Mendorong Pertumbuhan Berterusan Melalui Pembangunan dan Inovasi Digital

Dengan meningkatnya permintaan perkhidmatan digital dan dalam talian, pasaran modal terus menyaksikan pertumbuhan yang menggalakkan melalui inovasi digital dan pengenalan model perniagaan baharu; membolehkan pengantara, perniagaan dan pelabur mendapat manfaat daripada kebolehcapaian, kecekapan, ketelusan dan kemudahan.

  • Mempelbagaikan Sumber Pembiayaan untuk PMKS Melalui Platform Pengumpulan Dana Alternatif

    Sejak dimulakan, platform pembiayaan baharu seperti ECF dan P2P telah memberi manfaat kepada lebih 4,000 PMKS dengan jumlah dana terkumpul sebanyak RM2.7 bilion. Walaupun masih agak bersaiz kecil, saluran pengumpulan dana alternatif ini berkembang menjadi sumber pembiayaan yang berdaya maju untuk PMKS, meningkatkan jangkauan mereka kepada syarikat kecil dan baru muncul.

    Secara khususnya, ECF dan pembiayaan P2P telah membantu dalam menangani keperluan pembiayaan PMKS semasa pandemik. Kedua-dua pasaran tersebut telah mengumpul lebih daripada RM1.8 bilion sejak permulaan PKP pada 2020.

    Sebagai sebahagian daripada evolusi berterusan pasaran ECF, beberapa inisiatif utama telah diperkenalkan pada 2021 untuk memenuhi keperluan perniagaan yang lebih luas dan mendorong pertumbuhan pasaran:
    • Had pengumpulan dana seumur hidup tunggal di platform ECF dinaikkan kepada RM20 juta daripada RM10 juta sebelum ini bagi memudah cara syarikat peringkat permulaan dan PMKS memperoleh pembiayaan peringkat awal secara fleksibel dan kompetitif;
    • Senarai penerbit ECF yang layak telah ditambah dengan memasukkan syarikat awam tidak tersenarai. Bagi memastikan kesamaan peraturan, keperluan penzahiran yang dipertingkatkan telah dikenakan. Ia menghendaki syarikat awam tidak tersenarai yang ingin mendapatkan pembiayaan melalui platform ECF untuk mengemukakan antara lain, prospektus kepada pengendali ECF seperti yang ditetapkan dalam Garis Panduan RMO; dan

    • Kelulusan dana mikro pertama diberikan kepada pengendali ECF untuk meluaskan penawaran produk di platform ECF. Dana mikro ialah kaedah biasa yang ditubuhkan oleh pemodal teroka/ pelabur pemangkin untuk melabur dalam syarikat peringkat permulaan atau peringkat pertumbuhan.

    INISIATIF UNTUK MENYOKONG AKSES PENGUMPULAN DANA YANG LEBIH BESAR MELALUI ECF DAN PEMBIAYAAN P2P

    Had pengumpulan dana ECF dinaikkan daripada RM10 juta kepada RM20 juta

    Senarai penerbit ECF yang layak ditambah dengan memasukkan syarikat awam tidak tersenarai

    Dana Mikro pertama diluluskan untuk dihoskan di platform ECF

    Memangkin akses pembiayaan melalui MyCIF

    Sejak penubuhan Dana Pelaburan Bersama Malaysia (MyCIF) pada 2019, ia telah menerima peruntukan sebanyak RM180 juta daripada kerajaan untuk melabur bersama dengan pelabur swasta di platform ECF dan pembiayaan P2P. Sehingga kini, MyCIF telah berjaya membuat pelaburan bersama berjumlah lebih daripada RM357 juta dalam lebih 16,000 kempen ECF dan pembiayaan P2P, dan memberi manfaat kepada 2,280 PMKS. Dana tersebut melakukan pelaburan bersama dengan lebih daripada RM1.36 bilion daripada pelabur swasta.

    Secara berasingan, tambahan sebanyak RM5 juta disalurkan kepada MyCIF untuk pelaburan bersama dalam Perusahaan Sosial. Skim Perusahaan Sosial MyCIF (MyCIF-SE) mula beroperasi pada tahun 2020, di mana MyCIF telah membuat pelaburan bersama pada nisbah 1:1 dalam kempen pembiayaan P2P anjuran perusahaan sosial yang diiktiraf oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) di samping melepaskan bahagian faedah/ pulangannya bagi mengurangkan kos pembiayaan perusahaan sosial.

    MyCIF memberi manfaat kepada pelbagai perniagaan dalam saiz yang berbeza-beza dalam pelbagai sektor, termasuklah platform yang didayakan oleh teknologi dan perniagaan secara fizikal yang memerlukan pembiayaan untuk mengembangkan perniagaan dan modal kerja.

    Menyediakan saluran pengumpulan dana baharu melalui Platform IEO

    Susulan daripada pengenalan rangka kerja kawal selia yang mentadbir penawaran token digital melalui platform IEO, SC membuka peluang kepada bakal pengendali IEO untuk mendaftar sebagai RMO.

    Sambutan daripada pengendali IEO yang berpotensi amat menggalakkan. Penilaian peraturan pada pengendali IEO sedang dijalankan. SC membuat penilaian selanjutnya ke atas permohonan IEO yang telah disenarai pendek bagi memastikan ketekunan wajar yang betul dijalankan, dengan pertimbangan sewajarnya terhadap pelbagai faktor seperti cadangan nilai pemohon, kecekapan teknologi dan rangka kerja pematuhan dan pengurusan risiko.

  • Mempertingkat Penawaran Dalam Pasaran yang Diiktiraf

    Sejak rangka kerja DAX diperkenalkan pada tahun 2019, SC telah mendaftarkan empat DAX, iaitu Luno Malaysia Sdn Bhd, SINEGY Technologies (M) Sdn Bhd, Tokenize Technology (M) Sdn Bhd dan MX Global Sdn Bhd.

    Di sebalik ketaktentuan pasaran berikutan pandemik, pasaran aset digital domestik terus berkembang, dengan lebih daripada RM21 bilion aset digital didagangkan di semua DAX berdaftar pada 2021. Ia terus menarik minat pelabur apabila jumlah akaun pelaburan meningkat sebanyak hampir 300% kepada kira-kira 760,000 pada 2021 (2020: lebih daripada 190,000). Pelabur yang berumur di bawah 35 tahun merangkumi segmen terbesar sebanyak 62%, memegang lebih daripada 470,000 akaun pada akhir 2021.

    SC terus memudah cara pengenalan aset digital baharu untuk didagangkan di DAX, dengan meluluskan Bitcoin Cash (BCH) pada Mac 2021 sebagai aset digital tambahan yang dibenarkan. Aset digital lain yang dibenarkan untuk didagangkan di DAX termasuk Bitcoin, Ripple, Ethereum dan LiteCoin.

    Selaras dengan pendekatan memudah cara struktur pasaran baharu untuk perdagangan, pengedaran dan pengehosan produk pasaran modal, SC mendaftarkan sebagai RMO Am untuk mengendalikan platform dagangan antara bank bagi perjanjian belian semula dan perjanjian belian semula berbalik.

    Dalam segmen e-Perkhidmatan, dua RMO baharu telah diberi persetujuan untuk beroperasi sebagai Platform e-Services (RMO-eSP).

  • Memacu Keterangkuman Lanjut Melalui Model Perantaraan Digital

    Pasaran menyaksikan kemunculan satu lagi broker digital pada 2021. Broker digital mendapat tarikan melalui peningkatan bilangan pelabur runcit yang kini menggunakan akaun pembrokeran dalam talian. Peningkatan minat runcit dalam pasaran ekuiti sepanjang tempoh pandemik juga telah mendorong broker digital ke paras tertinggi baharu, memperolehi perkongsian pasaran runcit sebanyak 5.45%2 dengan jumlah bilangan akaun yang telah meningkat sebanyak lebih daripada 50% kepada kira-kira 251,000 pada 2021 [2020: lebih daripada 165,000]. Pelabur milenial merangkumi majoriti pangkalan pelanggan.

    Segmen pengurusan pelaburan digital (DIM) terus melebarkan penawaran pasaran modalnya untuk menangani keperluan pelaburan pelabur generasi digital yang muncul. Segmen ini telah berkembang dalam trend meningkat sejak beberapa tahun lalu, dengan jumlah AUM melepasi paras RM1 bilion pada akhir 2021. Satu syarikat DIM tambahan, telah dilesenkan pada 2021, menjadikan sejumlah lapan syarikat DIM kini beroperasi.

    Segmen DIM telah berjaya menarik dan berkhidmat kepada demografi pelabur yang lebih muda, di mana lebih 70% pelabur individu yang mengambil bahagian dalam DIM terdiri daripada mereka yang berumur di bawah 35 tahun, dan menarik penyertaan pelabur kali pertama. Kemunculan pelaburan baki wang lebihan, di mana baki wang lebihan dari pembelian, dibundarkan dan dilaburkan ke dalam dana. Ini juga telah membolehkan pelabur untuk mula melabur dengan jumlah pelaburan yang kecil secara mudah.


    2Ini merujuk kepada nilai dagangan runcit broker digital sebagai sebahagian daripada keseluruhan nilai dagangan runcit industri pembrokeran.

  • Menggalakkan Inovasi Digital Dalam Rantau APEC bagi Pertumbuhan Inklusif

    Sebagai sebahagian daripada inisiatif Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), SC membangunkan dan menganjurkan Bengkel Pendanaan Ramai secara maya pada 17 - 19 Ogos 2021. Pada asalnya ia dirancang untuk diadakan secara fizikal dan dipengerusikan oleh APEC Malaysia pada 2020. Bengkel tersebut menyokong keutamaan APEC 2020 Malaysia untuk mempunyai penyertaan ekonomi yang lebih inklusif melalui ekonomi digital dan teknologi, berjaya mengumpulkan lebih 130 peserta daripada 16 ekonomi APEC.

    Bengkel tersebut mengkaji asas pendanaan ramai dan rangka kerja kawal selia berbeza-beza yang diguna pakai oleh pelbagai bidang kuasa, pengalaman pengawal selia dalam membangunkan rejim pendanaan ramai masingmasing, serta isu dan cabaran peserta pasaran dalam ekosistem pendanaan ramai.
Pautan Berkaitan
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia | Hubungi Kami | Penolak Tuntutan | Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Follow us on:
Ooops!
Generic Popup