Kuala Lumpur, 8 Disember 2025
Jawatankuasa Penasihat Pelaporan Kemampanan (ACSR), yang dipengerusikan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), hari ini mengumumkan pendekatannya untuk menangani ketidakpatuhan terhadap keperluan pelaporan kemampanan pengawalseliaan, yang dibangunkan selaras dengan Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Negara (NSRF).
SC, bersama-sama Bank Negara Malaysia, Bursa Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Lembaga Pemantauan Audit, akan menumpukan pada pendekatan berfasa dan praktikal dalam menyemak semula pendedahan. Ini adalah sebagai pengiktirafan tempoh peralihan untuk entiti pelapor menerima pakai Piawaian Penzahiran Kemampanan IFRS® (Piawaian ISSB).
Dilancarkan pada September tahun lepas, NSRF merupakan langkah penting ke hadapan dalam memajukan agenda kemampanan korporat Malaysia. Ia terpakai untuk penerbit tersenarai di Pasaran Utama dan Pasaran ACE Bursa Malaysia, serta syarikat besar tidak tersenarai (NLCo) dengan pendapatan tahunan sebanyak RM2 bilion dan ke atas.
Pengerusi SC Dato' Mohammad Faiz Azmi berkata, "Kami menyedari cabaran yang dihadapi syarikat dalam memenuhi piawaian pelaporan kemampanan baharu disebabkan oleh, antara lain, kekurangan sumber, kualiti data luaran atau kesukaran untuk mendapatkan kepakaran yang diperlukan.
"Pendekatan kami adalah untuk mengimbangi keperluan pematuhan dengan pelbagai tahap kesediaan merentasi entiti pelapor."
Berikutan itu, penekanan akan diberikan kepada usaha pembinaan kapasiti dan peningkatan kemahiran sepanjang proses semakan bagi memastikan kemajuan yang wajar dan bermakna oleh entiti pelapor dalam mendedahkan maklumat kemampanan yang konsisten, setanding dan boleh dipercayai. Dalam kes ketidakpatuhan secara amnya, ini boleh ditangani melalui penglibatan aktif dan tindakan pembetulan, antara lain.
Walau bagaimanapun, kegagalan entiti pelapor untuk mengambil tindakan pembetulan untuk menangani kekurangan tersebut boleh mengakibatkan pihak berkuasa yang berkaitan mengambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya.
Dalam keadaan ketidakpatuhan/pelanggaran yang disengajakan atau serius, seperti pendedahan/ketinggalan yang bersifat penipuan dan/atau mengelirukan, tindakan penguatkuasaan kekal sebagai perlindungan penting untuk menegakkan piawaian dan melindungi kepentingan awam.
Untuk maklumat lanjut atau pertanyaan, sila hubungi Sekretariat ACSR di [email protected].