SC Kenakan Celaan Ke Atas China Automobile Parts Holdings Limited (CAP), Bekas Pengarah dan Pegawai Semasa
Pengekalan jawatan dua pengarah boleh memudaratkan kepentingan awam
13 Oktober 2021
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan kenyataan umum menurut seksyen 354 (3)(f)(ii) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) untuk menyatakan pandangannya bahawa pengekalan jawatan Wang YuYun sebagai Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Eksekutif, Chen Xunze oleh China Automobile Parts Holdings Limited (CAP), boleh memudaratkan kepentingan awam.
SC telah mengenakan celaan terhadap CAP serta bekas para pengarah dan ketua pegawai kewangan semasanya atas pelbagai pelanggaran undang-undang sekuriti.

Tawaran Awam Awal CAP menyatakan bahawa CAP telah mengemukakan kepada SC dan mengeluarkan prospektus bertarikh 11 Januari 2013 yang mengandungi penyata kewangan anak syarikat milik penuh QuanZhou FenSun Automobile Parts Co., Ltd. (FenSun), yang palsu atau mengelirukan, kerana mengandungi penyata baki bank FenSun yang terlebih nyata. CAP telah disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia) pada 30 Januari 2013.

Antara tahun 2013 hingga 2018, CAP juga telah mengemukakan penyata kewangan palsu atau mengelirukan kepada Bursa Malaysia disebabkan oleh penyata baki bank Fensun yang terlebih nyata. Selanjutnya, CAP telah gagal untuk menzahirkan litigasi yang berkaitan dengan kemungkiran pinjaman bank oleh FenSun dan tidak mengiktiraf liabiliti tertunggak pinjaman bank FenSun dalam penyata kewangannya.

Di samping itu, SC mengenakan celaan terhadap bekas Pengarah Urusan CAP Li Guo Qing; bekas Naib Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas Ong Juan Tee dan Wang YuYun atas kesalahan berikut:
  • Menyebabkan pengemukaan dan membenarkan penerbitan prospektus CAP yang mengandungi penyata kewangan yang palsu atau mengelirukan; dan
  • Dengan sengaja mengizinkan pengemukaan penyata kewangan palsu atau mengelirukan kepada Bursa Malaysia.

SC juga mengenakan celaan terhadap Chen Xunze dan dua bekas Ketua Pegawai Kewangan CAP, Lai Fong Ling dan Chai Wai Teck kerana dengan sengaja membenarkan pengemukaan penyata kewangan palsu atau mengelirukan kepada Bursa Malaysia.

Semua individu yang telah melanggar undang-undang tersebut tidak mengemukakan rayuan terhadap tindakan SC dalam tempoh yang ditentukan menurut CMSA.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
HUBUNGI KAMI
HOTLINE: +603-6204 8000
PAUTAN BERKAITAN
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia    |    Hubungi Kami    |    Penolak Tuntutan    |    Paparan laman yang lebih baik menggunakan Internet Explorer 11 dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup