SC dan HDC Anjur Bersama Forum Pertama Pengumpulan Dana Patuh Syariah bagi PMKS
5 Ogos 2021

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) hari ini menganjurkan bersama Forum SC-HDC 2021 yang pertama, bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan Melalui Pasaran Modal Islam’.
Forum dua hari ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pengumpulan dana berasaskan pasaran yang patuh Syariah bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), terutamanya yang tergolong dalam ekonomi Halal. Peluang pengumpulan dana berasaskan pasaran melalui pengendali platform pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P) seumpama ini, menyediakan PMKS pilihan yang berdaya saing bagi pembiayaan patuh Syariah.

"Kami menjangkakan minat dan penyertaan yang lebih besar daripada PMKS dalam pasaran modal Islam, dengan adanya rangka kerja yang kukuh dan ekosistem yang memudah cara bagi aktiviti pengumpulan dana patuh Syariah,” kata Datuk Syed Zaid Albar, Pengerusi SC. "Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan SC untuk memacu pembangunan pasaran modal Islam, yang kini mewakili lebih 60% daripada keseluruhan pasaran modal Malaysia."

Dato’ Mahmud Abbas, Pengerusi HDC berkata, “Sebagai penyelaras utama ekosistem Halal Malaysia dan dengan rangkaian PMKS Halal kami yang luas, kami berharap forum dua hari ini akan membolehkan SC dan HDC berhubung dengan PMKS yang lebih luas. Kita harus berusaha untuk menerapkan 'pematuhan Syariah yang menyeluruh’ dalam industri halal, serta memastikan bahawa bukan sahaja pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang Halal, malah juga model perniagaan dan kewangan yang patuh Syariah dalam rantaian nilai dan ekosistemnya. Matlamat kami adalah untuk meningkatkan kefahaman mereka mengenai aktiviti pengumpulan dana patuh Syariah berasaskan pasaran yang menjangkaui pilihan pendanaan tradisional. "

Bersempena forum yang julung kali diadakan ini, SC juga melancarkan Kit Panduan Penilaian Penyaringan Syariah Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Tidak Tersenarai (Kit Panduan). Kit Panduan ini adalah salah satu inisiatif pembangunan utama SC untuk menyediakan panduan dalam penyaringan status Syariah PMKS yang tidak tersenarai bagi pengendali dan penasihat Syariah platform ECF dan pembiayaan P2P.

SC yakin dengan pelancaran Kit Panduan tersebut dan akses kepada pasaran patuh Syariah, para pelabur akan beroleh peluang yang lebih besar untuk mempelbagaikan pelaburan mereka. Ia juga akan membolehkan portfolio pelaburan patuh Syariah yang lebih dipelbagai, yang merangkumi seluruh kelas aset dan sektor ekonomi.

Kit Panduan ini mengandungi siri soalan-soalan penilaian yang berdasarkan metodologi penyaringan Syariah bagi PMKS, yang telah diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah (SAC) SC.

Kit Panduan tersebut boleh didapati di sini.
DIKELUARKAN BERSAMA OLEH SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA & PERBADANAN PEMBANGUNAN INDUSTRI HALAL
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup