Dua lagi juruaudit dicela oleh AOB
28 Ogos 2013   |   Kuala Lumpur

Lembaga Pemantauan Audit (AOB) hari ini mencela dua juruaudit kerana gagal menjalankan tugas profesional mereka sebagaimana yang ditetapkan dalam Piawaian Pengauditan antarabangsa (ISA). Salah seorang daripada juruaudit itu turut didenda RM10,000 kerana melanggar ISA dan undang-undang kecil Institut Akauntan Malaysia (MIA) yang berkaitan dengan kebebasan juruaudit.

Ini merupakan tindakan penguatkuasaan kedua yang diambil oleh AOB dalam 2013. Pengawal selia audit itu pada minggu lepas telah mencela empat juruaudit dengan seorang didenda RM5,000 kerana melanggar undang-undang kecil tersebut.

“Adalah penting untuk memberi penekanan tentang pentingnya mengguna pakai skeptis profesional secara bersungguh-sungguh. Kita tidak boleh bertolak ansur dalam perkara tersebut. Juruaudit mesti memastikan audit mereka dibuat mengikut piawaian pengauditan untuk memastikan audit berkualiti tinggi,” kata Nik Hasyudeen Yusof, Pengerusi Eksekutif AOB.

“Ini bermakna, firma audit perlu kerap mengkaji sistem, proses dan program latihan mereka bagi memastikan pasukan mereka lengkap dan bersedia untuk memberikan kualiti kerja sebagaimana yang digariskan oleh ISA. Permintaan dan keperluan pengauditan dan piawaian pelaporan kewangan tidak seharusnya dipandang remeh. Pada akhirnya, juruaudit mesti membentuk pandangan mereka berdasarkan bukti audit yang mencukupi dan bersesuaian. Ini merupakan inti pati yang dipertimbangkan oleh AOB apabila memeriksa pembabitan audit,” tambahnya.

AOB, ditubuhkan pada bulan April 2010 oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk menggalakkan keyakinan dalam kualiti dan kebertanggungjawaban penyata kewangan teraudit entiti berkepentingan awam, menjalankan pemeriksaan tahunan bagi memastikan firma audit mematuhi keperluan Piawaian Pengauditan Antarabangsa dan undang-undang kecil MIA yang berkaitan. AOB menerbitkan secara tahunan hasil pemerhatiannya itu yang termasuklah punca penyebab utama yang boleh memberikan impak ke atas kualiti audit.

Tindakan penguatkuasaan itu tidak semestinya menandakan bahawa penyata kewangan entiti berkepentingan awam berkenaan mengandungi sebarang kesilapan penting atau kawalan pelaporan kewangan mereka lemah. Butiran lanjut mengenai tindakan penguatkuasaan AOB itu boleh didapati disini.


LEMBAGA PEMANTAUAN AUDIT

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup