Pihak Berkepentingan Dapati Laporan Juruaudit yang Dipertingkatkan Amat Berguna
25 Januari 2018   |   Kuala Lumpur
Dua pertiga responden tinjauan memperakui penambahbaikan dalam piawaian baharu dan amat berguna ketika meneliti laporan kewangan yang kompleks.
Kajian bersama ke atas pelaksanaan tahun pertama laporan juruaudit yang dipertingkatkan (EAR) menunjukkan bahawa pengguna utama laporan audit dan kewangan mendapati piawaian pelaporan baharu tersebut amat berguna di mana dua pertiga daripada para responden tinjauan memperakui bahawa terdapat penambahbaikan berbanding dengan laporan juruaudit sebelum ini.

Kajian bersama bertajuk "Laporan Juruaudit yang Dipertingkat: Semakan pengalaman pelaksanaan tahun pertama di Malaysia", kajian bersama dijalankan oleh Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) untuk menilai respons pihak berkepentingan terhadap piawaian pelaporan juruaudit yang dipertingkatkan yang baharu dan disemak semula.

AOB, MIA dan ACCA bersetuju bahawa EAR telah mendorong perubahan tingkah laku yang membina dalam ekosistem pelaporan kewangan dan menambah baik penglibatan antara pelabur dan syarikat-syarikat di Malaysia.

Ini berikutan usaha prapelaksanaan awal seperti penubuhan Jawatankuasa Pemandu oleh SC yang terdiri daripada individu utama1 yang mewakili pengawal selia, profesion perakaunan dan pengauditan, dan syarikat tersenarai awam pada Jun 2015 untuk mengenal pasti isu-isu dan risiko pelaksanaan, serta merangka strategi dan menyediakan panduan mengenai isu dan risiko yang dikenal pasti.

Piawaian pelaporan juruaudit yang dipertingkatkan tersebut telah dikeluarkan oleh Lembaga Piawaian Pengauditan dan Jaminan Antarabangsa dan diterima pakai di Malaysia pada 2015, dan berkuat kuasa pada 15 Disember 2016. Hasil kajian ini adalah berdasarkan kajian semula EAR dan sampel laporan tahunan 190 syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dengan tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2016, serta pandangan dari lebih 170 ahli jawatankuasa audit dan pelabur.

Laporan juruaudit yang dipertingkatkan ini mengetengahkan pandangan juruaudit dan perubahan utama yang diperkenalkan melalui EAR ialah penzahiran Hal Audit Utama (KAM), yang menjadikan laporan juruaudit yang lebih telus dan bermaklumat. Dalam jangka panjang, EAR dijangka memacu aliran maklumat berguna dan relevan kepada pasaran modal, mengurangkan spekulasi terhadap prestasi syarikat dan meningkatkan kefahaman mengenai penyata kewangan.

Laporan lengkap boleh dimuat turun di sini

Lembaga Pemantauan Audit Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
Institut Akauntan Malaysia
Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun

1Jawatankuasa Pemandu tersebut dipengerusikan oleh SC, dan AOB bertindak sebagai sekretarian. Ahli-ahli Jawatankuasa Pemandu terdiri daripada wakil-wakil dari SC, Bank Negara Malaysia (BNM), Bursa Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Persekutuan Syarikat-Syarikat Awam Tersenarai (FPLC), Institut Juruaudit Dalaman Malaysia (IIAM), MIA dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA).
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup