Syarikat Awam Tersenarai

Secara amnya, PLC Malaysia menunjukkan tanda-tanda pertumbuhan menjelang suku ketiga 2022, dengan kebanyakan sektor mencatatkan pendapatan yang lebih tinggi berbanding dengan tempoh yang sama pada 2021. Sektor teratas dengan pendapatan yang jauh lebih baik ialah pengangkutan (+RM63.27 bilion, 205.15%), perkhidmatan kewangan (+RM7.00 bilion, 36.53%), pengguna perkhidmatan dan runcit (+RM3.67 bilion, 152.74%), pembuatan (+RM2.82 bilion, 15.62%) dan utiliti (+RM2.26 bilion, 50.51%). Selain daripada sektor pengangkutan yang telah memperoleh pendapatan lebih baik disebabkan faktor luar biasa pada hapus kira peruntukan setelah selesai penstrukturan semula hutang oleh sebuah syarikat penerbangan, prestasi sektor lain yang bertambah baik mencerminkan normalisasi aktiviti ekonomi apabila negara menuju ke arah fasa endemik dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa. Ia juga telah diperhatikan bahawa 60% PLC telah mempamerkan peningkatan pendapatan pada suku ketiga 2022 berbanding dengan tempoh yang sama pada 2021.

Selain daripada sektor pembuatan penjagaan kesihatan (sarung tangan) yang mencatatkan penurunan pendapatan yang ketara pada suku ketiga 2022 berbanding suku ketiga 2021, sektor tenaga juga melaporkan pendapatan yang lemah. sektor tenaga terjejas terutamanya disebabkan oleh kemerosotan ketara yang direkodkan oleh sebuah PLC dalam aktiviti penerokaan dan pengeluaran (upstream) minyak dan gas, serta dua buah PLC dalam aktiviti penapisan petroleum yang terjejas oleh margin jualan yang lebih rendah daripada perbezaan harga bagi minyak mentah dan produk petroleum yang ditapis. Selain itu, pendapatan yang dilaporkan bagi sektor hartanah dan pembinaan kekal lemah dan masih belum pulih ke tahap pra-pandemik. Pemulihan yang perlahan bagi sektor ini adalah disebabkan oleh limpahan dari kesan pandemik COVID-19, dimana kos bahan adalah lebih tinggi, di samping sentimen pasaran hartanah yang lebih berwaspada.

Cabaran luaran yang semakin meningkat mungkin juga terus menekan risiko kecairan PLC, dan berpotensi untuk memberi kesan terhadap pasaran modal pada masa hadapan. Walau bagaimanapun, berdasarkan penilaian oleh SC terhadap kewangan PLC termasuk sektor dengan saiz hutang terbesar seperti utiliti, dengan saiz hutang berjumlah RM185.67 bilion dan sektor perkhidmatan pengguna dan runcit dengan saiz hutang berjumlah RM135.08 bilion, tiada tanda-tanda kebimbangan mengenai kemerosotan kesihatan kredit yang mungkin akan menimbulkan risiko besar kepada pasaran modal.

Cabaran lain yang dihadapi oleh PLC pada tahun 2022 ialah pengukuhan dolar AS berbanding ringgit, yang memberi kesan terhadap PLC dengan peminjaman dalam denominasi dolar AS. Berdasarkan penilaian, pendedahan kepada kadar volatiliti dalam dolar AS telah disederhanakan oleh dasar lindung nilai PLC dalam menguruskan pendedahan dolar AS mereka atau secara semula jadi dilindung nilai dengan hasil PLC dalam denominasi dolar AS.

Secara keseluruhannya, walaupun prestasi yang lebih baik dicatatkan oleh PLC pada suku ketiga 2022, trajektori pertumbuhan Malaysia kekal menghadapi cabaran dengan peningkatan kadar faedah yang berterusan serta risiko ketegangan geopolitik yang berpanjangan mengganggu rantaian bekalan global yang akan membawa kepada inflasi yang lebih tinggi. Tekanan inflasi yang berlanjutan boleh melemahkan perbelanjaan isi rumah dan aktiviti pelaburan.


Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup