Tinjauan dan Prospek Pasaran Modal

Landskap ekonomi global kekal berdaya tahan pada tahun 2025 di samping peningkatan volatiliti dalam pasaran modal global. Pada separuh pertama tahun tersebut, prestasi pasaran terjejas susulan ketidaktentuan dasar perdagangan serta peningkatan ketegangan geopolitik. Walau bagaimanapun, apabila ketegangan perdagangan beransur reda dan sentimen pelabur bertambah baik, disokong oleh peluasan global kecerdasan buatan (AI), indeks penanda aras di beberapa negara telah mencatat paras tertinggi baharu dalam sejarah. Pasaran modal Malaysia turut melalui trajektori yang serupa, dengan aktiviti dagangan yang lebih rendah pada separuh pertama tahun sebelum pulih pada tempoh seterusnya, disokong oleh keadaan ekonomi domestik yang berdaya tahan meskipun berdepan tekanan luaran. Melangkah ke hadapan, pasaran modal domestik dijangka mendapat manfaat daripada unjuran penurunan kadar faedah oleh bank pusat utama, sejajar dengan tekanan inflasi yang semakin reda serta usaha untuk mengekalkan pertumbuhan. Perkembangan ini berkemungkinan merangsang aliran dana global ke pasaran membangun, termasuk ASEAN. Di peringkat domestik, pelaksanaan berterusan projek pelaburan di bawah pelan induk nasional, disokong oleh dasar yang kondusif, asas korporat yang kukuh serta kecairan domestik yang mencukupi, dijangka terus memperkukuh pasaran modal Malaysia pada tahun 2026.

carta 1

Tahap tekanan kewangan global meningkat pada April 2025, susulan ketidaktentuan perdagangan global

Nota: Global FSI adalah daripada Office of Financial Research, Department of Treasury, manakala Indeks Tekanan Kewangan Malaysia (MFSI) dianggarkan secara dalaman mengikut metodologi yang sama (lihat Monin, 2017). Nilai FSI yang melebihi sifar menunjukkan tekanan kewangan lebih tinggi daripada purata sejarah dalam ekonomi.
Sumber: US Office of Financial Research, SC.

Ekonomi global mencatat pertumbuhan yang lebih kukuh berbanding jangkaan pada tahun 2025. Menurut World Economic Outlook oleh International Monetary Fund (dikemas kini Januari 2026), unjuran pertumbuhan global bagi 2025 telah disemak naik kepada 3.3%, berbanding 3.2% dalam unjuran Oktober 2025.

Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan pada tahun 2025 berlatarbelakangkan ketidakpastian luaran yang timbul susulan ketegangan perdagangan global dan risiko geopolitik, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.2%.

Ekonomi global dijangka terus berdepan persekitaran yang mencabar pada tahun 2026, dengan kadar pertumbuhan diunjurkan sekitar 3.3% (IMF). Unjuran ini dipengaruhi oleh ketegangan perdagangan global yang berlarutan serta ketidakpastian dasar yang meningkatkan risiko penurunan terhadap pertumbuhan.

Pautan berkaitan
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia | Hubungi KamiPenolak Tuntutan | Paparan laman yang lebih baik dengan resolusi minimum 1280x1024

Ikuti kami di: 

Ooops!
Generic Popup