Tinjauan dan Prospek Pasaran Modal

Landskap ekonomi global kekal stabil pada tahun 2024, di tengah-tengah penurunan inflasi yang berterusan dalam ekonomi maju, manakala perbelanjaan pengguna kekal berdaya tahan. Tahun ini turut menyaksikan kelonggaran dasar monetari oleh bank-bank pusat utama. Ekonomi global turut berdepan cabaran akibat peningkatan ketegangan perdagangan antara ekonomi-ekonomi utama dan isu geopolitik yang menyumbang kepada ketidaktentuan keseluruhan dalam pasaran kewangan global. Di peringkat domestik, ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan yang kukuh, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, terutamanya daripada peningkatan dalam pelaburan swasta serta pemulihan dalam aktiviti dagangan.

Ekonomi global kekal stabil pada 2024, didorong oleh tekanan inflasi yang semakin berkurangan dan pemulihan dalam perdagangan global. Walaupun berdepan pelbagai cabaran, ekonomi maju berjaya mencapai ‘pendaratan terkawal’, disokong oleh perbelanjaan pengguna yang mampan dalam persekitaran inflasi yang menurun dan pasaran buruh yang kukuh.

Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang kukuh pada 2024, disokong oleh aktiviti sektor swasta domestik yang berdaya tahan, pemulihan dalam permintaan luar dan peningkatan ketibaan pelancong. Pasaran buruh terus kukuh, dengan kadar pengangguran turun ke paras terendah dalam tempoh lima tahun, manakala pertumbuhan gaji terus menggalakkan.

Ekonomi Malaysia dijangka kekal berada pada trajektori pertumbuhan yang stabil pada tahun 2025, dirangsang oleh kekuatan berterusan dalam permintaan domestik, terutamanya melalui pengembangan berterusan dalam perbelanjaan dan pelaburan sektor swasta. Pelancaran pelan ekonomi kerajaan yang berterusan akan terus menambah sokongan kepada ekonomi, manakala pemulihan ringgit Malaysia akan meningkatkan aktiviti perbelanjaan pengguna. 

Pautan berkaitan
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia | Hubungi KamiPenolak Tuntutan | Paparan laman yang lebih baik dengan resolusi minimum 1280x1024

Ikuti kami di: 

Ooops!
Generic Popup