Untuk mencapai budaya kualiti yang mampan dalam ekosistem pelaporan kewangan, pihak berkepentingan utama mesti memainkan peranan masing-masing dengan berkesan. Selama bertahun-tahun, kami telah terlibat dan bekerjasama dengan Jawatankuasa Audit, ahli akademik, pelabur, penyedia penyata kewangan untuk
mengukuhkan ekosistem pelaporan kewangan.
Tindakan penguatkuasaan AOB memperkukuh akauntabiliti juruaudit berdaftar PIE dan kumpulan wang jadual serta menghalang ketidakpatuhan terhadap piawaian pengauditan dan etika. Walaupun tindakan penguatkuasaan menghantar isyarat kuat kepada juruaudit tentang kepentingan menegakkan kualiti audit, AOB mengambil berat tentang cabaran yang dihadapi oleh firma audit berkenaan dengan pembinaan kapasiti.
Menyedari perkara ini, AOB menggunakan wang yang dikumpul daripada penalti yang dikenakan untuk memudahcarakan inisiatif pembinaan kapasiti bagi juruaudit berdaftar melalui kerjasama dengan MICPA. Bengkel yang disasarkan mengenai penemuan pemeriksaan biasa AOB telah dikendalikan oleh wakil-wakil Firma Audit Utama AOB. Usaha kerjasama antara profesion, badan perakaunan profesional dan pengawal selia ini seterusnya menekankan bahawa kualiti audit dalam profesion Malaysia merupakan tanggungjawab bersama.
Pada 2024, SC mengumumkan Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Kebangsaan (NSRF) dan satu bahagian penting NSRF, adalah untuk meningkatkan kemahiran akauntan mengenai perkara berkaitan kemampanan. Profesion perakaunan, yang pernah bertanggungjawab terutamanya bagi pelaporan kewangan, dijangka meningkatkan pengetahuan mereka untuk menyokong amalan kemampanan syarikat dan menyediakan perkhidmatan jaminan mengenai maklumat kemampanan. Menyedari keperluan akauntan untuk meningkatkan kemahiran mereka, AOB memberi subsidi kos kepada 100 akauntan daripada firma audit berdaftar AOB untuk menghadiri Program Pensijilan Profesional GRI yang telah dijalankan pada Oktober 2024.
Dalam usahanya untuk mengikuti perkembangan semasa dan isu-isu yang timbul mengenai audit dan pengawasan audit, AOB terus berinteraksi dengan pengawal selia domestik dan antarabangsa serta pihak berkepentingan lain dalam ekosistem pelaporan kewangan.
Keahlian AOB dengan Forum Pengawal Selia Audit Bebas Antarabangsa (IFIAR) dan Kumpulan Pengawal Selia Audit ASEAN (AARG) memberikan pandangan berharga tentang amalan terbaik kawal selia dan membolehkan pengawasan audit yang lebih konsisten dalam kalangan pengawal selia audit. Selain menjadi ahli Kumpulan Kerja Pelabur dan Pihak Berkepentingan Lain (IOSWG) IFIAR, pada tahun 2024, AOB telah diterima sebagai ahli Pasukan Petugas Jaminan Kemampanan IFIAR. Penglibatan dalam kumpulan kerja IFIAR membolehkan AOB memanfaatkan pengalaman pengawal selia audit lain di peringkat global dan membantu memacu perubahan dasar secara setempat di Malaysia.
Untuk mencapai budaya kualiti yang mampan dalam ekosistem pelaporan kewangan, pihak berkepentingan utama mesti memainkan peranan masing-masing dengan berkesan. Selama bertahun-tahun, kami telah terlibat dan bekerjasama dengan Jawatankuasa Audit, ahli akademik, pelabur, penyedia penyata kewangan untuk mengukuhkan ekosistem pelaporan kewangan.
Pada 12 Jun 2024, Persatuan Tadbir Urus Korporat Asia (ACGA), dengan kerjasama CLSA Ltd, mengeluarkan laporan Tadbir Urus Korporat (CG) Watch 2023 bahagian ASEAN. CG Watch 2023 adalah berdasarkan penilaian tadbir urus korporat dwitahunan ACGA terhadap amalan tadbir urus korporat merentas 12 pasaran Asia Pasifik. Malaysia mendapat tempat pertama dalam kategori juruaudit dan pengawal selia audit, memperlihatkan kekuatan rangka kerja pengawasan auditnya di seluruh rantau ini. ACGA mengiktiraf bahawa AOB memainkan peranan penting melalui pemeriksaan biasa dan hasil penguatkuasaan yang telus. Pengiktirafan global ini menjadi pendorong kepada AOB untuk meneruskan usahanya untuk meningkatkan lagi kualiti audit.
Akhir sekali, bagi pihak AOB, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak berkepentingan di peringkat tempatan dan antarabangsa atas sokongan dan kerjasama mereka sepanjang tahun.