Perkembangan Global Pada 2022

Ekonomi global menghadapi beberapa siri kejutan yang menggugat kestabilan dan menjejaskan pemulihan ekonomi global pada tahun 2022. Hala tuju ke arah pemulihan telah berubah, terutamanya disebabkan oleh perang di Ukraine, yang membawa kepada ketidakseimbangan rantaian bekalan yang berpanjangan, kejutan harga komoditi, krisis tenaga di Eropah dan kadar inflasi yang tinggi sejak berdekad-dekad, merentasi kebanyakan ekonomi maju.

Peningkatan tekanan inflasi global mendorong pengetatan dasar monetari yang agresif oleh bank pusat utama untuk memulihkan kestabilan harga, yang membawa kepada pengetatan mendadak keadaan kewangan global. Ini juga mengakibatkan kebimbangan mengenai peningkatan risiko kemelesetan dalam kedua-dua ekonomi maju (AE) dan pasaran ekonomi pesat membangun (EMDE). Selain itu, kelembapan ekonomi China yang berlatarbelakangkan gangguan berterusan berkaitan COVID-19 dan tekanan dalam pasaran hartanah turut menjejaskan ekonomi global. Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam Tinjauan Ekonomi Dunia pada Oktober 2022 meramalkan pertumbuhan global akan menurun kepada 3.2% pada 2022 daripada 6.0% pada 2021, sambil menyatakan bahawa negaranegara yang menyumbang sekurang-kurangnya satu pertiga daripada ekonomi global dijangka menguncup pada 2022 atau 2023.

CARTA 1

Paras tekanan kewangan global meningkat pada 2022, dengan episod volatiliti berkala sepanjang tahun disebabkan oleh pelbagai faktor

Indeks Tekanan Kewangan (FSI) Global OFR dan FSI Malaysia
Nota: FSI Global adalah daripada Office of Financial Research, US Department of Treasury, manakala Indeks Tekanan Kewangan Malaysia (MFSI) dianggarkan secara dalaman mengikut metodologi yang sama (lihat Monin, 2017). Nilai FSI di atas sifar menunjukkan tekanan kewangan lebih tinggi daripada purata sejarah dalam ekonomi.
Sumber: US Office of Financial Research (OFR); anggaran dalaman SC.

Prestasi pasaran kewangan global lebih lemah pada tahun 2022 disebabkan oleh gabungan faktor-faktor seperti pengetatan keadaan kewangan global secara mendadak, kebimbangan terhadap kesan perang, dan peningkatan risiko kemelesetan ekonomi yang mengakibatkan volatiliti dalam pasaran kewangan global sepanjang tahun. Akibatnya, tahap keseluruhan tekanan kewangan global telah meningkat dengan ketara sejak awal tahun (Carta 1).

Dalam pasaran ekuiti global, Indeks MSCI World dan Indeks MSCI Emerging Markets merekodkan penurunan dua digit masing-masing sebanyak -19.5% dan -22.4% pada 2022. Sementara itu, dalam pasaran bon global, hasil bon meningkat dengan ketara pada 2022, diterajui oleh nota 10-tahun Perbendaharaan AS, didorong oleh inflasi yang tinggi sejak beberapa dekad dalam kalangan ekonomi maju dan jangkaan berterusan mengenai kenaikan kadar faedah yang lebih mendadak oleh bank pusat utama, yang membawa kepada prestasi lemah indeks bon utama (Carta 2).

CARTA 2

Ekuiti dan bon global mempamerkan prestasi yang lebih lemah pada 2022

Sumber: Refinitiv Eikon Datastream; pengiraan SC.
Pautan Berkaitan
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia | Hubungi Kami |Penolak Tuntutan | Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Follow us on:
Ooops!
Generic Popup