Anugerah Pasaran Modal SC yang terulung dimenangi oleh pemegang PhD USM

Kuala Lumpur, 12 Julai 2001

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Ali Abdul Kadir menyampaikan Anugerah Pasaran Modal SC yang terulung kepada pemegang PhD Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Ch'ng Huck Khoon di SC hari ini.

Penyertaan Dr Ch'ng yang bertajuk "Berapakah Jumlah Sekuriti yang Membentuk Portfolio Terpelbagai: Saham-Saham BSKL?", memenangi anugerah bagi kategori lepasan ijazah dan meraih hadiah wang tunai RM15,000 dan sebuah trofi. Tiada pemenang bagi anugerah kategori fakulti.

Kertas penyelidikan, yang merupakan satu bahagian dalam tesis PhD Dr Ch'ng, mengkaji hubungan antara risiko portfolio dan jumlah saham dalam portfolio yang terpelbagai dengan baik bagi sesuatu pulangan portfolio. Penyelidikan Dr Ch'ng bertumpu kepada satu sampel saham di Malaysia yang didagangkan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dari September 1988 hingga Jun 1997, menggunakan pendekatan pempelbagaian rambang dan pendekatan pengoptimuman min varians Markowitz bagi menentukan saiz optimum bagi sesuatu portfolio saham.

Kertas tersebut membuat kesimpulan bahawa saham portfolio di Malaysia yang terpelbagai dengan baik didapati mengandungi sekurang-kurangnya 27 sekuriti yang dipilih secara rambang manakala menurut pendekatan Markowitz, satu portfolio 22 sekuriti adalah dianggap sebagai portfolio terpelbagai.

Dr Ch'ng merupakan seorang remisier sejak 1995 dan beliau juga ialah seorang penceramah bebas mengenai bidang yang berkaitan dengan pasaran modal.

Selain penyertaan USM, terdapat dua lagi penyertaan dalam kategori lepasan ijazah - dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan University of Warwick, United Kingdom. Empat lagi penyertaan bawah kategori fakulti adalah dari Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Griffith University, Australia dan UPM.

SC memperkenalkan Anugerah Pasaran Modal SC pada 1995 untuk mewujudkan kesedaran dan bagi menggalakkan penyelidikan berkualiti mengenai pasaran modal Malaysia. Penyertaan mesti dikemukakan melalui pihak universiti, yang mana setiap universiti dibenarkan untuk mengemukakan hanya satu penyertaan bagi setiap kategori.
"Sejak 1995, anugerah ulung tersebut telah berjaya menggalakkan minat dan penyelidikan mengenai pasaran modal Malaysia berdasarkan peningkatan jumlah dan kualiti kertas penyelidikan yang diterima," kata Datuk Ali dalam ucapan aluan beliau di majlis tersebut.

Datuk Ali juga berkata bahawa anugerah tersebut, yang dikendalikan oleh Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC) SC, adalah sejajar dengan aspirasi SIDC untuk berada di hadapan dalam penyelidikan mengenai pasaran modal Malaysia, dan mengukuhkan peranannya dalam bidang latihan dan pendidikan.

Beliau menambah bahawa penyebaran penyelidikan bukan milikan akan membantu menggalakkan perkembangan pasaran modal yang kukuh, stabil dan sofistikated.

Penyertaan bagi anugerah tersebut diadili oleh Jawatankuasa Penyemak Anugerah Pasaran Modal SC yang terdiri daripada seorang pengarah dan dua Ahli Suruhanjaya Sekuriti.

Penyertaan bagi anugerah itu boleh dalam bentuk kertas projek, tesis atau disertasi. Anugerah tersebut terbahagi kepada dua kategori, Kategori A bagi lepasan ijazah dan Kategori B bagi ahli fakulti institusi pengajian tinggi. Pemenang bagi setiap kategori menerima hadiah wang tunai RM15,000 dan sebuah trofi.

Pengerusi SC juga melancarkan Anugerah Pasaran Modal bagi tahun 2001. Maklumat lanjut mengenai pertandingan tahun ini boleh didapati di laman web SC di www.sc.com.my

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup