SC mengguna pakai pendekatan perisytiharan ketika meluluskan dana, pelantikan syarikat pengurusan dan pemegang amanah. Di bawah rejim "pengawalseliaan berasaskan penzahiran", SC memberi penekanan terhadap penzahiran bagi memastikan penzahiran yang lengkap dan mencukupi berkenaan dana dalam prospektus dana bagi membantu bakal pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat. Dalam menentukan maklumat yang relevan untuk dizahirkan dalam prospektus, SC mengambil kira, antara lain, perkara berikut:
- Jenis dana
- Individu yang berpotensi untuk memperoleh unit-unit dana tersebut
- Tahap pengetahuan dalam kalangan penasihat profesional yang akan dirujuk oleh pelabur
- Profil risiko dana untuk menentukan sekiranya terdapat penzahiran risiko yang bersesuaian yang menepati selera risiko bakal pelabur.
Jika penzahiran maklumat dana adalah memuaskan, SC akan mendaftarkan prospektus dan surat ikatan dana dalam tempoh 21 hari kalendar (tidak termasuk cuti umum) dari tarikh penyerahan.
SC turut memantau kriteria kelayakan syarikat pengurusan, khususnya kriteria ekuiti tempatan mereka.
Sekiranya fungsi tertentu syarikat pengurusan yang berkaitan dengan dana yang dicadangkan, diberikan kepada pihak lain, syarikat pengurusan itu hendaklah memastikan bahawa pelaksanaan fungsi tersebut mematuhi
Garis Panduan mengenai Penyumberan Luar bagi Pengantara Pasaran Modal.Sebagai sebahagian daripada proses urusan kami, SC sentiasa berbincang dengan pihak berkepentingan yang berkaitan, sebagai contoh, kementerian/agensi kerajaan dan persatuan industri bagi memastikan penyediaan perkhidmatan kami kepada pasaran adalah menyeluruh, konsisten, telus, cekap dan tepat pada masanya. Sehubungan ini, SC akan sentiasa memantau dan mengawal selia peserta industri bagi memastikan pematuhan terhadap garis panduan dan undang-undang sekuriti.
lihat
Proses Kelulusan Dana Unit Amanah di Malaysia.pdf