Pengawal Selia Pasaran Modal ASEAN Pergiat Usaha Promosi Kelas Aset ASEAN
9 September 2016|   Kuala Lumpur
Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) mengadakan mesyuarat ke-25 di Jakarta, yang dihoskan oleh Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Indonesia (Otoritas Jasa Keuangan). Di mesyuarat itu, anggota ACMF bersetuju untuk mempergiat usaha untuk mempromosi kelas-kelas aset ASEAN. Oleh itu, ACMF berpandangan bahawa inisiatif MSCI untuk membangunkan indeks ASEAN khusus untuk menyerlahkan lagi kelas-kelas aset ASEAN adalah tepat pada masanya dalam menyokong agenda ACMF.

ACMF juga bersetuju untuk memperkenalkan Persidangan Tahunan Pasaran Modal ASEAN sebagai satu platform untuk membincangkan peluang-peluang dalam pasaran modal ASEAN, dan mengetengahkan kelas-kelas aset ASEAN. Sehubungan ini, ACMF akan bekerjasama dengan rakan dialognya serta penggiat industri utama untuk melancarkan persidangan pertama pada separuh tahun pertama 2017.

Di mesyuarat tersebut, anggota ACMF berpuas hati dengan kemajuan dalam pelaksanaan Pelan Tindakan 2016-2020 ACMF yang menyokong objektif-objektif Komuniti Ekonomi ASEAN. Satu inisiatif utama Pelan Tindakan tersebut adalah untuk memupuk lebih banyak pergerakan para profesional di rantau ini. Susulan maklum balas positif yang kukuh daripada peserta pasaran, ACMF telah meluluskan penubuhan satu kumpulan kerja mengenai pergerakan para profesional bagi memperkenalkan kaedah-kaedah dalam memudahcarakan pergerakan rentas sempadan bagi para profesional pasaran modal secara berperingkat.

Memandangkan penekanan berterusan ACMF ke atas pembinaan keupayaan, mesyuarat tersebut juga meluluskan Pelan Pembinaan Keupayaan yang dibangunkan secara bersama oleh ACMF dan Bank Pembangunan Asia (ADB). Sebagai permulaan, satu program kawal selia bagi membangunkan pasaran bon tempatan telah dirumus secara khusus bagi anggota dari Kemboja, Lao PDR, Myanmar dan Vietnam (anggota CLMV), akan diadakan pada bulan September dan akan dihoskan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) Kemboja. ACMF juga mengalu-alukan Program Pengawal Selia Muda ASEAN yang dilancarkan pada awal tahun ini dengan peminjaman pegawai pengawal selia muda dari SEC Kemboja ke Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

ACMF memperakui kemajuan semakan menyeluruh kepada Kad Skor Tadbir Urus Korporat ASEAN dan metodologi penilaian yang kini diterajui oleh SEC Filipina. Di samping itu, mesyuarat tersebut juga menekankan kepentingan tadbir urus korporat sebagai komponen utama usaha ACMF dalam menggalakkan kebolehlaburan syarikat-syarikat awam tersenarai ASEAN.

Sehingga kini, sebanyak 14 dana telah diiktiraf sebagai Skim Pelaburan Kolektif (CIS) ASEAN di bawah Rangka Kerja CIS ASEAN, yang mana lima dana telah berjaya ditawarkan. Mesyuarat tersebut juga memperakui usaha yang sedang diterajui oleh SEC Thailand untuk meningkatkan lagi rangka kerja tersebut dengan menambah bilangan penandatangan, menyeragamkan piawaian penzahiran, serta melonggarkan halangan pelaburan.

Ranjit Ajit Singh, Pengerusi ACMF berkata, "Perbincangan bersama rakan dialog antarabangsa dan peserta pasaran telah menunjukkan bahawa kini wujud pelbagai peluang untuk menggalakkan pelaburan dalam kelas-kelas aset ASEAN melalui penubuhan indeks khusus ASEAN, dan pewujudan rangkaian produk pasaran modal ASEAN boleh labur yang meluas. Adalah penting bagi pelabur utama ASEAN memulakannya bagi mewujudkan mandat bagi pelaburan dalam kelas-kelas aset ASEAN.”

Menyedari kepentingan kewangan hijau bagi menyokong pertumbuhan mampan di rantau ASEAN dan meningkatnya jumlah modal global yang menginginkan pelaburan hijau, ACMF akan mengambil peranan peneraju dalam mengenal pasti piawaian kewangan hijau yang boleh diguna pakai di rantau ini.

ACMF juga melantik semula Ranjit Ajit Singh, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, sebagai Pengerusi.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup