Pengerusi SC Malaysia Ketuai Jawatankuasa Serantau IOSCO

Kuala Lumpur, 22 Mei 2000

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Ali Abdul Kadir telah dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Rantau Asia-Pasifik (APRC) Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO) di persidangan tahunannya yang ke-25 di Sydney, minggu lalu.

APRC, salah satu daripada empat jawatankuasa serantau IOSCO, mengandungi 23 ahli dan termasuk, antara lain, pihak berkuasa pasaran dari Australia, China, Hong Kong, India, Jepun, Korea, Filipina, Singapura, Taiwan dan Thailand.

"APRC merupakan sebuah forum penting bagi perbincangan isu-isu pasaran modal di rantau ini. Untuk maju ke hadapan, ia harus menumpukan usahanya bagi menyediakan satu platform yang strategik untuk memberikan satu suara gabungan serantau yang lebih lantang tentang isu-isu global, terutamanya dalam perbincangan di forum antarabangsa, seperti Forum Kestabilan Kewangan," menurut Encik Ali.

Beliau menambah bahawa APRC harus digunakan sebagai satu forum bagi menuju ke arah integrasi yang lebih luas di kalangan pasaran modal serantau dan perkembangan secara keseluruhannya pasaran modal Asia-Pasifik bagi manfaat bersama.

Untuk berbuat demikian, menurut Encik Ali, jawatankuasa tersebut akan mengenal pasti isu-isu tertentu yang memberi kesan kepada pasaran modal serantau, dan mencari jalan penyelesaian melalui usaha kerjasama dan mendapatkan maklum balas di kalangan negara anggota. APRC juga akan digunakan sebagai satu forum untuk menggalakkan pendidikan dan latihan pasaran modal serantau, termasuk program pertukaran dan peminjaman kakitangan serantau.

Suruhanjaya Sekuriti adalah ahli penting bagi IOSCO, dan ketika ini mempengerusikan kumpulan kerja pengawalseliaan pasaran sekunder Jawatankuasa Pasaran Baru Muncul (EMC). Sepanjang enam tahun yang lalu, kumpulan kerja tersebut telah menjalankan penyelidikan dan menerbitkan laporan mengenai tajuk-tajuk yang berkaitan pasaran baru muncul, seperti: punca, kesan dan implikasi pengawalseliaan krisis kewangan dan ekonomi pasaran baru muncul; rangka kerja perundangan dan pengawalseliaan bagi derivatif yang didagang di bursa dan bagi sistem penjelasan dan penyelesaian; dan pengurusan risiko kewangan dalam pasaran baru muncul.

IOSCO merupakan sebuah forum sejagat pengawal selia sekuriti bagi menangani isu-isu dan permintaan yang berkaitan dengan pengawalseliaan pasaran sekuriti dan niaga hadapan. Keahlian biasa IOSCO merangkumi 97 pengawal selia sekuriti kebangsaan. Sebagai tambahan, terdapat 60 ahli gabungan dan 9 ahli bersekutu. SC menganggotai badan tersebut pada 1993 dan telah dilantik untuk mempengerusikan kumpulan kerja pengawalseliaan pasaran sekunder pada 1994. SC telah mempengerusikan EMC dari tahun 1996 hingga 1999.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup