SC Perkenal Kelonggaran untuk Memudahcarakan Terbitan, Tawaran dan Penyenaraian Sekuriti

Kuala Lumpur, 10 Mei 2001

Suruhanjaya Sekuriti (SC) ingin mengumumkan pengenalan kepada beberapa kelonggaran bagi memudahcarakan terbitan, tawaran dan penyenaraian sekuriti oleh syarikat tempatan. Kelonggaran tersebut dikuatkuasakan melalui perubahan dan pindaan yang dibuat kepada keperluan sedia ada yang tertentu dalam "Polisi dan Garis Panduan Terbitan/Tawaran Sekuriti" SC. Kelonggaran tersebut diperkenalkan bagi menyokong proses liberalisasi beransur-ansur rangka kerja pengawalseliaan pasaran modal Malaysia, dalam peralihan SC kepada pelaksanaan pengawalseliaan berteraskan penzahiran penuh ("Full Disclosure-Based Regulation"). Perubahan ini adalah sebahagian daripada objektif dan cadangan keseluruhan Pelan Induk Pasaran Modal untuk menjadikan pasaran modal Malaysia pusat penjanaan dana utama syarikat tempatan dan bagi mempertingkatkan kecekapan keseluruhan proses penjanaan dana.

Dalam meliberalisasikan kriteria pengawalseliaan dalam bidang terbitan, tawaran dan penyenaraian sekuriti ini, SC telah mengambil kira rangka kerja pengawalseliaan yang kurang ketat dalam bidang kuasa yang diukur rujuk lain, iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Hong Kong dan Singapura. SC juga menyedari bahawa keadaan pasaran kini yang lemah menghalang proses penjanaan dana oleh syarikat yang berdaya maju dan kukuh dan, sehubungan dengan ini, kelonggaran yang diperkenalkan telah dirangka untuk mengelakkan beberapa masalah yang dihadapi oleh syarikat-syarikat tersebut dalam menjana dana dari pasaran modal.

Kelonggaran yang diperkenalkan adalah diringkaskan seperti di bawah:

A. Pindaan terhadap Keperluan Prestasi Keuntungan Lepas bagi Tawaran Awam Permulaan dan Pengambilalihan Akas/ Penyenaraian Pintu Belakang di BSKL
Sekarang ini, sebuah syarikat yang memohon untuk disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dikehendaki memenuhi keperluan prestasi keuntungan lepas yang berikut:
(i) Rekod keuntungan selepas cukai secara berterusan bagi setiap tiga atau lima tahun kewangan penuh yang lepas;
(ii) Sejumlah agregat keuntungan selepas cukai minimum (Papan Utama: RM30 juta/Papan Kedua: RM12 juta) bagi 3 atau 5 tahun kewangan penuh yang lepas; dan
(iii) Keuntungan minimum selepas cukai yang disyaratkan (Papan Utama: RM8 juta/Papan Kedua: RM4 juta) bagi tahun kewangan yang terkini.
Oleh itu, pemenuhan keperluan prestasi keuntungan yang lepas adalah berdasarkan kepada rekod pencapaian 3 tahun atau pun 5 tahun.
Perubahan telah dibuat bagi membenarkan syarikat-syarikat memohon untuk disenaraikan di BSKL berasaskan kepada rekod pencapaian 4 tahun, sebagai tambahan kepada rekod pencapaian 3 tahun atau 5 tahun.
Kelonggaran juga diberikan kepada syarikat milik Kerajaan yang memohon untuk disenaraikan di BSKL tanpa memenuhi ujian rekod keuntungan secara berterusan keperluan prestasi keuntungan lepas. Walau bagaimanapun, syarikat berkenaan masih perlu memenuhi dua lagi ujian iaitu mempunyai agregat minimum keuntungan selepas cukai yang diperlukan dan keuntungan selepas cukai minimum bagi tahun kewangan terkini. Sebuah "syarikat milik Kerajaan", bagi tujuan kelonggaran tersebut, ditakrifkan sebagai sebuah syarikat yang mana Menteri Kewangan, mengikut Akta Menteri Kewangan (Perbadanan) 1957, memegang "Saham Emas", ketika penyenaraian, dan mempunyai pemilikan ekuiti melebihi 50% yang dipegang secara langsung atau tidak.
Dengan perubahan dalam keperluan prestasi keuntungan lepas bagi syarikat yang memohon untuk disenaraikan di BSKL, perubahan seterusnya juga telah dibuat terhadap keperluan rekod pencapaian bagi pengambilalihan akas dan penyenaraian pintu-belakang di BSKL, untuk membenarkan juga pemenuhan keperluan sedemikian berasaskan tempoh 4 tahun, di samping berasaskan tempoh 3 tahun atau 5 tahun.
B. Membenarkan Penerbitan dan Penyenaraian Stok Pinjaman Tak Bercagar Boleh Tukar Tak Boleh Tebus (ICULS) sebagai Sebahagian daripada Skim Pengapongan di BSKL
Penerbitan dan penyenaraian ICULS oleh syarikat sebagai sebahagian daripada skim pengapongan mereka di BSKL secara umumnya tidak dibenarkan oleh SC pada masa lepas. Syarikat yang memohon untuk disenaraikan kini diberikan kelonggaran untuk menerbitkan dan menyenaraikan ICULS, dengan syarat keperluan yang baru diperkenalkan berkaitan penzahiran, pegangan saham penganjur, tebaran pegangan saham awam dan harga pertukaran ICULS dipatuhi.
C. Pemansuhan Had Peruntukan Keutamaan 10 Lot Setiap Orang bagi Pengarah, Kakitangan dan/atau Orang Lain yang Berkaitan dengan sesuatu Skim Pengapongan di BSKL
Sekarang ini, SC membenarkan sebuah syarikat yang memohon untuk disenaraikan di BSKL memperuntukkan sehingga 5% daripada modal diterbitkan dan berbayar syarikat, bawah skim peruntukan keutamaan, kepada pihak-pihak yang berikut:
(i) Para pengarah dan kakitangan syarikat yang memohon untuk disenaraikan serta pengarah dan kakitangan subsidiari dan syarikat induk syarikat yang memohon untuk disenaraikan tersebut; dan
(ii) Orang lain yang telah menyumbang kepada kejayaannya (seperti pembekal, pengedar, peniaga dan pelanggan), dengan syarat saham-saham yang diperuntukkan adalah kepada entiti perniagaan, dan bukan kepada pegawai atau kakitangan entiti perniagaan tersebut, kecuali entiti perniagaan adalah pemilik tunggal atau perkongsian.
Peruntukan keutamaan, yang juga dikenali sebagai "peruntukan saham Borang Merah Jambu" ("Pink-form share allocation"), sebelum ini dihadkan kepada 10,000 saham setiap orang.
Sementara 5% had keseluruhan skim peruntukan keutamaan dikekalkan, had 10,000 saham setiap orang telah dimansuhkan. Penzahiran yang lebih meluas berkenaan peruntukan tersebut, walau bagaimanapun, perlu dilakukan dalam prospektus yang diterbitkan sehubungan dengan penyenaraian syarikat tersebut.
D. Pemansuhan Kriteria Berteraskan Merit bagi Terbitan Bonus Melalui Permodalan Premium Saham dan Rizab Lain
Syarikat yang tersenarai di BSKL sekarang dibenarkan untuk melaksanakan terbitan bonus sekuriti melalui permodalan premium saham asalkan premium saham tersebut disahkan oleh juruaudit luaran/akauntan pelapor syarikat. Syarikat tersebut tidak lagi perlu memenuhi kriteria berteraskan merit berikut yang ditetapkan oleh SC sebelum ini:
(i) Bahawa syarikat mesti mempunyai keuntungan, dengan arah aliran menaik bagi keuntungan sepanjang 3 tahun yang lepas dan keuntungan akan datang yang boleh menyokong saham tambahan yang timbul dari terbitan bonus;
(ii) Bahawa syarikat mesti berupaya mengekalkan sekurang-kurangnya jumlah dividen yang diumumkan dan dibayar dalam tahun kewangan yang lepas;
(iii) Bahawa cadangan bagi terbitan bonus mesti berdasarkan akaun tahunan yang diaudit bagi tahun kewangan penuh;
(iv) Bahawa, sekiranya premium saham timbul daripada sesuatu terbitan hak dan/atau terbitan awam, permodalan hanya boleh dilakukan selepas sekurang-kurangnya satu tahun dari tarikh terbitan tersebut; dan
(v) Bahawa modal saham yang diperbesarkan hendaklah disokong sepenuhnya oleh aset ketara bersih, tidak termasuk amaun muhibah.
Syarikat tersenarai yang ingin melaksanakan terbitan bonus melalui permodalan rizab penilaian semula sekarang juga dibenarkan untuk melaksanakan cadangan tersebut bawah keadaan yang liberal tanpa perlu memenuhi kriteria berteraskan merit yang ditetapkan sebelum ini. Walau bagaimanapun, keperluan tertentu mengenai penilaian aset dan pengekalan rizab harus dipatuhi.
Kelonggaran dalam melaksanakan terbitan bonus oleh syarikat tersenarai juga diberikan kepada syarikat yang memohon untuk disenaraikan di BSKL.
E. Pindaan terhadap Garis Panduan Skim Opsyen Saham Pekerja
Garis Panduan SC mengenai Skim Opsyen Saham Pekerja (ESOS) telah disemak semula sepenuhnya bagi membantu penubuhan ESOS yang lebih berpandukan pasaran dan prestasi oleh syarikat-syarikat. Pindaan penting merangkumi perkara-perkara berikut:
(i)Pemansuhan had 500,000 saham seseorang yang diperuntukkan kepada pengarah dan kakitangan. Syarikat kini dibenarkan memperuntukkan sebarang jumlah saham bawah ESOS, atas budi bicara pengarah mereka, kepada setiap pengarah dan kakitangan, dengan syarat -
jumlah bilangan saham yang ditawarkan bawah skim tersebut tidak melebihi 10% daripada modal terbitan syarikat pada bila-bila masa;
tidak lebih 50% daripada saham yang tersedia bawah skim tersebut boleh diperuntukkan, secara agregat, kepada pengarah dan pengurusan kanan syarikat; dan
tidak lebih 10% daripada saham yang tersedia bawah skim tersebut harus diperuntukkan kepada mana-mana pengarah atau kakitangan yang, secara sendirian atau secara bersama melalui sekutunya, memegang 20% atau lebih modal diterbitkan dan berbayar syarikat.
(ii) Kebenaran bagi sesuatu ESOS beroperasi bagi tempoh maksimum 10 tahun, dan bukan 5 tahun sebelum ini; dan
(iii) Kebenaran bagi sesuatu ESOS yang sedang terlaksana untuk ditamatkan, dengan syarat Undang-Undang Kecil ESOS tersebut mengandungi fasal penamatan yang memberi kuasa kepada syarikat untuk menamatkan, dan tertakluk kepada pematuhan keperluan tertentu yang ditetapkan oleh SC, seperti keperluan untuk mendapatkan kebenaran bertulis semua pemegang opsyen yang belum lagi melaksanakan opsyen mereka.
Kesemua kelonggaran yang diperkenalkan adalah berkuat kuasa dengan serta merta dan diguna pakai bagi permohonan baru yang akan dikemukakan kepada SC dan juga terhadap permohonan yang telah dikemukakan kepada SC atau yang telah diluluskan tetapi belum dilaksanakan, sekiranya permintaan dibuat kepada SC bagi perubahan kepada cadangan tersebut.

Garis Panduan - garis panduan berkaitan yang mengandungi kelonggaran tersebut boleh didapati di sini.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup