AOB: Firma Audit Perkukuh Tadbir Urus, Ketelusan dan Komitmen terhadap Kualiti Audit

Kuala Lumpur, 6 Ogos 2026

Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia hari ini menerbitkan Laporan Pemeriksaan Tahunan 2025, yang menggariskan keperluan untulk penambahbaikan berterusan dalam kualiti audit. Laporan itu juga mengetengahkan usaha berterusan firma audit dalam memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan amalan pengurusan kualiti.

Setakat 31 Disember 2025, AOB mengawal selia sebanyak 41 firma audit dan 397 juruaudit individu. Pada tahun 2025, AOB memeriksa sebanyak 14 firma audit, 40 juruaudit individu dan 41 penglibatan audit merangkumi pelbagai industri dan bidang risiko.

Laporan tersebut menggariskan kemajuan menggalakkan dalam kualiti audit, dengan kadar penglibatan audit yang memerlukan penambahbaikan ketara menurun daripada 46% pada tahun 2024, kepada 27% pada tahun 2025. Walau bagaimanapun, masih terdapat trend kelemahan yang berulang dalam bidang seperti anggaran perakaunan, persampelan, pengujian kawalan dalaman dan pengiktirafan hasil.

AOB telah menjalankan Penilaian Budaya Firma Auditnya dengan meninjau sebanyak 4,092 responden merentasi kesemua sembilan Firma Audit Utama. Walaupun penilaian tersebut mendapati tingkah laku beretika, amalan perundingan, pematuhan dan cabaran profesional yang kukuh, ia juga menekankan keperluan firma untuk menangani cabaran berkaitan tenaga kerja, termasuk tekanan beban kerja, kakitangan, imbuhan dan pengekalan bakat.

Laporan itu turut mengetengahkan bahawa beberapa Firma Audit Utama telah mula memanfaatkan alat berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi menyokong analisis dokumen, penilaian pematuhan dan dokumentasi audit. Seiring dengan usaha firma untuk memajukan keupayaan digital, AOB menekankan kepentingan pengurusan risiko teknologi yang berkesan serta tadbir urus yang bersesuaian dalam penggunaan teknologi.

AOB menggalakkan firma audit untuk terus memperkukuh proses tadbir urus, budaya, pemantauan dan pemulihan mereka, di samping melabur dalam bakat dan teknologi. Audit berkualiti tinggi kekal penting untuk mengekalkan keyakinan terhadap penyata kewangan yang diaudit serta menyokong integriti pasaran modal Malaysia.

Laporan Pemeriksaan Tahunan AOB 2025 boleh didapati di:
https://www.sc.com.my/aob/about-audit-oversight-board/aobs-annual-inspection-report.
LEMBAGA PEMANTAUAN AUDIT
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup