Perkembangan Pasaran Modal Malaysia Pada 2022

Ekonomi Malaysia pulih dengan kukuh pada 2022, di sebalik persekitaran luaran yang semakin mencabar. Pertumbuhan disokong oleh momentum permintaan domestik yang menggalakkan, pengembangan yang stabil dalam sektor luaran dan penambahbaikan berterusan dalam pasaran buruh. Penyambungan semula aktiviti ekonomi sepenuhnya dan pemulihan kemasukan pelancong asing berikutan lanjutan pelonggaran sekatan COVID-19 membantu menyokong prestasi ekonomi. Inflasi utama juga telah meningkat, mencerminkan keadaan permintaan yang lebih kukuh dan tekanan peningkatan kos. Sepanjang tahun 2022, KDNK sebenar berkembang 8.7% disokong oleh permintaan domestik yang kukuh ketika negara beralih kepada fasa endemik (Carta 3).

CARTA 3

Ekonomi Malaysia terus pulih pada 2022, didorong oleh permintaan domestik yang kukuh ketika negara beralih kepada fasa endemik

Sumber: Jabatan Statistik Malaysia, pengiraan SC.

Pasaran modal domestik terus menyokong ekonomi sebenar

Pasaran modal Malaysia kekal berdaya tahan dan teratur pada tahun 2022, berlatarbelakangkan prospek ekonomi global yang semakin pesimis dan keadaan kewangan global yang lebih ketat. Pasaran modal domestik terus memainkan peranannya yang penting dalam membiayai aktiviti ekonomi dan pengantaraan tabungan. Jumlah dana yang dikumpul dalam pasaran modal meningkat kepada RM179.4 bilion pada 2022 (2021: RM131.3 bilion), di mana RM26.0 bilion diperoleh melalui pasaran ekuiti1, manakala RM153.3 bilion diterbitkan melalui pasaran bon korporat. Demikian juga dengan saluran pengumpulan dana alternatif2 melalui pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (Pembiayaan P2P), yang meningkat dalam tahun 2022, dan terus menyokong keperluan pembiayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Manakala, industri pengurusan dana mengalami penilaian pasaran yang melemah dan penebusan bersih pada 2022, dengan aset di bawah pengurusan (AUM) berjumlah RM906.5 bilion (2021: RM951.1 bilion). Segmen unit amanah3 kekal sebagai sumber dana terbesar bagi AUM. Secara keseluruhan, saiz pasaran modal meningkat kepada RM3.6 trilion pada 2022 (2021: RM3.5 trilion), di mana kejatuhan dalam permodalan pasaran ekuiti diimbangi oleh sekuriti hutang belum tebus yang lebih tinggi. (Carta 4).

carta 4

Di sebalik persekitaran yang mencabar, pasaran modal domestik kekal teratur dan terus memudah cara pengumpulan dana dan pengantaraan tabungan dengan berkesan

Sumber: Bursa Malaysia, pengiraan SC

Pasaran ekuiti domestik terjejas oleh kekangan berterusan di peringkat global dan domestik. Permodalan pasaran keseluruhan Bursa Malaysia dan FBMKLCI masing-masing menyederhana kepada RM1.74 trilion dan RM1.03 trilion pada 2022 (2021: RM1.79 trilion dan RM1.04 trilion masing-masing). Indeks FBMKLCI turut merosot sebanyak -4.6% dan mengakhiri tahun 2022 pada 1,495.49 mata. Dari segi penyertaan perdagangan, institusi tempatan kekal sebagai penjual bersih dengan jumlah sebanyak -RM6.53 bilion pada 2022. Sehubungan itu, segmen bukan pemastautin menjadi pembeli bersih, setelah menjadi penjual bersih selama empat tahun berturut-turut, dengan jumlah belian bersih berjumlah RM4.40 bilion (2021: -RM3.15 bilion), manakala belian bersih oleh pelabur runcit tempatan berjumlah RM2.13 bilion (Carta 5). Dari segi nilai yang didagangkan, kadar penyertaan pelabur runcit menurun kepada purata 25.7% pada 2022 (2021: 34.6%), tetapi kekal melebihi purata lima tahun pra-pandemik sebanyak 18.8%. Sementara itu, purata volum dagangan harian juga menyederhana kepada 3.00 bilion pada 2022 (2021: 5.85 bilion), bernilai purata RM2.18 bilion sehari (2021: RM3.66 bilion).

Dalam pasaran bon Malaysia, jumlah bon dan sukuk belum tebus meningkat kepada RM1.9 trilion pada 2022 daripada RM1.7 trilion pada 2021, mencerminkan tahap pengumpulan dana bon dan sukuk yang lebih tinggi dalam pasaran. Keseluruhan keluk hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) beralih ke aras yang lebih tinggi, menjejaki pergerakan pasaran bon global. Ini didorong oleh jangkaan normalisasi dasar monetari yang berterusan di peringkat global dan domestik, memandangkan tekanan inflasi yang tinggi. Spred antara bon korporat dan MGS melebar dalam semua tempoh matang utama, kecuali bagi nota 3-tahun (Carta 6). Sementara itu, pasaran bon domestik menyaksikan penyertaan pelabur asing yang lebih rendah dengan aliran keluar bersih berjumlah -RM9.8 billion pada tahun 2022 (2021: aliran masuk bersih RM33.6 billion).

carta 5

Prestasi pasaran ekuiti Malaysia lebih lemah pada 2022, tetapi bukan pemastautin kembali sebagai pembeli bersih dalam pasaran ekuiti, pertama kali sejak 2017

Nota: * FBMKLCI terdiri daripada 30 syarikat terbesar yang diukur mengikut permodalan pasaran penuh dalam Indeks FTSE Bursa Malaysia EMAS; FBM Small Cap terdiri daripada semua konstituen Indeks FTSE Bursa Malaysia EMAS yang bukan konstituen Indeks FTSE Bursa Malaysia Top 100; FBM ACE terdiri daripada semua syarikat yang disenaraikan di Pasaran ACE.

Sumber: Bloomberg, Bursa Malaysia, pengiraan SC.

carta 6

Hasil bon MGS mengalami tekanan meningkat dalam semua tempoh matang, manakala spred bon korporat melebar, sejajar dengan pasaran bon global

Nota: * Bon korporat menerima penarafan antara AAA dan BBB.
Sumber: Bloomberg, Refinitiv Eikon Datastream, pengiraan SC.

  1. Dalam pasaran ekuiti, RM3.5 bilion berjaya dikumpulkan melalui 35 tawaran awam awal (IPO) dan RM22.6 bilion melalui pengumpulan dana sekunder.
  2. Dana yang dikumpulkan melalui ECF dan pembiayaan P2P berjumlah RM1.7 bilion pada 2022 (2021: RM1.4 bilion).
  3. Jumlah keseluruhan nilai aset bersih (NAV) unit amanah adalah RM487.9 bilion pada 2022 (2021: RM526.9 bilion).
Pautan Berkaitan
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia | Hubungi Kami |Penolak Tuntutan | Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Follow us on:
Ooops!
Generic Popup