Dengan memanfaatkan keahliannya dalam Forum Pengawal Selia Audit Bebas Antarabangsa (IFIAR) dan Kumpulan Pengawal Selia Audit ASEAN (AARG), AOB memperoleh akses kepada perkembangan global dan serantau sambil menyumbang kepada usaha berterusan dalam meningkatkan kualiti audit. Platform ini turut menyediakan ruang bagi AOB untuk berhubung dengan kepimpinan global dan serantau daripada enam firma Jawatankuasa Dasar Awam Global (GPPC) bagi membincangkan isu rangkaian dan perkara baharu yang sedang muncul. Penglibatan AOB dalam kumpulan kerja IFIAR, termasuk Kumpulan Kumpulan Kerja Pelabur dan Pihak Berkepentingan Lain (IOSWG) dan Pasukan Petugas Jaminan Kemampanan (SATF), membuka peluang untuk menyampaikan perspektif Malaysia dalam perbincangan antarabangsa serta memastikan kesesuaian piawaian global dengan konteks tempatan. Penyertaan dalam SATF membolehkan AOB membentuk amalan berkaitan pelaporan dan jaminan kemampanan, satu bidang yang semakin penting bagi pasaran modal. Melalui IOSWG, AOB berinteraksi dengan pelabur dan pihak berkepentingan lain untuk memahami jangkaan mereka dengan lebih baik dan meningkatkan ketelusan dalam pelaporan kewangan.
Pada tahun 2025, AOB telah mengambil bahagian dalam mesyuarat pleno dan bengkel tahunan IFIAR, yang menghimpunkan pengawal selia dari seluruh dunia untuk bertukar pandangan mengenai amalan terbaik penyeliaan audit dan cabaran bersama. Perbincangan memberi tumpuan kepada topik kritikal seperti sistem pengurusan kualiti, jaminan kemampanan dan pendekatan audit yang melibatkan teknologi, sekali gus mengukuhkan kepentingan kerjasama global dalam memajukan penyeliaan audit.