AOB: Pergiatkan Pengukuhan Kapasiti untuk Penambahbaikan Kualiti Firma Audit yang Berkekalan

Kuala Lumpur, 21 Ogos 2025

Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah menerbitkan Laporan Pemeriksaan Tahunan 2024, menggariskan pandangan penting tentang peranan penyeliaannya ke atas firma audit dan juruaudit individu yang berdaftar dengan Lembaga.

Pemeriksaan AOB pada tahun 2024 telah termasuk penilaian 40 rakan kongsi dan 40 tugasan audit merentas 13 firma audit, yang merangkumi Firma Audit Utama.

Secara keseluruhan, sembilan Firma Audit Utama ini mengaudit sebanyak 76% daripada Syarikat Awam Tersenarai (PLC), iaitu 95% daripada jumlah permodalan pasaran di Malaysia. Firma-firma ini juga mengaudit sebanyak 1,319 Dana Jadual yang merangkumi 99% daripada jumlah nilai aset bersih (NAB) Dana Jadual di seluruh negara.

Laporan tersebut menekankan peningkatan dalam kualiti audit, dengan jumlah kes penguatkuasaan ke atas tugasan yang diperiksa berkurangan dengan ketara daripada 16% pada 2023 kepada 8% pada 2024. Ini mencerminkan usaha positif firma audit dan juruaudit individu untuk meningkatkan kualiti audit.
Selain itu, laporan itu memaparkan pandangan tentang Penunjuk Kualiti Audit (AQI) firma audit berdaftarnya, yang termasuk statistik terkumpul yang digunakan oleh AOB untuk menilai prestasi firma audit.

Penunjuk ini membuktikan bahawa Firma Audit Utama dan Lain-lain sedang giat menangani cabaran seperti kecukupan sumber dan pusing ganti kakitangan yang tinggi, dengan usaha untuk meningkatkan kestabilan tenaga kerja dan kapasiti operasi.

AOB menggalakkan firma untuk memastikan kualiti audit secara konsisten merentas semua tugasan, bagi menangani kekurangan dan penemuan yang disertakan dalam Laporan Pemeriksaan Tahunan.

Peningkatan dalam sistem pengurusan kualiti firma, khususnya pemantauan dan pelaksanaan kawalan kualiti dalaman, adalah kritikal dalam menyokong kualiti audit.

Di samping itu, Laporan Pemeriksaan Tahunan menekankan usaha AOB dalam mengukuhkan pemantauan dan penyeliaan juruaudit seperti laporan Pemantauan Peletakan Jawatan Juruaudit dan Keberkesanan Pembaikan Firma.

AOB kekal komited dalam usaha berterusannya untuk mengukuhkan kapasiti dan keupayaan audit, kualiti audit dan tadbir urus firma berdaftarnya.
Laporan Pemeriksaan Tahunan AOB 2024 boleh didapati di https://www.sc.com.my/aob/about-audit-oversight-board/aobs-annual-inspection-report.

LEMBAGA PEMANTAUAN AUDIT
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup