Penyenaraian Energro Batal Kelulusan bagi Penyusunan Semula Omega Dibatalkan

Kuala Lumpur, 2 Ogos 2004

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini membatalkan kelulusannya bagi skim penyusunan semula Omega Holdings Berhad (Omega). Keputusan tersebut berdasarkan penemuan SC bahawa Energro Berhad (Energro), syarikat induk baru yang sepatutnya mengambil alih status penyenaraian Omega, tidak mempunyai perniagaan teras sebagaimana yang dinyatakan dalam cadangan penyusunan semula, iaitu untuk memasarkan dan mengedar kereta Alfa Romeo di Malaysia.

SC mendapati, selepas meluluskan skim tersebut, bahawa Perjanjian Jualan Konsesi antara Milan Auto (M) Sdn Bhd (MASB) -- pemegang saham terbesar Energro -- dan Fiat Auto S.p.A, Italy, telah ditamatkan.

Tanpa perjanjian tersebut, yang merupakan teras bagi kelulusan SC untuk cadangan penyusunan semula itu, SC menganggap cadangan tersebut tidak lagi berdaya maju.

Bagi pemegang saham Energro, pembatalan kelulusan SC bermaksud Energro tidak akan mengambil alih status penyenaraian Omega, dan oleh itu, saham Energro tidak akan disenaraikan di Bursa Malaysia Securities Berhad. SC menghendaki semua pihak yang terlibat dalam skim penyusunan semula tersebut, menguatkuasakan pembatalan kelulusan SC dengan serta-merta, dengan mengambil semua langkah untuk mengembalikan kedudukan kepada kedudukan asal (status quo) seperti keadaan sebelum kelulusan SC diberikan.

Sebagai maklumat latar belakang, SC telah memberikan kelulusannya bagi skim penyusunan semula Omega pada 28 Ogos 2003. Skim tersebut termasuk pemindahan status penyenaraian Omega kepada Energro. Berikutan daripada kelulusan tersebut, SC mendapati Energro tidak mempunyai perniagaan teras seperti mana yang dinyatakanya.

Untuk melindungi kepentingan pelabur sebaik penyiasatan dimulakan, pada 27 Mei 2004, SC telah meminta Bursa Malaysia untuk menangguhkan penyenaraian saham Energro. SC kini sedang menyiasat kemungkinan pelanggaran undang-undang sekuriti berkaitan dengan maklumat yang dikemukakan berhubung dengan skim penyusunan semula dan penzahiran dalam prospektus Energro.

Untuk terus melindungi kepentingan pelabur, SC telah mengarahkan Energro dan MASB untuk memindahkan hasil kutipan daripada pelaksanaan penyusunan semula tersebut ke dalam akaun pemegang taruh. SC juga telah memulakan penguatkuasaan sivil, antara lain, untuk menghalang transaksi aset dan bagi pemulangan wang kepada pemegang saham/pelanggan yang terlibat.

SC ingin mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam melaksanakan cadangan korporat agar mematuhi sepenuhnya standard penzahiran, ketekunan wajar dan tadbir urus korporat yang tinggi yang dikehendaki daripada mereka. Integriti maklumat dan penyataan yang dibuat dalam cadangan korporat merupakan teras dalam rejim pengawalseliaan berteraskan penzahiran. SC memandang serius sebarang cubaan untuk menggugat pasaran sekuriti yang adil dan teratur, dan akan bertindak terhadap mereka yang melanggar undang-undang.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup