SC mengeluarkan syarat-syarat kelayakan bagi penyedia skim persaraan swasta
5 Disember 2011   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah melengkapkan syarat-syarat kelayakan bagi penyedia skim persaraan swasta (PRS) dan syarikat yang layak kini boleh membuat permohonan untuk diluluskan sebagai penyedia PRS.

Penggubalan Akta Pindaan Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2011 baru-baru ini menyediakan kerangka pengawalseliaan bagi industri PRS, termasuk memberikan kuasa kepada SC bagi meluluskan penyedia PRS. Beberapa penyedia terpilih yang layak dan berpengalaman, dengan kemahiran yang diperlukan dalam pengurusan dana persaraan atau pengurusan dana runcit, akan diluluska bagi menawarkan skim PRS dengan pelbagai jenis dana persaraan yang bersesuaian dengan profil pelaburan dan risiko yang berbeza.

Mereka yang berminat bolehlah mengemukakan permohonan kepada SC sebelum atau pada 15 Februari 2012. Maklumat lanjut mengenai syarat-syarat kelayakan serta format permohonan boleh didapati di sini.

Pemohon akan dinilai melalui kedudukan kewangan dan keupayaan organisasi, termasuk memenuhi syarat-syarat modal yang relevan, kawalan dalaman dan amalan pengurusan risiko. Faktor-faktor kualitatif seperti struktur tadbir urus, reputasi dan kedudukan profesional serta rekod prestasi dan komitmen untuk membina industri PRS juga akan turut diambil kira.

Mereka juga perlu mengemukakan model perniagaan mereka dalam menawarkan PRS termasuk cadangan jenis-jenis dana, yuran indikatif dan struktur caj serta keupayaan memenuhi syarat-syarat pentadbiran PRS yang ditetapkan seperti keupayaan penyumberan, keupayaan sistem dan proses serta perkhidmatan bagi ahli.

Setelah penyedia PRS diluluskan oleh SC, mereka dikehendaki membuat permohonan kepada SC bagi meluluskan cadangan skim PRS mereka, yang akan memberi pilihan kepada orang ramai bagi menambah simpanan persaraan mereka dengan membuat sumbangan tambahan jangka panjang dalam persekitaran yang dikawal selia dan disusun dengan baik. Garis panduan PRS akan dikeluarkan oleh SC bagi tujuan tersebut.

Industri PRS dijangka dapat melengkapi dan menyokong skim mandatori KWSP yang sedia ada. Kerangka tersebut boleh digunakan oleh individu yang mempunyai pendapatan boleh guna yang boleh ditabung serta majikan yang bersedia membuat caruman suka rela selain caruman mandatori kepada KWSP bagi pihak pekerja mereka.

Langkah pemberian insentif terhadap penyertaan dalam PRS telah diumumkan oleh Perdana Menteri dalam ucapan Belanjawan 2012, yang mana pengecualian cukai persendirian sehingga RM3,000 akan diberikan terhadap caruman individu kepada PRS yang diluluskan oleh SC serta potongan cukai kepada majikan bagi caruman di atas kadar statutori sehingga 19% daripada gaji pekerja. Selain itu, pengecualian cukai turut diumumkan ke atas pendapatan yang diterima oleh dana dalam skim PRS tersebut.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
SC-World Bank-IOSCO Asia Pacific Hub Conference 2019: Enhancing Financial Inclusion through Islamic Finance and FinTech
(From left to right):
  1. Abayomi A. Alawode, Head of Islamic Finance, Finance, Competitiveness and Innovation, The World Bank Group
  2. Datuk Syed Zaid Albar, Chairman of the Securities Commission Malaysia (SC)
  3. Dr. Firas Raad, Country Manager for Malaysia, East Asia and Pacific, The World Bank Group 
  4. Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Deputy Chief Executive of SC
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup