Malaysia dan Hong Kong setuju memajukan pasaran modal Islam 
9 November 2009   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan Hong Kong (Securities and Futures Commission of Hong Kong – SFC) hari ini bersetuju meningkatkan pengawalseliaan mereka melalui satu perjanjian pengiktirafan bersama (MRA) untuk memajukan Pasaran Modal Islam (ICM), khususnya Skim Pelaburan Kolektif Islam (CIS).

Pengerusi SC Tan Sri Zarinah Anwar dan Pengerusi SFC Dr Eddy Fong, menandatangani MRA tersebut di Kuala Lumpur, yang disaksikan oleh Menteri Kewangan II YB Dato’ Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dan Cik Au King Chi, Setiausaha Tetap bagi Perkhidmatan Kewangan & Perbendaharaan, Hong Kong. 

MRA tersebut akan membantu membuka jalan ke arah pasaran pelaburan Islam yang lebih luas serta menggalakkan kerjasama erat antara kedua-dua bidang kuasa. Di bawah perjanjian tersebut, pengantara pasaran modal Malaysia dibenarkan mengedarkan produk pelaburan Islam mereka di hab kewangan Hong Kong dengan pengawalseliaan yang minimum. Begitu juga, dana Islam yang dibenarkan dan dikawal selia oleh SFC serta yang diuruskan oleh pengurus-pengurus yang diberi lesen oleh SFC, kini boleh dipasarkan di Malaysia. 

Tan Sri Zarinah berkata, MRA tersebut menandakan satu lembaran baru dalam kerjasama antara SC dan SFC dan membuka jalan bagi membangunkan satu platform yang sama dalam penawaran CIS Islam rentas sempadan. 

“Penghubungan bersama pusat kewangan terkemuka seperti Hong Kong akan meningkatkan profil antarabangsa pasaran modal Islam dan akan memberi manfaat kepada pengantara dan pelabur masing-masing,” katanya. “Inisiatif ini juga menyokong usaha kerajaan Malaysia ke arah mempromosi Malaysia sebagai hab utama bagi kewangan Islam, termasuk pengantaraan dana Islam.” 

“Saya berasa sukacita dengan penandatanganan pengisytiharan ini. Pakatan ini bukan sahaja merupakan satu peristiwa penting dalam kerjasama pengawalseliaan dengan rakan sekerja di Malaysia, tetapi juga menyumbang kepada objektif kerajaan untuk menggalakkan kewangan Islam di Hong Kong. Para pelabur di kedua-dua pasaran bakal menikmati pilihan pelaburan yang lebih meluas dengan tawaran rentas sempadan CIS Islam”, kata Pengerusi SFC, Dr Fong pada majlis tanda tangan tersebut. 

Di samping memudahcarakan penawaran dana Islam rentas sempadan, SC dan SFC juga akan bekerjasama membina keupayaan serta perkongsian maklumat dalam pembangunan rangka kerja perundangan dan pengawalseliaan yang berkaitan dengan CIS Islam serta berkongsi pengalaman pengawalseliaan yang berkaitan dengan prinsip-prinsip Syariah. 

“Kerjasama dalam pembinaan keupayaan dan perkongsian maklumat merupakan langkah penting bagi memajukan ICM Malaysia kerana ini menunjukkan pengiktirafan dan penerimaan terhadap pengumuman/peraturan Syariah yang berkaitan dengan produk ICM,” kata Tan Sri Zarinah. 

Inisiatif ini merupakan satu lagi usaha ke arah menjadikan Malaysia sebagai pusat pengantaraan produk pelaburan Islam, dan meningkatkan daya tarikan Malaysia dan Hong Kong sebagai pusat pemasaran global bagi produk CIS Islam. Usaha ini diharapkan akan membuka jalan yang membolehkan kedua-dua bidang kuasa tersebut menarik pelaburan yang berpotensi besar dari Timur Tengah dan Asia, yang mempunyai bilangan penduduk Islam yang besar. 

Penawaran CIS Islam rentas sempadan ini akan disokong oleh kerjasama dalam pengawasan dan penguatkuasaan. Kedua-dua pengawal selia akan bekerjasama bagi membantu penguatkuasaan undang-undang dan peraturan masing-masing, serta memastikan perlindungan yang mencukupi bagi pelabur. Pengantara pasaran modal yang berhasrat untuk menawarkan dana Islam di luar bidang kuasa negara masing-masing juga dikehendaki mematuhi garis panduan yang berkenaan mengenai penzahiran dalam dokumen tawaran, pengiklanan dan pemasaran bagi memastikan pematuhan terhadap standard minimum tertentu. 

MRA bersama SFC ini merupakan MRA kedua yang ditandatangani oleh SC dengan pengawal selia asing. MRA pertama antara SC dan Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Dubai (Dubai Financial Services Authority) yang ditandatangani pada bulan Mac 2007, membenarkan dana Islam yang ditubuhkan di Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai ditawarkan kepada pelabur Malaysia dan begitu juga sebaliknya.

Garis Panduan Penawaran, Pemasaran dan Pengedaran Dana Asing (Guidelines for the Offering, Marketing and Distribution of Foreign Funds), yang dikeluarkan kali pertama pada bulan Mac 2008 telah dipinda bagi memasukkan peraturan yang mesti dipatuhi oleh pengurus berlesen SFC yang ingin menawarkan dana mereka di Malaysia. Garis panduan yang dipinda itu boleh didapati di sini.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
SC-World Bank-IOSCO Asia Pacific Hub Conference 2019: Enhancing Financial Inclusion through Islamic Finance and FinTech
(From left to right):
  1. Abayomi A. Alawode, Head of Islamic Finance, Finance, Competitiveness and Innovation, The World Bank Group
  2. Datuk Syed Zaid Albar, Chairman of the Securities Commission Malaysia (SC)
  3. Dr. Firas Raad, Country Manager for Malaysia, East Asia and Pacific, The World Bank Group 
  4. Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Deputy Chief Executive of SC
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup