SC Pelawa Maklum Balas Awam Mengenai Cadangan Meningkatkan Pasaran Amanah Pelaburan Hartanah (REIT)
14 Julai 2016|   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan kertas rundingan bagi mendapatkan maklum balas awam mengenai penambahan yang dicadangkan kepada Garis Panduan Amanah Pelaburan Hartanah (Garis Panduan REIT). Cadangan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha SC untuk memudahcarakan pertumbuhan pasaran REIT yang matang dengan menggalakkan amalan tadbir urus yang lebih kukuh dan memupuk keyakinan pasaran yang lebih besar.

Aspek utama penambahan tersebut adalah bagi membolehkan REIT melabur dalam pelbagai kelas aset hartanah yang lebih luas. Adalah dicadangkan agar REIT dibenarkan untuk memperoleh tanah kosong serta menjalankan pembangunan hartanah tertakluk kepada had sebanyak 15% daripada jumlah nilai aset mereka. Juga dicadangkan agar pengurus REIT dibenarkan untuk memajak hartanah bagi tempoh jangka panjang dengan pemilik hartanah yang berdaftar.

Sejajar dengan usaha untuk memudahcarakan pertumbuhan bagi REIT, SC mencadangkan amalan tadbir urus korporat diperkukuhkan dan meningkatkan tahap penzahiran dan pelaporan kepada pemegang unit. Pengurus REIT akan dikehendaki menubuhkan Jawatankuasa Audit untuk meningkatkan lagi perlindungan pelabur dan memasukkan penyataan tadbir urus korporat dan penyataan kawalan dalaman dalam laporan tahunan.

SC juga mencadangkan untuk memansuhkan pilihan yang membenarkan REIT meningkatkan tahap ambang pinjaman mereka dengan memperolehi kelulusan pemegang unit dan mengehadkan tahap ambang tersebut sehingga 50% daripada jumlah nilai aset. Juga dicadangkan agar kemas kini penilaian tahunan dijalankan oleh penilai berdaftar di samping keperluan semasa penilaian penuh setiap tiga tahun. Jika aset diperolehi dengan sokongan pendapatan, maklumat yang lengkap dan berkaitan perlu disediakan kepada pelabur bagi membolehkan mereka membuat keputusan pelaburan bermaklumat. Ini termasuk menyediakan maklumat mengenai impak sokongan pendapatan ke atas jangkaan hasil daripada REIT tersebut.

Oleh kerana REIT dan syarikat-syarikat tersenarai diniagakan di bursa saham, SC juga sedang memperkemas keperluan pasca penyenaraian bagi REIT dengan syarikat-syarikat tersenarai melalui pemakaian Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities Malaysia Berhad bagi REIT, dengan penambahan tertentu yang sesuai. Keperluan pasca penyenaraian yang diperkemas tersebut dijangka akan meningkatkan lagi kecekapan pasaran REIT serta memudahkan pelaburan dalam REIT bagi para pelabur.

Kertas rundingan tersebut boleh didapati di laman sesawang SC di http://www.sc.com.my/reit2016. Pihak yang berminat dan orang ramai adalah dipelawa untuk mengemukakan komen dan maklum balas mereka dalam talian di http://www.surveygizmo.com/s3/2897119/Public-Consultant-REITs-Guidelines sebelum tarikh tutup 13 September 2016.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup