Bank Dunia Hargai Malaysia atas Penzahiran dan Ketelusan Piawaian Perakaunan

Menteri Kewangan II lancar Laporan Bank Dunia mengenai Pematuhan Piawaian dan Kod (ROSC) Tadbir Urus Korporat

Kuala Lumpur, 12 Januari 2007

Malaysia telah diberikan penghargaan tinggi bagi penzahiran dan ketelusan piawaian perakaunan dalam laporan Bank Dunia mengenai pematuhan negara terhadap piawaian dan kod yang berkaitan dengan tadbir urus korporat, yang dilancarkan oleh Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop di Kuala Lumpur hari ini. Pelancaran tersebut dianjurkan bersama oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bank Dunia.

Laporan Bank Dunia mengenai Pematuhan Piawaian dan Kod (ROSC) bagi Tadbir Urus Korporat mengiktiraf langkah strategik yang diambil oleh Malaysia sejak tahun 1998 untuk mempertingkat dan memperkukuh kerangka kerja tadbir korporatnya. Laporan tersebut memberikan kesimpulan bahawa Malaysia berada di tahap kepujian dari segi penghayatan tadbir urus korporat dengan ruang bagi pembaikan yang berterusan. Malaysia juga diberikan penilaian baik dalam bidang seperti penzahiran pemegang kepentingan dan perlindungan pemberi maklumat.

Menteri Kewangan II menekankan bahawa tadbir urus korporat yang baik kekal sebagai unsur penting dalam membina pasaran modal yang kukuh dan dihormati, khususnya dalam ekonomi global masa kini yang mana syarikat-syarikat sentiasa dipantau dari segi kebertanggungjawaban, ketelusan dan integriti.

“Untuk kekal dalam persaingan global ini, syarikat mesti mematuhi peraturan global, dan tadbir urus korporat yang baik, yang diukur rujuk terhadap amalan yang diterima pakai di peringkat antarabangsa merupakan salah satu peraturan penting,” kata Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Ketika pelancaran tersebut, para penceramah mengetengahkan pencapaian dan cabaran Malaysia yang diukur rujuk terhadap negara lain di rantau ini dan Prinsip Tadbir Urus Korporat OECD. Kemajuan yang dicapai tersebut sehingga kini menyediakan asas yang kukuh bagi langkah seterusnya dalam agenda pembaharuan tadbir urus korporat di Malaysia.

“Pelancaran ROSC hari ini sekali lagi mendorong usaha dan mewujudkan satu lagi arus momentum bagi lebih peningkatan terhadap tadbir urus korporat di Malaysia,” kata Dato’ Zarinah Anwar, Pengerusi SC.

Peserta yang menghadiri pelancaran tersebut termasuk ketua-ketua pegawai eksekutif syarikat yang berada di Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL), wakil dari agensi-agensi kerajaan, para pendokong dan pengulas tadbir urus korporat terkemuka dan para diplomat.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup