Tinjauan dan Prospek Pasaran Modal

Landskap ekonomi global terus mengalami cabaran yang getir pada tahun 2023, susulan perbezaan jangkaan yang berterusan dalam pertumbuhan global dan dasar monetari, ditambah pula dengan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat dan menyumbang kepada volatiliti menyeluruh dalam pasaran kewangan global. Di peringkat domestik, ekonomi Malaysia berkembang secara sederhana namun kekal berdaya tahan, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh. Berlatarbelakangkan cabaran global yang semakin meningkat, pasaran modal Malaysia kekal teratur dan terus berfungsi dengan berkesan dalam membiayai aktiviti ekonomi dan pengantaraan simpanan. Melangkah ke hadapan, ekonomi Malaysia dijangka kekal pada laluan pertumbuhan yang stabil pada 2024, didorong oleh perbelanjaan sektor swasta yang berterusan. Sementara itu, pasaran modal domestik dijangka kekal stabil, adil dan teratur didukung oleh asas ekonomi yang kukuh, kecairan domestik yang mencukupi dan persekitaran dasar yang menyokong.

Ekonomi global terus mengalami cabaran yang getir dan perbezaan makroekonomi. Walaupun kekal berdaya tahan, momentum pertumbuhan ekonomi global telah menyederhana dan tidak sekata di seluruh dunia dan rantau di sebalik keadaan monetari global yang lebih ketat, tekanan inflasi asas yang berterusan, serta ketidaktentuan geopolitik dan pemecahan geoekonomi yang semakin meningkat.

Ekonomi Malaysia terus berkembang pada 2023, walaupun pada kadar yang sederhana, disokong oleh aktiviti sektor swasta domestik yang berdaya tahan berlatarkan perdagangan global yang mencabar.

Pertumbuhan ekonomi global dijangka kekal perlahan pada 2024 di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi yang meningkat. IMF dalam WEO Oktobernya meramalkan pertumbuhan global yang perlahan kepada 2.9% pada 2024 daripada anggaran pengembangan sebanyak 3.0% pada 2023.

Pautan Berkaitan
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia | Hubungi KamiPenolak Tuntutan | Paparan laman yang lebih baik dengan resolusi minimum 1280x1024

Ikuti kami di: 

Ooops!
Generic Popup