SC Membangunkan Infrastuktur Pelaksanaan Dagangan Elektronik

Kuala Lumpur, 17 Julai 2000

Suruhanjaya Sekuriti (SC) dengan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa ia telah memulakan pembangunan infrastuktur untuk membolehkan pelaksanaan dagangan elektronik yang teratur dan berkesan dalam pasaran modal Malaysia, sejajar dengan saranan di dalam kertas perundingan "Rangka Kerja Pelaksanaan Dagangan Elektronik dalam Pasaran Modal".

Di dalam proses tersebut, SC akan mengambil kira semua komen yang diterima semasa tempoh rundingan orang awam selama sebulan, yang bermula daripada penghasilan kertas perundingan pada 21 Mac 2000. Maklum balas awam terhadap kertas perundingan tersebut telah menggambarkan, secara keseluruhannya, sokongan dan persetujuan terhadap saranan-saranan kertas rundingan tersebut. SC ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberi maklum balas kepada SC.

Sehingga kini, SC telah membuat perubahan undang-undang tertentu dalam usaha untuk membolehkan penggunaan produk-produk dan perkhidmatan-perkhidmatan dalam bentuk elektronik. Secara khususnya, Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 telah dipinda (berkuatkuasa 1 Julai) untuk meluaskan definisi "dokumen" untuk merangkumi dokumen-dokumen yang dihasilkan dalam bentuk elektronik. Antara lain, ini membolehkan permohonan, penzahiran dan laporan kepada SC dibuat secara elekronik. Sejajar dengan ini, SC sedang membangunkan sistem laporan elektronik. Infrastruktur fizikal sistem laporan elektronik masih berada pada tahap pembangunan dan akan dimulakan terhadap perkara-perkara yang memerlukan penzahiran dan laporan kepada SC bagi hal-hal pelesenan di pertengahan tahun 2001.

SC juga di dalam proses meminda undang-undang sekuriti yang lain untuk memasukkan elemen-elemen yang berkaitan dengan dagangan elektronik. Sebagai contoh, pindaan ke atas Akta Perindustrian Sekuriti 1983 akan merangkumi peruntukan undang-undang untuk menjamin aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan penggunaan produk-produk dan perkhidmatan-perkhidmatan dalam bentuk elektronik, yang akan melibatkan, antara lain, dagangan dalam talian, nasihat pelaburan berbentuk elektronik, gerbang kewangan dan laman-laman diskusi Internet. SC juga akan meminda pelbagai perundangan subsidiari dan menerbitkan garis panduan untuk menjelaskan peruntukan-peruntukan dan syarat-syarat undang-undang sekuriti yang berkaitan dengan dagangan elektronik.

Dalam usaha untuk menyambung dasar SC untuk bekerjasama dengan pemegang-pemegang kepentingan yang berkaitan dengan pasaran modal untuk membangunkan dagangan elektronik, satu Kumpulan Kerja bagi Dagangan Elektronik dalam Pasaran Modal (WG) telah ditubuhkan pada 8 Jun 2000 untuk mengkaji pindaan pada perundangan yang disarankan secara mendalam. Ahli-ahli WG terdiri daripada wakil-wakil daripada Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), Bursa Dagangan Sekuriti dan Sebutharga Automasi Malaysia (MESDAQ), Bursa Komoditi dan Kewangan Malaysia (COMMEX), Bursa Opsyen dan Niaga Hadapan Kewangan (KLOFFE), Securities Clearing Automated Network Services (SCANS), Rumah Penjelasan Derivatif Malaysia (MDCH), Persatuan Broker Niaga Hadapan Malaysia (MFBA) dan Persatuan Syarikat-syarikat Broker Saham Malaysia (ASCM). SC akan bertindak sebagai urus setia dan ahli kepada WG tersebut.

WG tersebut akan mengkaji isu-isu yang berkaitan dengan pembangunan infrastruktur fizikal untuk membantu pelaksanaan dagangan elektronik dalam pasaran modal. Ia akan merangkumi, antara lain, infrastruktur fizikal bagi laluan-arahan Internet serta penjelasan dan penyelesaian penjualan-pembelian saham secara elektronik.

Pembangunan rangka kerja dagangan elekronik, yang merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pasaran Modal SC, berusaha untuk menjamin kemajuan pasaran modal Malaysia yang sejajar dengan kemajuan antarabangsa. Usaha-usaha ke arah ini adalah konsisten dengan inisiatif-inisiatif peringkat negara lain bagi pembangunan dagangan elektronik.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup