Mengembangkan Pendekatan Kawal Selia: Kebertanggungjawaban Bersama, Kecekapan dan Penerimaan Era Digital

Pasaran modal sentiasa berubah-ubah dan berinovasi, kesan daripada rentetan peristiwa di peringkat global dan domestik dan dibentuk oleh pertumbuhan kemajuan teknologi. Oleh itu, penting bagi SC memastikan pendekatan kawal selianya kekal berhemah namun progresif. Ini adalah untuk mengekalkan keyakinan terhadap integriti dan keadilan pasaran modal, sambil mendorong kemajuan dan pembangunannya. Pada 2022, SC memperkukuh pemantauan dan pengawasan pasaran, pengantara dan individu yang dikawal selia. Sebahagian besar usaha pemantauan dan pengawasan tersebut dilakukan dengan menumpukan kepada beberapa keutamaan strategik untuk membina daya tahan dan kepercayaan dalam pasaran dengan menggalakkan tatalaku yang baik melalui penggalakkan perniagaan yang bertanggungjawab, meningkatkan standard tadbir urus serta memupuk budaya kawal seliaan kendiri dan pematuhan. Tindakan penguatkuasaan yang berkesan juga telah dijalankan untuk meningkatkan standard tingkah laku dan menghalang salah laku manakala, inisiatif perlindungan pelabur dilaksanakan untuk meningkatkan lagi keyakinan dan kestabilan pasaran.

Untuk memastikan daya tahan operasi dan teknologi jangka panjang SC, usaha untuk membangunkan platform data berpusat dan seni bina aplikasi untuk meningkatkan penggunaan teknologi keseluruhan SC telah dimulakan. Tumpuan diberikan kepada meningkatkan keseluruhan fungsi pengawasan, pemantauan, pengawalan dan perlindungan pelabur SC, serta perkongsian pengetahuan yang lebih luas.

Berlatarbelakangkan persekitaran makroekonomi yang mencabar, keadaan kewangan yang semakin ketat dan kebimbangan yang timbul daripada konflik geopolitik, SC terus berwaspada terhadap kemunculan risiko dan kerentanan yang mungkin menimbulkan ancaman kepada kestabilan sistemik pasaran modal domestik.

Walaupun fungsi utama SC adalah untuk memelihara integriti pasaran modal yang adil dan cekap, usaha terus dilakukan untuk memastikan kami kekal sebagai pengawal selia yang cekap dan berkesan dengan tumpuan kepada penambahbaikan berterusan. Lanjutan daripada interaksi dengan peserta pasaran utama, beberapa semakan telah diperkemas untuk menjadikan proses dan pelaporan SC lebih mesra pengguna.

SC terus menggalakkan perantara dan perniagaan untuk mengamalkan pendekatan tertumpu pihak berkepentingan yang lebih meluas dalam strategi perniagaan dan pengurusan risiko mereka. 

SC memperkemas beberapa inisiatif penguatkuasaan pada 2022, untuk meningkatkan keberkesanan, kecekapan dan kepantasan tindakan penguatkuasaannya yang melibatkan penumpuan kepada pelanggaran undang-undang sekuriti berkaitan penipuan sekuriti, aktiviti tidak berlesen, dan pelanggaran penzahiran, sebagai sebahagian daripada keutamaan penguatkuasaan SC.

SC meneruskan pendekatan menyeluruh pelbagai hala dalam melindungi dan memperkasa pelabur, lebihlebih lagi dengan meningkatnya skim penipuan dan aktiviti tidak berlesen dalam pasaran modal. Selain itu, SC meneruskan usahanya untuk memperkasa pelabur melalui libat urus dalam media sosial dan program jangkauan pendidikan pelabur yang lain, secara maya dan fizikal.

Pautan berkaitan
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia | Hubungi Kami |Penolak Tuntutan | Paparan laman yang lebih baik dengan resolusi minimum 1280x1024
Follow us on:
Ooops!
Generic Popup