Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna Mengundang Maklum Balas Terhadap Cadangan Penggubalan Akta Kredit Pengguna

SIARAN MEDIA BERSAMA

4 Ogos 2022 |  Kuala Lumpur

Kerajaan kini sedang menggubal Akta Kredit Pengguna (Consumer Credit Act, CCA), bagi memperkukuh perlindungan pengguna kredit di Malaysia. CCA akan menyediakan rangka kerja yang komprehensif untuk mengawal selia amalan entiti yang menjalankan perniagaan menyediakan kredit atau perkhidmatan kredit kepada pengguna, dengan tumpuan khas kepada entiti yang tidak dikawal selia oleh mana-mana pihak berkuasa pada masa ini.1 Liputan CCA yang dicadangkan termasuk pengawalseliaan bentuk kredit baharu seperti penyedia perkhidmatan "Beli Sekarang Bayar Kemudian” (“Buy Now Pay Later”).

CCA akan membuka jalan kepada penubuhan Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (Consumer Credit Oversight Board, CCOB) sebagai pihak berkuasa berwibawa bebas yang memantau penyedia kredit pengguna dan penyedia perkhidmatan kredit.

Perundingan awam ini merupakan bahagian yang pertama daripada dua bahagian perundingan. Bahagian pertama ini memberikan gambaran keseluruhan berhubung dengan landskap semasa industri kredit pengguna di Malaysia, cabarannya, serta cadangan pembaharuan untuk meningkatkan perlindungan terhadap individu dan perniagaan kecil dalam urusan dengan penyedia kredit dan penyedia perkhidmatan kredit. Pembaharuan tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat di bawah program berbilang tahun yang dicadangkan untuk menyediakan standard perlindungan yang konsisten kepada pengguna kredit dan menyokong pembangunan industri kredit yang teratur di Malaysia.

Pasukan Petugas CCOB ingin mendapatkan maklum balas tentang rangka kerja kawal selia dan pemberikuasaan (authorisation) yang dicadangkan, serta bidang-bidang yang akan terangkum dalam perundangan tersebut bagi menggalakkan standard profesionalisme yang tinggi dan amalan adil oleh penyedia kredit dan penyedia perkhidmatan kredit. Perundingan awam ini akan disusuli oleh Bahagian 2 kertas perundingan, yang dijadualkan penerbitannya pada suku keempat tahun 2022. Bahagian 2 akan memberikan butiran lanjut tentang pemberikuasaan, tadbir urus dan keperluan amalan yang akan diguna pakai ke atas penyedia kredit dan penyedia perkhidmatan kredit.

Kertas perundingan awam tersebut boleh dimuat turun melalui laman sesawang CCOB  [www.ccob.my]. Laman sesawang ini merupakan pusat rujukan sehenti untuk semua pihak berkepentingan yang ingin mendapatkan maklumat dan makluman terkini yang berkaitan dengan CCA dan CCOB.

Mana-mana pihak dan orang ramai yang berminat diundang untuk memberikan maklum balas dan ulasan mengenai kertas perundingan tersebut kepada Pasukan Petugas CCOB selewat-lewatnya pada hari Isnin, 5 September 2022 dengan menghantarkan e-mel kepada  [email protected].


Entiti ini termasuk tetapi tidak terhad kepada penyedia "Beli Sekarang Bayar Kemudian", syarikat pemajakan dan pemfaktoran, pembeli pinjaman terjejas dan agensi pengutip hutang.

LEMBAGA PEMANTAUAN KREDIT PENGGUNA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup