Kuala Lumpur, 30 Julai 2025
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini menuduh seorang bekas perunding unit amanah , Nadihah binti Nawi (Nadihah), di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi kesalahan penipuan sekuriti yang melibatkan pelaburan unit amanah.
Nadihah, 34, menghadapi dua pertuduhan bersama seorang lagi individu yang masih bebas di bawah seksyen 179(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Nadihah dituduh bagi kesalahan menipu dua orang pelabur melibatkan jumlah sebanyak RM20,000 dengan membuat representasi kepada mereka mengenai suatu pelaburan unit amanah dalam Kenanga Investors Berhad (KIB). Kesalahan tersebut berlaku di antara Januari dan Jun 2022 di Kuala Lumpur.
Wang yang didepositkan oleh dua pelabur tersebut sebaliknya digunakan untuk pelaburan unit amanah Nadihah sendiri dalam KIB. Nadihah merupakan seorang perunding unit amanah di Principal Asset Management Berhad pada masa yang material.
Nadihah mohon dibicarakan bagi kedua-dua pertuduhan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Tuan Izralizam bin Sanusi dan dibenarkan jaminan sebanyak RM70,000 dengan dua penjamin tempatan.
Mahkamah juga mengenakan syarat jaminan tambahan terhadap Tertuduh untuk melaporkan diri kepada Pegawai Penyiasat SC di pejabat SC di Kuala Lumpur setiap bulan. Mahkamah walau bagaimanapun tidak mengenakan syarat tambahan penyerahan pasport memandangkan pasport Tertuduh telah tamat tempoh pada tahun 2023.
Jika sabit dengan kesalahan, Nadihah boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta. SC mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dan mengesahkan sebarang tawaran pelaburan melalui Penyemak Pelaburan SC di www.sc.com.my/investment-checker.