan saluran bagi ekosistem pembiayaan yang mampan;
- Memastikan tingkah laku yang wajar semua peserta pasaran melalui kerja-kerja penyeliaan, pemantauan dan penguatkuasaan;
- Meneraju amalan tadbir urus korporat yang baik; dan
- Memudahcarakan kerjasama kawal selia rentas sempadan dan kepimpinan pemikiran yang lebih luas.
Mendasari semua kerja-kerja kami adalah tumpuan kepada para pelabur. Mandat utama kami adalah untuk mengawal selia dan memastikan pertumbuhan pasaran sentiasa dilaksanakan dengan objektif untuk melindungi pelabur, termasuk inisiatif untuk meningkatkan tahap literasi kewangan dan pelaburan mereka.