SC Memaparkan Inisiatif Utama ICM di Forum Pasaran Modal Islam Antarabangsa

Kuala Lumpur , 27 Mac 2008

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini memaparkan beberapa inisiatif baru yang akan memperkukuh peranannya sebagai penyokong utama pembangunan Pasaran Modal Islam (ICM).

Inisiatif itu termasuklah:

  • Mengukuhkan perkongsian melalui usaha-usaha kerjasama
  • Mewujudkan Jawatankuasa Penasihat Antarabangsa: dan
  • Mengadakan Forum Pasaran Modal Islam Antarabangsa setiap setengah tahun.

Dua Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani. MoU dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan memudahkan kompilasi dan penerbitan Peraturan Syariah global, dan MoU dengan Universiti Malaya (UM) akan mewujudkan Program Felo Jemputan.

Kedua-dua MoU ditandatangani pada pembukaan Forum sulung Pasaran Modal Islam Antarabangsa di Kuala Lumpur yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Yang Berhormat Datuk Ahmad Husni Hanadzlah.

Dalam ucapan alu-aluannya, Pengerusi SC Dato’ Zarinah Anwar berkata “hasil daripada inisiatif ini akan mempunyai impak yang positif dan signifikan terhadap keseluruhan pasaran modal Malaysia.”

Tambah beliau, “Pasaran modal Islam Malaysia mengalami pertumbuhan luar biasa dan meningkat ke tahap global dari segi inovasi produk dan khidmat kepatuhan Syariah.”

Forum tersebut, bertema “Inovasi Produk – ETF Islam dan Komoditi Murabahah”, memberikan platform dinamik bagi Malaysia dan pakar-pakar Syariah berpangkalan antarabangsa, pengamal industri, pengawal selia dan para pelabur untuk bertukar-tukar pengetahuan dan pengalaman mengenai produk dan prinsip-prinsip Syariah.

Kompilasi pertama Dunia terhadap peraturan Syariah

MoU pertama di antara SC dan USIM akan memudahkan kompilasi pertama bertaraf dunia mengenai fatwa (peraturan Syariah) yang akan dikeluarkan dalam beberapa bahagian dalam masa tiga tahun. MoU itu ditandatangani oleh Pengarah Urusan SC Dato Dr Nik Ramlah Mahmood dan Profesor Dr Hj Abdul Samat Musa, Pemangku Pengarah Institut Penyelidikan Pengurusan Fatwa Dunia USIM (INFAD).

Yang pertama dalam tempoh lebih dari satu abad, kompilasi tersebut akan menjadi penanda pembangunan penting dalam industri ICM kerana ia memberikan ahli akademik dan pengamal industri satu sumber tunggal semua peraturan yang dihimpunkan daripada bidang kuasa utama di seluruh dunia. Bahagian pertama kompilasi ini dijangka akan dikeluarkan menjelang awal tahun 2009.

Program Felo Jemputan

MoU kedua ditandatangani oleh Dato’ Zarinah dan Naib Canselor UM, Datuk Rafiah Salim. Di bawah program ini, pakar-pakar Syariah tersohor dan profesor pelawat dalam kewangan Islam akan ditaja dan ditempatkan di UM sehingga tiga bulan. MoU ini sebagai merasmikan kerjasama mereka dalam Program Felo Jemputan ICM yang akan menggalakkan dan meningkatkan biasiswa dan penyelidikan dalam ICM.

Jawatankuasa Penasihat Antarabangsa

SC telah menubuhkan satu Jawatankuasa Penasihat Antarabangsa (IAC) bagi menyediakan panduan strategik dan perspektif antarabangsa bagi projek-projek tersebut. Enam ahli IAC, yang dipengerusikan oleh Dato’ Zarinah, terdiri daripada:

  • Dr Mohamed Ali Elgari, Pakar Syariah, Arab Saudi
  • Iqbal Khan, Ahli Lembaga Pengasas dan CEO, Fajr Capital, UK
  • Abdulkader Thomas, Presiden dan CEO, SHAPE Financial Corporation, AS dan Kuwait
  • Sheikh Nizam Yaqubi, Pakar Syariah, Bahrain, dan Dato’ Salman Younis, Pengarah Urusan, Kuwait Finance House, Malaysia.

Dua daripada ahli IAC, Dr Mohamed Ali Elgari dan Abdulkader Thomas, turut hadir pada forum tersebut untuk bercakap mengenai inovasi produk dalam Dana Dagangan Bursa (ETF) Islam dan Komoditi Murabahah.

Forum tersebut yang mengundang penceramah tersohor dari Malaysia, Timur tengah dan AS, dihadiri oleh lebih daripada 300 peserta tempatan dan antarabangsa.


SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup