Rencana Khas: Pertumbuhan Dana Pasif

Dana pasif seperti dana indeks dan dana dagangan bursa (ETF) dipacu oleh penanda aras dan menjejaki komponen indeks pasaran. Dana pasif tersebut memaksimumkan pulangan dengan mereplikasi penanda aras. Daya tarikan dana yang diuruskan secara pasif terletak pada kepelbagaian serta yuran portfolio yang rendah, dan dalam beberapa kes mengatasi prestasi dana lain yang diurus secara aktif.

Dengan perubahan teknologi dan penggunaan data, pelaburan pasif mempunyai potensi untuk mengubah cara pasaran sekuriti berfungsi dan cara peserta pasaran berinteraksi. Dana pasif boleh mempengaruhi kehadiran pelabur asing di sesebuah negara memandangkan ia menjejak indeks penanda aras. Kemasukan PLC pada sesebuah indeks akan melibatkan aliran masuk pelaburan daripada dana-dana yang menjejaki indeks, memberi manfaat kepada pasaran modal domestik.

Indeks-indeks yang diiktiraf di peringkat global yang menjejaki Malaysia termasuk MSCI Emerging Markets Index, FTSE Emerging Index, dan Nasdaq Emerging Markets Index. MSCI Emerging Markets Index terdiri daripada permodalan besar dan sederhana di 24 negara pasaran pesat membangun, meliputi hampir 12% daripada permodalan pasaran dunia. Wajaran sekuriti Malaysia dalam MSCI Emerging Markets Index ialah 1.52% pada 30 September 2022.

Di AS, Bloomberg Intelligence melaporkan bahawa aset pasif hampir mengatasi aset aktif dalam dana bersama dan ETF. Sehingga Disember 2020, kira-kira 42.9% (AS$10 trilion) dana bersama dan ETF yang berpangkalan di AS diuruskan secara pasif, meningkat daripada 31.6% (AS$4.1 trilion) pada akhir 2015, menunjukkan pertumbuhan pesat dana pasif. Bagi pasaran pesat membangun, terdapat peningkatan 5% dalam AUM yang ditanda aras kepada MSCI Emerging Markets Index dari Disember 2016 hingga Disember 2021. Di Malaysia, dianggarkan RM41.85 bilion atau 40.59% daripada pelabur bukan strategik asing adalah pelabur pasif yang menjejaki dana indeks secara umum. Dalam hal ini, PLC Malaysia yang termasuk dalam indeks akan menarik minat pelabur dana pasif. Oleh itu, trend peralihan daripada pelaburan aktif kepada pasif meningkatkan keperluan untuk PLC berdaya saing dari segi saiz dan kecairan.

Global Financial Stability Report yang dikeluarkan pada April 2019 oleh IMF, menekankan bahawa walaupun kemasukan ke indeks memberikan negara pasaran pesat membangun akses kepada dana yang lebih besar dan pelbagai, namun aliran masuk sangat sensitif terhadap faktor global atau serantau yang menyeluruh dalam pasaran pesat membangun yang berada dalam indeks. Pelabur cenderung untuk menganggap pasaran pesat membangun sebagai satu kelas aset dan bukannya menumpukan pada perkembangan khusus negara tersebut. Akibatnya, sebarang berita negatif terhadap pasaran pesat membangun boleh menyebabkan ketidakstabilan kepada negara yang mempunyai bahagian yang lebih besar dalam pelaburan pasif.

Kebimbangan kestabilan sistemik boleh berlaku apabila ETF berleveraj atau songsang diimbangkan semula, kerana ia boleh menyebabkan pergerakan harga negatif. Peningkatan penggunaan indeks pasif dan strategi pelaburan aktif-mengikut-penanda aras untuk melabur dalam aset berisiko tinggi serta mempunyai kecairan yang rendah, mungkin memburukkan lagi insentif keluar dahulu dengan meningkatkan kemungkinan penjualan ‘fire sales’ di bawah tekanan.1 Memandangkan kebimbangan itu, peningkatan dalam dana pasif telah mendorong perbincangan komprehensif antara penyedia indeks, pengawal selia dan para pelabur. Dengan itu, ketelusan yang dipertingkatkan oleh penyedia indeks dari segi kriteria kelayakan akan menambah baik pengurusan volatiliti aliran.


1Policy Considerations: Investment Funds and Financial Stability. Garcia Pascual, A., Singh, R. & Surti, J. IMF. 2021. 
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup