AOB Tekankan Keperluan Audit Berkualiti; Gesa Firma Kukuhkan Pembinaan Kapasiti

14 Julai 2022  |  Kuala Lumpur

Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menyeru juruaudit untuk mengukuhkan kualiti audit mereka dalam menangani persekitaran perniagaan yang mencabar. Berdasarkan Laporan Pemeriksaan Tahunan 2021 AOB yang dikeluarkan hari ini, juruaudit dinasihatkan untuk meningkatkan kewaspadaan mereka terhadap risiko berikutan persekitaran perniagaan yang tidak menentu. Tumpuan harus diberikan kepada bidang seperti risiko penipuan, urus niaga pihak berkaitan dan pengurusan mengambil alih kawalan.

AOB juga telah menggesa firma audit untuk mengukuhkan pengurusan bakat dan menyediakan program pembinaan kapasiti yang mencukupi dan berterusan merentasi pelbagai peranan dan peringkat bagi menghasilkan audit yang lebih berkualiti.

Pengerusi AOB Dato’ Anantham Kasinather menekankan, “Kapasiti dan kecekapan bakat amalan audit kekal sebagai salah satu petunjuk utama kualiti audit. Firma audit harus mempertimbangkan penyelesaian jangka masa panjang terhadap kadar kemerosotan bakat yang tinggi dengan penerimagunaan teknologi yang dipercepatkan sebagai pertimbangan utama, di samping usaha yang lebih bersepadu ke arah kepelbagaian jantina yang lebih baik dan penggalakkan budaya kerja audit yang positif."

Laporan tersebut menegaskan penemuan utama pemeriksaan AOB terhadap 14 firma audit, meliputi 45 rakan kongsi dan 54 tugasan audit pada tahun 2021. Di samping pemeriksaannya bagi mengukuhkan lagi proses pemantauannya, AOB terus menjalankan semakan pemantauan luar lokasi untuk 118 tugasan audit dengan menganalisis laporan juruaudit dan pendedahan yang dibuat dalam Laporan Tahunan dan penyata kewangan teraudit syarikat tersenarai awam (PLC) masing-masing.

Menggabungkan pendekatan berasaskan data untuk Firma Audit Utama, pemeriksaan AOB memberi fokus pada bidang yang berpotensi mempunyai risiko lebih tinggi yang boleh menjejaskan strategi keseluruhan audit, peruntukan sumber serta tahap usaha dan perhatian yang diberikan oleh juruaudit semasa audit.

Selanjutnya, menyedari kepentingan budaya firma audit dalam kualiti audit itu sendiri, AOB pada tahun lepas telah memulakan kajian tematik terhadap budaya Firma Audit Utama. Walaupun Firma Audit Utama telah berjaya dalam kebanyakan bidang yang dinilai, cabaran mereka kini adalah untuk mengekalkan kualiti audit yang tinggi dan konsisten merentas semua tugasan kerana lima daripada enam Firma Audit Utama mempunyai sekurang-kurangnya satu penglibatan yang memerlukan penambahbaikan yang signifikan. Di samping itu, sesetengah firma audit ini boleh diperbaiki dari segi mempertingkatkan budaya positif dalam firma audit, terutamanya dalam membina kepercayaan yang lebih besar dalam firma audit.

Bagi Firma Audit Lain, AOB telah mendapati trend peningkatan dalam bilangan tugasan yang disemak oleh AOB yang memerlukan penambahbaikan yang ketara.

Berdasarkan pemerhatian ini, AOB mengingatkan semua Firma Audit terhadap berpuasan dan keperluan untuk berusaha ke arah audit berkualiti tinggi terutamanya dalam persekitaran perniagaan yang semakin mencabar.

Jawatankuasa Audit amat digalakkan untuk memahami dan membincangkan penemuan dan statistik peringkat firma yang dikongsi dalam Laporan Pemeriksaan Tahunan AOB dan Laporan Ketelusan Tahunan dengan juruaudit masing-masing untuk mengukuhkan peranan pengawasan mereka. AOB akan meneruskan penglibatan berterusannya dengan Jawatankuasa Audit untuk mengukuhkan pengawasan PLC terhadap juruaudit dan bagaimana Jawatankuasa Audit boleh menyokong dan meningkatkan keberkesanan proses audit.

Laporan Pemeriksaan Tahunan AOB 2021 tersedia di sini.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup