SC Luaskan Kategori Pelabur Sofistikated untuk Kebolehcapaian Pasaran yang Lebih Besar

Kategori ‘Pengetahuan dan Pengalaman’ Baharu Diperkenalkan

SIARAN MEDIA

Kuala Lumpur, 5 FebruarI 2024

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengumumkan peluasan kategori pelabur sofistikated sebagai langkah meningkatkan kebolehcapaian pasaran modal.

Garis Panduan Kategori Pelabur Sofistikated’ baharu, yang berkuat kuasa hari ini, mengukuhkan komitmen SC untuk mengekalkan daya saing dan kerancakan pasaran modal, sambil menggalakkan penyertaan pelabur yang lebih ramai.

Pengerusi SC Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata perkembangan pasaran modal Malaysia yang sofistikated semakin meningkat. Lanjutan daripada ini, ia telah menghasilkan keperluan pembiayaan dan selera risiko pelaburan yang berbeza-beza.

"Kriteria pelabur sofistikated telah diperluaskan untuk mengambil kira lebih ramai individu yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan dan kestabilan pasaran," katanya.

“Pada tahun 2023, pasaran modal domestik meningkat kepada RM3.8 trilion daripada RM3.6 trilion pada tahun sebelumnya. Ini memberikan peluang besar kepada pasaran untuk menarik pangkalan pelabur di serantau yang lebih pelbagai dan menggalakkan aliran modal yang lebih besar ke dalam produk dan segmen pasaran yang canggih,” tambahnya.

Ciri utama peluasan tersebut termasuk kategori baharu yang mengambil kira pengetahuan dan pengalaman pelabur sofistikated. Di samping itu, penambahbaikan kepada kategori semasa juga dilaksanakan, yang membolehkan fleksibiliti ambang kewangan sedia ada untuk individu bernilai bersih tinggi.

Kategori 'Pengetahuan dan Pengalaman' baharu akan memberi manfaat kepada individu yang tidak memenuhi kriteria kewangan tetapi dapat menunjukkan pengetahuan kewangan secara sofistikated bagi mengambil bahagian dalam tawaran pasaran yang berkaitan.

Kategori ini menilai pelabur berpotensi berdasarkan pendidikan mereka, keahlian dalam persatuan kewangan yang diiktiraf, dan pengalaman praktikal dalam sektor berkaitan seperti perbankan, pasaran modal atau insurans.

Satu lagi perubahan penting ialah kemasukan nilai kediaman utama pelabur, sehingga had RM1 juta, dalam menilai kelayakan mereka sebagai pelabur sofistikated.

Takrifan akaun bersama juga diperluaskan untuk menggabungkan akaun dengan pasangan atau anak, termasuk jumlah pendapatan tahunan bersama bersih dan portfolio pelaburan. Peluasan ini akan lebih menggambarkan status kewangan kolektif keluarga dan potensi pelaburan.

Garis Panduan bagi Kategori Pelabur Sofistikated kini boleh didapati di laman web SC. Oleh itu, semua garis panduan yang berkaitan juga telah dikemas kini berhubung dengan rujukan kepada pelabur sofistikated.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup