AOB SC Gesa Juruaudit Pertingkat Ketelitian dan Skeptisisme Profesional
29 Julai 2021

Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia hari ini menggesa juruaudit agar lebih berwaspada dan teliti ketika melaksanakan tugas mereka dalam tempoh ketaktentuan ekonomi disebabkan oleh wabak COVID-19.
Dalam Laporan Pemeriksaan Tahunan 2020nya, AOB maklum bahawa adalah menjadi tanggungjawab para pengarah dan Jawatankuasa Audit untuk menilai keupayaan syarikat mereka untuk beroperasi secara berterusan dalam menyediakan penyata kewangan. Tanggungjawab ini termasuk memastikan bahawa mereka mendedahkan secukupnya pertimbangan utama yang dibuat untuk mencapai kesimpulan tersebut. Juruaudit seterusnya diminta untuk mengesahkan dan mencabar kewajaran andaian beroperasi secara berterusan, serta kecukupan pendedahan yang berkaitan. Oleh kerana ketakpastian berpanjangan yang timbul daripada pandemik, adalah lebih penting lagi bagi juruaudit untuk menggunakan skeptisisme profesional yang wajar dalam menjalankan tugasan audit mereka.

Pengerusi SC Datuk Syed Zaid Albar berkata, “Pengauditan berkualiti tinggi meningkatkan integriti dan memastikan perlindungan pelabur di samping menyumbang kepada tadbir urus korporat yang lebih baik dalam entiti berkepentingan awam (PIE). Pelaporan kewangan berkualiti yang mematuhi piawaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa memberi kepercayaan dan keyakinan terhadap keandalan penyata kewangan teraudit di Malaysia."

Laporan Pemeriksaan Tahunan AOB 2020 mengetengahkan pandangan mengenai pemerhatian daripada kerja pemeriksaannya pada 2020. Laporan ini juga memapaarkan pemerhatian terhadap kesan COVID-19 kepada keputusan kewangan syarikat tersenarai awam, termasuk pendedahan dalam laporan tahunan dan penyata kewangan teraudit (AFS). Sejumlah 38 firma dan 339 juruaudit kini berdaftar dengan AOB.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif AOB, Alex Ooi mengulas, "Pemeriksaan lazim AOB, yang melibatkan pemantauan aktif dan pembabitan dengan firma audit, merupakan bahagian penting dalam pendekatan kawal selia audit kami. Ia membantu mengenal pasti jurang dan memperbaiki kelemahan dalam firma audit, dan memastikan firma audit terus memperkukuh keupayaan dalaman dan menyediakan sumber yang mencukupi untuk menggalakkan kualiti audit yang tinggi di Malaysia.”

Pada 2020, AOB memeriksa 10 firma audit dan menjalankan pemantauan dan semakan tematik ke atas empat firma audit lain. Program pemantauan dan semakan tematik termasuk susulan kepada tindakan pemulihan yang diambil untuk menangani pemerhatian pemeriksaan AOB yang lalu. Ini juga merangkumi penilaian keputusan semakan pemantauan dalaman firma dan semakan tematik kepada bidang-bidang kebimbangan tertentu. Sehubungan ini, pemeriksaan dan semakan pada 2020 telah meliputi firma-firma yang secara kolektif mengaudit 72.6% daripada jumlah bilangan PIE.

AOB memerhatikan peningkatan yang signifikan dalam peratusan tugasan audit yang memerlukan penilaian dan siasatan lanjut, daripada 44% pada 2019 kepada 88% pada 2020.

Laporan Pemeriksaan Tahunan AOB 2020 juga merangkumi sorotan utama mengenai piawaian pengauditan baharu dan yang disemak semula yang berkaitan dengan sistem pengurusan kualiti firma yang akan dilaksanakan pada 15 Disember 2022. Firma audit disarankan agar mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk melaksanakan piawaian ini menjelang tarikh akhir tersebut.

Pengenalan dan pelaksanaan Laporan Ketelusan Tahunan pada 2021 menghendaki lapan firma audit berdaftar dengan AOB yang memenuhi kriteria pelaporan untuk berkongsi Laporan Ketelusan mereka dengan Jawatankuasa Audit pelanggan PIE mereka. Firma audit yang layak dikehendaki mendedahkankan maklumat yang berkaitan dengan struktur perundangan dan tadbir urus mereka, langkah-langkah untuk mendukung kualiti audit dan mengurus risiko, serta pengukuran petunjuk kualiti audit. Pada 2022, firma audit yang layak tersebut dikehendaki menerbitkan Laporan Ketelusan Tahunan mereka kepada umum. Jawatankuasa Audit PIE hendaklah mengambil kira maklumat yang dikemukakan dalam Laporan Ketelusan Tahunan ketika memutuskan pelantikan dan pelantikan semula juruaudit.

Melangkah ke hadapan, AOB akan terus bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak berkepentingannya untuk mendukung kualiti audit yang tinggi di Malaysia demi memacu peningkatan dalam ekosistem pelaporan kewangan.

Ketika firma audit mengambil langkah-langkah untuk mendukung kualiti audit dalam tempoh yang sukar ini, para pengarah dan Jawatankuasa Audit juga diingatkan tentang perlunya kewaspadaan terhadap peningkatan pelbagai isu dan risiko, terutamanya yang berkaitan dengan kerumitan dalam pelaporan kewangan yang disebabkan oleh COVID-19. Pembabitan dan komunikasi berterusan dengan juruaudit mereka adalah penting untuk menguruskan perkara-perkara ini secara berterusan. AOB turut menggesa firma audit agar melabur dalam meningkatkan tahap latihan dan sumber yang mencukupi bagi memastikan audit berkualiti tinggi dilaksanakan pada setiap masa.

Laporan Pemeriksaan Tajunan 2020 boleh didapati di sini.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
LEMBAGA PEMANTAUAN AUDIT

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup