Perutusan Pengerusi

Saya dengan sukaacitanya membentangkan Laporan Tahunan Lembaga Pemantauan Audit (AOB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025. Setelah berkhidmat sebagai ahli Lembaga Pengarah sejak tahun 2020 dan dilantik semula sebagai Pengerusi Eksekutif pada 5 Januari 2026, ini merupakan tahun pertama saya melaporkan aktiviti pengawasan dan sorotan utama AOB.

Saya dengan sukaacitanya membentangkan Laporan Tahunan Lembaga Pemantauan Audit (AOB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025. Setelah berkhidmat sebagai ahli Lembaga Pengarah sejak tahun 2020 dan dilantik semula sebagai Pengerusi Eksekutif pada 5 Januari 2026, ini merupakan tahun pertama saya melaporkan aktiviti pengawasan dan sorotan utama AOB.
 
Sehingga 31 Disember 2025, juruaudit di bawah bidang kuasa AOB secara kolektif mengaudit 1,348 entiti berkepentingan awam (PIE) dan 1,363 kumpulan wang jadual.

TEKNOLOGI DAN KEMAMPANAN

Landskap pengauditan sedang dibentuk semula oleh perubahan teknologi yang pesat dan penekanan yang semakin meningkat terhadap kemampanan. Analisis data dan kecerdasan buatan sedang mengubah proses audit, membantu juruaudit memperoleh maklumat yang lebih mendalam tentang proses dan prestasi perniagaan. Terdapat peningkatan tumpuan terhadap pelaporan dan jaminan kemampanan, dengan juruaudit dijangka memberikan jaminan bahawa penzahiran adalah boleh dipercayai dan sejajar dengan piawaian global.
 
Sejak penubuhannya pada tahun 2010, AOB telah secara konsisten memperkukuh mandatnya untuk melindungi kualiti audit dan mengukuhkan keyakinan terhadap pelaporan kewangan. AOB terus mencapai kemajuan dalam aktiviti pengawasannya, yang antara lain merangkumi perkara berikut:

a) Pemantauan terhadap juruaudit dan firma audit
  • Melaksanakan pemeriksaan berkala ke atas juruaudit dan firma audit bagi menilai tahap pematuhan terhadap piawaian pengauditan, etika dan pengurusan kualiti.
  • Mengeluarkan garis panduan yang menggalakkan tadbir urus dan ketelusan dalam kalangan firma audit.

b) Tindakan penguatkuasaan terhadap ketidakpatuhan piawaian audit dan etika
  • Menetapkan jangkaan melalui tindakan penguatkuasaan terhadap firma audit dan juruaudit. Buat pertama kalinya, AOB telah menggantung sebuah firma audit serta dua juruaudit individunya atas isu serius berkaitan kualiti audit dan kegagalan mereka menunjukkan penambahbaikan terhadap kualiti audit berdasarkan penemuan pemeriksaan AOB sebelum ini.

c) Libat urus dengan pihak berkepentingan utama dan kerjasama strategik
  • Bekerjasama dengan organisasi lain seperti Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM) dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA) dalam sesi perkongsian pengetahuan dan dialog mengenai pengukuhan kualiti audit.
  • Perbincangan AOB dengan Jawatankuasa Audit tertumpu pada melengkapkan jawatankuasa audit dengan pengetahuan/maklumat untuk menjalankan fungsi pengawasan mereka ke atas juruaudit dan proses audit dengan berkesan. Pada tahun 2025, Perbincangan ini memberi tumpuan kepada kemampanan dan cara piawaian pelaporan kemampanan memberi kesan kepada penyata kewangan.

Dari segi kemampanan, AOB merupakan ahli aktif Jawatankuasa Penasihat Pelaporan Kemampanan (ACSR) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. AOB mempengerusikan Kumpulan Kerja Jaminan Kemampanan ACSR yang sedang membangunkan Rangka Kerja untuk Jaminan Kemampanan. Salah satu cadangan utama di bawah Rangka Kerja ini adalah untuk memperluas mandat AOB bagi merangkumi pengawasan terhadap penyedia jaminan kemampanan. Mandat yang dipertingkatkan ini bertujuan untuk memperkukuh keyakinan terhadap kualiti dan kebolehpercayaan pelaporan kemampanan yang terjamin dalam pasaran modal Malaysia.

MENINGKATKAN KUALITI AUDIT MELALUI KERJASAMA STRATEGIK

AOB telah bekerjasama dengan penetap piawaian antarabangsa dan menganjurkan meja bulat berikut:

  1. Meja Bulat Lembaga Piawaian Etika Antarabangsa untuk Akauntan (IESBA) mengenai Budaya dan Tadbir Urus Firma yang membincangkan dan mendapatkan maklum balas mengenai prinsip-prinsip untuk memperkukuh kepimpinan beretika, kebertanggungjawaban dan integriti merentasi firma audit.
  2. Meja Bulat Lembaga Piawaian Pengauditan dan Jaminan Antarabangsa (IAASB) mengenai Pengurusan Kualiti Teknologi yang menumpukan pada penggunaan dan tadbir urus teknologi baharu seperti analitik data dan kecerdasan buatan.

Sesi-sesi ini telah dihadiri oleh pengawal selia, juruaudit, penyedia dan pihak berkepentingan lain dalam ekosistem pelaporan kewangan. Meja bulat ini menyediakan ruang untuk berkongsi amalan terbaik, cabaran dan memupuk komitmen bersama terhadap kualiti audit.

TUMPUAN BERTERUSAN TERHADAP LIBAT URUS PIHAK BERKEPENTINGAN DAN PEMBANGUNAN KAPASITI

Adalah penting untuk AOB mempertimbangkan pandangan pihak berkepentingan utama berhubung perkara yang berkaitan dengan juruaudit dan kualiti audit. Oleh itu, kami terus menumpukan pada libat urus kami dengan juruaudit dan jawatankuasa audit syarikat awam tersenarai. Kami juga menggunakan libat urus ini untuk berkongsi tentang aktiviti pengawasan kami dan pemerhatian kami terhadap kualiti audit.
 
AOB menggunakan dana penalti untuk membina kapasiti juruaudit berdaftar, khususnya firma audit yang lebih kecil, melalui kerjasama dengan MICPA. MICPA disokong oleh kepakaran dan sumber Firma Audit Utama untuk menjalankan bengkel. Bengkel-bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan teknikal, mengukuhkan pertimbangan profesional, serta menggalakkan amalan terbaik dalam kualiti audit.
 
Melangkah ke hadapan, Lembaga ini akan terus memperkemas rangka kerja pengawasannya, memperluas libat urus kolaboratif dengan pihak berkepentingan utama, serta memanfaatkan teknologi untuk menambah baik proses pemeriksaan dan pemantauan, di samping menumpukan usaha pada bidang yang berisiko tertinggi. Inisiatif ini dirangka bagi memastikan juruaudit entiti berkepentingan awam mengekalkan piawaian tertinggi dari segi kebebasan, integriti dan kecekapan profesional.

PENGHARGAAN

Akhir sekali, bagi pihak AOB, saya ingin merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada bekas Pengerusi AOB, Tan Sri Abu Samah Nordin, atas kepimpinan cemerlang beliau dalam menerajui Lembaga. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dato’ Noorazman Abd Aziz, yang menamatkan tempoh perkhidmatannya sebagai Ahli Lembaga Bukan Eksekutif pada Julai 2025, atas sokongan dan komitmen yang diberikan sepanjang tempoh tersebut.

Kami dengan sukacitanya mengalu-alukan pelantikan YM Tunku Afwida Tunku Abdul Malek dan Seri Izriana Melani Mohtar sebagai Ahli Bukan Eksekutif AOB. Kepakaran dan perspektif mereka akan terus memperkukuh AOB.
 
Saya turut ingin merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan pengawal selia, badan perakaunan profesional, serta pihak berkepentingan atas sokongan berterusan mereka. Dengan komitmen Lembaga dan dedikasi barisan profesional AOB, kami kekal teguh dalam usaha memupuk persekitaran pengauditan yang memastikan firma audit dan juruaudit menjunjung nilai kualiti, kebebasan dan keberanian.
Pautan berkaitan
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia | Hubungi KamiPenolak Tuntutan | Paparan laman yang lebih baik dengan resolusi minimum 1280x1024

Ikuti kami di: 

Ooops!
Generic Popup