Asas Pasaran Saham Kekal Utuh

SIARAN MEDIA

Kuala Lumpur, 19 Januari 2024

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) sedang memantau rapi keadaan pasaran baru-baru ini berikutan peningkatan turun naik dalam saham tertentu.

SC dan Bursa Malaysia beri jaminan kepada pelabur bahawa asas pasaran saham Malaysia kekal kukuh dan tidak perlu dibimbangkan. Penurunan mendadak harga saham baru-baru ini hanya terhad kepada beberapa saham bermodal kecil dan tidak meluas. Saham yang terjejas terdiri daripada kira-kira 0.17% daripada jumlah permodalan pasaran dan 8.30% daripada jumlah nilai dagangan bagi tahun tersebut.

Pelabur dinasihatkan untuk membuat keputusan pelaburan berdasarkan asas termaklum dan merujuk kepada penzahiran dan pengumuman yang dibuat oleh syarikat tersenarai di www.bursamalaysia.com. Di samping itu, pelabur juga perlu memberi perhatian kepada maklum balas syarikat terhadap pertanyaan Aktiviti Pasaran Luar Biasa (UMA) yang dikeluarkan oleh Bursa Malaysia.

SC dan Bursa Malaysia menjalankan pengawasan proaktif terhadap urus niaga dan pendedahan korporat, serta pemantauan masa nyata bagi semua aktiviti dagangan untuk memastikan pasaran yang cekap, adil dan teratur. Seandainya sebarang penyelewengan dikesan, SC dan Bursa Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kawal selia yang diperlukan untuk memelihara integriti pasaran.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
BURSA MALAYSIA BERHAD

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup